Khidmat Malaysia temui pakar seismologi UTM
August 14, 2024
JOHOR BAHRU: Khidmat Malaysia (KM) yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bantuan bencana telah mengadakan pertemuan dengan pakar seismologi dan gempa bumi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.
Menurut Ketua Pengarah KM Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, matlamat utama pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan perkembangan terkini dalam bidang seismologi di Malaysia serta langkah-langkah proaktif yang boleh diambil oleh NGO dalam menghadapi bencana alam itu.
“Pertemuan ini diadakan antara NGO Khidmat Malaysia dan Prof. Ir. Dr. Azlan Adnan, seorang pakar terkemuka dalam bidang seismologi dan gempa bumi, bersama pasukan penyelidiknya,” ujar beliau.
Katanya, sesi pertemuan yang berlangsung di School of Engineering, UTM Skudai itu dimulakan dengan pembentangan oleh Prof. Ir. Dr. Azlan yang memberikan gambaran menyeluruh tentang perkembangan gempa bumi di Malaysia.
“Menurut beliau, banyak perbincangan mengenai aktiviti seismik yang berlaku di Malaysia, termasuk gempa bumi kecil yang kerap berlaku di Sabah dan peristiwa gegaran di Bukit Tinggi pada tahun 2007 di Semenanjung Malaysia.
“Oleh itu, pemahaman mengenai ilmu getaran gempa dan potensi bencana yang berkaitan adalah amat penting bagi negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi Khidmat Malaysia hari ini.
Tambahnya, dalam pembentangannya, Prof. Ir. Dr. Azlan juga menerangkan tentang ilmu getaran gempa yang meliputi pengenalan kepada pelbagai jenis getaran dan bagaimana bencana itu boleh berlaku mengikut skala tertentu.
“Beliau menegaskan bahawa pemahaman terhadap getaran gempa dan ciri-ciri unik setiap skala gempa adalah kunci untuk menguruskan risiko dengan lebih berkesan.
“Pengetahuan ini bukan sahaja penting untuk ahli akademik dan penyelidik, tetapi juga bagi pihak berkuasa dan NGO yang terlibat dalam bantuan bencana,” ujarnya.
Katanya, perbincangan turut merangkumi peranan NGO, khususnya Khidmat Malaysia dalam memberikan sumbangan bantuan apabila berlaku bencana.
“Fokus diberikan kepada bagaimana NGO boleh bertindak balas dengan cepat dan berkesan dalam situasi kecemasan. Ini termasuk menyediakan bantuan kecemasan, menguruskan pusat pemindahan, dan memberi sokongan psikososial kepada mangsa.
“Pihak Khidmat Malaysia turut berkongsi pengalaman mereka dalam mengendalikan bencana banjir, tanah runtuh sebelum ini yang menjadi asas kepada perancangan masa depan,” katanya.
Selain itu, tambah beliau, satu topik yang ditekankan adalah betapa pentingnya meningkatkan kesedaran (awareness) dalam kalangan masyarakat mengenai risiko gempa bumi.
“Kempen-kempen kesedaran perlu dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan masyarakat sentiasa peka terhadap ancaman ini dan tahu apa yang perlu dilakukan jika berlaku bencana.
“Pihak Penyelidik Seismologi sepakat bersama Khidmat Malaysia agar kempen kesedaran persediaan bencana gempa ini dilaksanakan secara lebih meluas melalui media sosial, pameran bergerak dan program kesedaran komuniti,” katanya.
Tambah beliau, cadangan juga telah dikemukakan untuk menganjurkan seminar, webinar atau program-program kesedaran lain yang melibatkan pakar seismologi.
“Program ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan mendalam kepada NGO-NGO tentang gempa bumi dan langkah-langkah yang perlu diambil dalam menghadapi bencana.
“Melalui pendedahan ini, NGO-NGO diharap dapat memperkukuhkan persediaan mereka dalam membantu masyarakat semasa bencana berlaku,” kata beliau.
Jelasnya lagi, di penghujung pertemuan, kedua-dua pihak menyatakan rasa terima kasih atas perkongsian ilmu dan pengalaman yang telah diberikan.
Tambahnya, mereka sepakat bahawa maklumat yang diperoleh dalam pertemuan ini adalah amat berharga dan dapat digunakan untuk manfaat masyarakat, khususnya dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana gempa bumi di masa hadapan.
“Pertemuan ini dilihat sebagai langkah awal yang penting dalam usaha memperkukuh kerjasama antara akademik dan NGO dalam menangani isu-isu bencana alam di Malaysia,” ujar beliau.
Selain Khairul, delegasi Khidmat Malaysia yang hadir dalam pertemuan itu terdiri dari timbalannya, Dr. Rosni Adam; setiausaha, Ashrul Hisyam Abdul Jalil; dan Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Johor, Dr. Karim Deraman.
Turut serta adalah beberapa wakil daripada sekretariat Khidmat Malaysia yang memberikan sokongan dalam perbincangan itu. – HARAKAHDAILY 14/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan