MENJELANG PRN16: ACAH-ACAH PH NAK BERTANDING SOLO DI JOHOR

MENJELANG PRN16: ACAH-ACAH PH NAK BERTANDING SOLO DI JOHOR

1. Saya ingat lagi, ketika sebelum berlangsungnya PRK DUN Mahkota, Parti Amanah Nasional (PAN) Johor khususnya PAN Kluang melalui Ketua Kawasannya Dr. Zuhan Zain membuat sidang media menuntut supaya merekalah yang lebih layak bertanding di kerusi tersebut.

2. Isu ini begitu panjang lebar dibicarakan dalam media sehingga mencetuskan kepanasan di kedua-dua pihak sehingga Presiden PAN menegur supaya perkara ini tidak dibincangkan dalam media.

3. Isu tuntutan kerusi DUN Mahkota telah mendatangkan kesan yang kurang baik di antara BN dan PH di Johor, lebih-lebih lagi PH masih belum dapat berada sebahagian dari kerajaan sehingga ke hari ini. Kerajaan Perpaduan tidak wujud di Johor memandangkan kerajaan Johor dibentuk sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan di peringkat negara.

4. Tiba-tiba sahabat lama saya Dr. Zuhan membuat kenyataan bahawa PH Johor bersedia untuk bertanding secara solo dalam PRN Johor nanti. Saya percaya ia adalah reaksi balas terhadap isu yang sedang dihadapi oleh rakan parti Kerajaan Perpaduan di Melaka ketika ini.

5. Sama ada Dr Zuhan bertindak di atas kapasiti peribadi atau atau atas jawatannya sebagai Naib Pengerusi PAN Johor, itu saya tidak pasti tetapi nampaknya tindakan beliau sengaja mencurah minyak tanah ke dalam api.

6. Kenyataan bahawa PAN Johor terlampau gelojoh dan lapar kuasa berhubung tuntutan jumlah kerusi yang akan dipertandingkan dalam PRN16 nanti oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor menggambarkan sikap UMNO terhadap kenyataan Dr. Zuhan ini.

7. Memandangkan isu hubungan BN dan PH di Johor bukan lagi rahsia, maka kenyataan Dr. Zuhan ini saya anggap hanyalah 'acah-acah' sahaja, seperti mana mereka menuntut kerusi DUN Mahkota semasa hendak menghadapi PRK yang lalu Akhirnya nanti mereka akan akur dengan apa yang diputuskan.

KFAK

Ulasan