
PRU16 antara tumpuan Muktamar Pas ke-70
12 September 2024 07:30am
Masa membaca: 5 minit
Khairul Faizi ketika sesi Wawancara Eksklusif Bersama Sinar Harian baru-baru ini.
MESKIPUN Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijadual berlangsung antara dua hingga tiga tahun lagi, namun Muktamar Pas ke-70 yang berlangsung di Kompleks Al-Makmur Kerdau, Temerloh, Pahang bermula pada Rabu dijangka memfokuskan kepada isu persiapan bagi menghadapi pilihan raya penting itu.
Menurut Penolong Setiausaha Agung I Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil, turut difokuskan dalam perhimpunan terbesar parti yang sinonim dengan Melayu dan Islam tersebut adalah mengenai nasib rakyat di Palestin, isu rakyat dan lain-lain.
Menerusi wawancara eksklusif Bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat Pas, Kuala Lumpur baru-baru ini yang dikendalikan wartawan, NURUL HUDA HUSAIN dan jurugambar, ROSLI TALIB, Khairul Faizi yang juga Timbalan Pengarah I Muktamar Pas ke-70, turut menyentuh beberapa isu lain termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Kru Sinar Harian bergambar bersama Khairul Faizi (tengah) selepas sesi wawancara eksklusif di Ibu Pejabat Pas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Muktamar Pas ke-70 memilih Temerloh, Pahang sebagai lokasi untuk perhimpunan terbesar parti. Kenapa lokasi ini dipilih dan apa kelainan yang ditampilkan?
KHAIRUL FAIZI: Muktamar Pas ke-70 sebenarnya satu muktamar yang agak istimewa. Pertamanya, edisi muktamar ke-70 ini juga bersempena sambutan 70 tahun Pas Pahang.
Malah, Kampung Kerdau ini juga merupakan cawangan Pas pertama yang ditubuhkan di Pahang. Jadi, ada nostalgianya yang tersendiri.
Keduanya, muktamar kali ini juga kita buat di premis sendiri iaitu Kompleks Al-Makmur, Kerdau yang mana sebelum ini kita banyak menyewa tempat di luar sebagai contoh sebelum ini Selangor, Pahang dan sebagainya.
Artikel Berkaitan: Muktamar Pas: Enam usul penting dibentang esok
Muktamar kali ini kita ada visi seperti mana slogan diwujudkan Pas Pahang iaitu ‘Pas Terajui Pahang’. Kita mahu menawan negeri ini pada PRU16.
Hasrat ini bukan mustahil untuk dicapai dengan melihat kejayaan memperoleh jumlah kerusi DUN (di Pahang) yang agak tinggi dalam sejarah.
Jadi, sebagai simbolik kepada usaha yang dilaksanakan ini, maka tahun ini Pas memilih Pahang buat kali kedua menjadi tuan rumah dan diadakan di premis parti.
SH: Apakah naratif dan fokus utama muktamar kali ini?
Muktamar kali ini kita sebenarnya lebih fokus kepada persiapan untuk hadapi pilihan raya.
Kita mahu semua peringkat parti supaya memberi tumpuan kepada persiapan walaupun ia dijangka diadakan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.
Keduanya, muktamar kali ini juga menjadi ruang kepada kita untuk pamer kejayaan empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) atau SG4 yang melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Tahun lepas dalam muktamar di Shah Alam, kita membuat pelancaran penubuhan SG4.
Tahun ini kita akan tunjuk dan pamer pula apa kejayaan yang telah dicapai dalam tempoh setahun ini.
Selain itu, kita juga wujudkan satu ruang, Ekspo Usahawan SG4. Tujuan kita supaya dengan adanya SG4 ini akan membantu masyarakat untuk melihat apa telah dilakukan oleh kerajaan PN yang melibatkan empat buah negeri.
Isu-isu membabitkan rakyat dan nasib umat Islam di Palestin juga antara fokus utama muktamar kali ini.
Malah, kita juga wujudkan satu slot khas untuk mengenang penderitaan yang ditanggung rakyat Gaza dengan mengadakan Malam Gema Palestin dikendalikan Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat.
SH: Boleh kongsikan berapa banyak usul yang dikemukakan oleh perwakilan muktamar kali ini?
Setakat ini kita menerima 90 usul yang dihantar dan disenarai pendek. Usul apa dan berapa banyak jumlah yang akan dibahaskan ditentukan oleh Mesyuarat Pas Pusat pada 13 September.
Usul-usul yang dikemukakan membabitkan banyak perkara antaranya isu dalam negara, luar negara, pendidikan, politik memang banyak.
SH: Dijangka berapa ramai perwakilan hadir muktamar kali ini?
Muktamar kali ini akan dihadiri lebih 1,600 perwakilan. Jumlah perwakilan bergantung kepada nisbah ahli di peringkat kawasan atau Parlimen.
Jadi jumlah perwakilan bagi setiap kawasan itu tidak sama kerana ia ditentukan dengan jumlah ahli di kawasan berkenaan.

Khairul Faizi ketika sesi Wawancara Eksklusif Bersama Sinar Harian baru-baru ini.
Kita jangkakan setiap kawasan akan hantar kira-kira 15 perwakilan dan jumlah ini juga dijangka paling ramai sejak penubuhan Pas pada 1951.
SH: Adakah isu melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga akan dibangkitkan kerana kita tahu ada suara-suara mengatakan wujud perselisihan pendapat antara parti itu dengan Pas?
Perbahasan kali ini akan tumpukan kepada usaha memperkukuhkan hubungan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).
Ingin saya tegaskan bahawa tidak ada isu pun antara Pas dan Bersatu. Sentimen ini hanya diwujudkan pihak lawan.
Saya masih ingat apa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selalu sebut bahawa kita perlu terus memperkukuhkan penyatuan ummah.
Hubungan Pas dengan Muafakat Nasional (MN) pun kita hendak teruskan, PN juga kita akan teruskan.
SH: Adakah pemimpin-pemimpin parti komponen dalam PN dijemput untuk hadiri muktamar kali ini?
Kita memang menjemput semua rakan-rakan parti dalam PN termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi memandangkan hari kemuncak muktamar ini jatuh pada tarikh sama dengan penamaan calon bagi PRK DUN Mahkota, Johor, jadi ramai pemimpin yang tidak dapat hadir.
Malah, Pas juga hantar wakil pada hari penamaan calon nanti yang akan diketuai Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Wakil Bersatu yang akan hadir pada muktamar kali ini saya difahamkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
SH: Adakah dalam muktamar kali ini juga akan bincang usaha atau strategi tarik pengundi bukan Melayu?
Baru-baru ini dalam Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ada menyebut supaya DHPP bergerak ke depan memainkan peranan dekati masyarakat bukan Islam.
Kita tidak nafikan rekod terdahulu khususnya PRU15 dan PRK diadakan sebelum ini, sokongan kepada PN termasuk Pas dalam kalangan bukan Melayu itu memang agak sedikit peratusannya. Ini di peringkat parti kita sendiri, kita tidak sebut PN.
Jadi setiap negeri perlu diwujudkan DHPP sebab kalau kita lihat pertumbuhan keahlian itu tidak sekata.
Sekarang ini DHPP mempunyai kira-kira 70,000 ahli tapi keahlian bagi setiap negeri tidak sekata dan kita mahu perkara ini diberi tumpuan.
SH: Ada pihak mengatakan Pas lebih tertumpu kepada isu agama dan kaum sahaja tanpa membicarakan isu-isu penting lain seperti ekonomi, pendidikan dan sebagainya?
Sebenarnya persepsi masyarakat sendiri apabila parti Islam tentunya akan lebih tumpukan kepada agama dan kaum.
Kita tidak nafikan itu adalah tunjang kepada parti, maksudnya apabila timbul isu agama Pas pasti akan perjuangkan apa-apa isu berkaitan akidah, agama dan apa sahaja.
Tapi dalam masa sama kita tidak meninggalkan perkara lain sebagai contohnya sebab itulah dalam Pas kita ada pelbagai lajnah iaitu perpaduan nasional untuk bukan Melayu, kita juga ada lajnah alam sekitar dan lajnah antarabangsa.
-- PROFIL
Nama: Khairul Faizi Ahmad Kamil
Asal: Kluang, Johor
Umur: 51 tahun
Jawatan: Penolong Setiausaha Agung I Pas
Pendidikan: Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kemasyarakatan (Sains Politik) Universiti Sains Malaysia (USM)
Ulasan
Catat Ulasan