
Golongan maha kaya perlu dikenakan cukai sewajarnya
Oleh Wartawan Luar Negara
20 November 2024, 8:02 am
RIO DE JANEIRO: Pemimpin G20 yang bermesyuarat di Rio de Janeiro menggesa kerjasama mengenai perubahan iklim, kemiskinan, pembaharuan cukai serta menangani konflik di Gaza dan Ukraine.
Para pemimpin negara menyeru bantuan awam segera, gencatan senjata dan perpaduan pelbagai hala menjelang kembalinya Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat, Januari depan.
Pemimpin dari Kumpulan 20 ekonomi Utama mengeluarkan kenyataan bersama yang menekankan penderitaan akibat konflik di Gaza dan Ukraine, sambil menyeru kerjasama dalam perubahan iklim, mengurangkan kemiskinan dan dasar cukai.
Perbincangan menjurus kepada aspek perdagangan, perubahan iklim dan keselamatan antarabangsa yang akan menentang perubahan dasar AS yang diterajui Trump kelak.
Bagaimanapun, pemimpin di sidang kemuncak itu kurang mencapai kata sepakat mengenai perang di Ukraine yang semakin memuncak dan memfokuskan secara ringkas penderitaan manusia dan kejatuhan ekonomi akibat konflik itu.
Pemimpin dunia juga meluahkan kebimbangan yang mendalam tentang situasi kemanusiaan yang dahsyat di Semenanjung Gaza, menyeru lebih banyak bantuan disalurkan, melindungi orang awam serta gencatan senjata menyeluruh di Gaza dan Lubnan.
“Dalam dunia yang menghasilkan hampir enam bilion tan makanan setahun, situasi ini tidak boleh diterima,” katanya.
Pemimpin G20, bertemu di Rio de Janeiro pada 18 hingga 19 November lalu, untuk menangani cabaran dan krisis global utama serta menggalakkan pertumbuhan yang kukuh, mampan, seimbang dan inklusif
CUKAI GOLONGAN MAHA KAYA
Pemimpin G20 menyokong idea bekerjasama untuk memastikan ‘individu dengan kekayaan bersih ultra-tinggi dikenakan cukai dengan berkesan’.
Langkah itu sekaligus memberikan kemenangan kepada tuan rumah sidang kemuncak, Presiden Brazil, Luiz InĂ¡cio Lula da Silva.
Namun, mereka mengatakan kerjasama tersebut harus dilakukan ‘dengan penuh penghormatan kepada kedaulatan cukai’ dan melibatkan ‘perbincangan mengenai prinsip cukai’ serta merangka mekanisme anti-pengelakan cukai.
PERUBAHAN IKLIM
Pemimpin G20 memberikan harapan tinggi untuk memberi suntikan baharu kepada perbincangan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terhenti di Azerbaijan.
Namun, dalam kenyataan akhir, pemimpin dunia hanya mengakui keperluan untuk ‘menaikkan pembiayaan iklim secara substansial dari bilion ke trilion dari semua sumber.’
Bagaimanapun, kenyataan bersama itu tidak menyebut siapa yang akan menyediakan trilion tersebut.
Pemimpin dunia juga tidak mengulangi komitmen yang dibuat semasa perbincangan iklim COP28 di Dubai tahun lalu, untuk ‘peralihan yang adil, teratur, dan saksama’ dari bahan api fosil.
“Mereka belum mengambil langkah yang diperlukan,” kata Pengasas bersama kumpulan kempen Global Citizen, Mick Sheldrick.
BASMI KEBULURAN
Antara isu yang sangat diutamakan oleh Lula adalah mewujudkan perikatan global menentang kelaparan, dan beliau mencapai kejayaan awal dengan melancarkan inisiatif tersebut pada permulaan sidang kemuncak, yang mendapat sokongan 82 negara.
Perikatan ini bertujuan untuk menyatukan usaha antarabangsa bagi menyediakan pembiayaan dalam kempen menentang kelaparan, serta meniru program-program yang telah berjaya di beberapa negara.
Matlamatnya adalah untuk mencapai separuh bilion penduduk menjelang penghujung dekad, sekali gus mengurangkan wabak yang memalukan umat manusia yang boleh dicegah. -AFP
Ulasan
Catat Ulasan