Syarikat SG4 dapat tingkat taraf hidup rakyat
September 3, 2024
KOTA BHARU: Penubuhan Syarikat SG4 Sdn Bhd merupakan langkah baik bagi berkongsi kekayaan dan kepakaran empat kerajaan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail berkata, keempat-empat negeri terbabit masing-masing mempunyai pengalaman dalam lima kluster bidang dalam gagasan tersebut.
Beliau berkata, sekiranya hasrat tersebut dapat dilaksanakan dengan baik diharapkan dapat meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat di negeri yang diperintah Perikatan Nasional itu.
“Inisiatif penubuhan Syarikat SG4 Global Sdn Bhd ini merupakan langkah strategik yang signifikan untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat di negeri-negeri ini.
“Ia memfokuskan lima kluster, infrastruktur dan logistik, perdagangan, pelaburan dan perniagaan termasuk pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan,” katanya dalam kemas kini di laman Facebooknya.
Media sebelum ini melaporkan idea tersebut dilontar oleh Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sidang Kemuncak SG4 yang diadakan di Bangi, semalam.
Mantan Perdana Menteri itu berkata, menerusi usaha tersebut setiap negeri terbabit akan memiliki 25 peratus saham dan ekuiti yang sama antara negara majoriti Melayu itu.
Malah beliau berkata lagi, SG4 Global bakal memberi tumpuan kepada industri nadir bumi (REE) yang bakal melonjakkan kekayaan negeri selain memberi fokus kepada kluster lain.
“Umpamanya kita percaya industri nadir bumi (REE) ini satu punca kekayaan. Jadi REE ini bukan ada sama rata di setiap negeri, satu negeri mungkin lebih daripada negeri lain.
“Di Terengganu, Kelantan dan Kedah kita sedia maklum ada REE yang banyak tetapi di Perlis ada dolomite (emas putih) yang digunakan untuk memproses REE itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan