Apabila wanita tutup ‘kilang’ lebih awal
Oleh Yulpisman Haji Asli
22 November 2024, 7:00 am
LAPORAN akhbar ini bahawa Malaysia bakal berdepan krisis tenaga buruh akibat penurunan kadar kelahiran yang ketara dalam tempoh lima dekad serta dijangka beralih kepada status negara tua lebih awal daripada jangkaan pada 2030, wajar diberi perhatian oleh semua pihak khususnya pemerintah.
Ini kerana, senario itu jika dibiarkan berterusan bakal mengundang pelbagai implikasi bukan hanya dari sudut demografi, kesihatan malah ekonomi negara pada masa hadapan.
Dengan status negara membangun, Malaysia amat memerlukan kemunculan tenaga-tenaga baharu dan mahir pada masa hadapan. Jika tidak, pelbagai dasar dan pelan pembangunan jangka panjang yang dirangka, misalnya, Rancangan Malaysia setiap lima tahun, bakal berdepan masalah. Tiada kelahiran baharu bermakna, negara pada masa depan bakal dihuni oleh golongan tua dan ekspatriat.
Persoalan, bagaimana dengan kesediaan rakyat? Ini kerana, kadar kelahiran terkait dengan institusi perkahwinan dan kesediaan pasangan untuk menimang cahaya mata. Benar, ada kemajuan sains dan teknologi, tetapi ia tidak dapat mengambilalih peranan semula jadi seorang insan.
“Kau ingat nak memenuhi tuntutan keselamatan tenaga buruh, kau ingat apa? Kau ingat beranak, budak tu boleh hidup dan besar sendiri? Beranak boleh, siapa nak jaga, semua kos tu.
“Kerajaan asyik fikir kadar kelahiran menurun, tapi tak pernah fikir pun nak bagi insentif ke? Apa sebab wanita tak nak beranak?
Mungkin kerajaan boleh bagi insentif kepada wanita. Dia tak fikir kekangan?
“Rakan sekerja pun benci asyik beranak, tiga bulan kot? Bukan setakat rakan sekerja, majikan pun tak suka nak bayar gaji? Kerajaan kena cari alternatif, tawar sesuatu supaya wanita yang asyik bersalin tidak didiskriminasi,” demikian luah seorang rakan mengenai laporan tersebut.
“Saya tutup `kilang’ dah. Tak larat. Semua mahal. Kos pengasuh, harga barang yang semakin meningkat berbanding kenaikan gaji,” luah seorang lagi rakan. Itu belum mengambil kira kos beli rumah yang lebih selesa untuk anak-anak, dengan jangkaan kenaikan hingga 15 peratus tahun ini dan tahun depan lima peratus untuk rumah teres. Sedangkan kenaikan gaji purata hanya sebanyak RM56 setahun sejak 30 tahun lepas.
Justeru, keluhan rakan-rakan itu sangat berasas. Untuk mempunyai seorang anak pada masa kini memerlukan kos yang besar. Bermula dari wanita itu berkahwin, mengandung, sehinggalah anaknya dilahirkan, kemudian bersekolah dan berkahwin pula. Ia memakan belanja yang bukan sedikit. Dan kitaran itu perlu diteruskan untuk kelangsungan sebuah kehidupan.
China suatu ketika dahulu mengehadkan seorang anak bagi setiap keluarga. Namun, dilaporkan negara itu telah lama mengkaji semula dasar tersebut. Malah, negara itu dilaporkan menggalakkan pula pasangan untuk mempunyai tiga orang anak. Sebabnya, populasi ramai bukan lagi dianggap satu beban, sebaliknya dilihat dari perspektif lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi dan keselamatan negara. Hasilnya, China kini muncul kuasa ekonomi kedua terbesar dunia dan menjuarai banyak sektor termasuk teknologi termaju.
Bagaimana pula dengan Malaysia? Kita belum lagi mengalami krisis tenaga disebabkan kurangnya kelahiran, namun akan terjerumus ke dalam situasi itu jika tiada tindakan proaktif dilakukan dari sekarang. Jadi, apa tindakan kita?
Yulpisman Asli ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan
Catat Ulasan