Isu tak izin sertai aktiviti sekolah, panaskan dewan



Isu tak izin sertai aktiviti sekolah, panaskan dewan
November 25, 2024

ALOR SETAR: Isu Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN), tidak dibenarkan masuk atau menyertai program di sekolah-sekolah kementerian tiba-tiba menjadi topik panas.

Insiden itu berlaku apabila Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Bau Wong Bau Ek (PH-Sidam), menyentuh isu berkenaan ketika membahaskan Belanjawan Kedah 2025, hari ini.

Beliau mendakwa, perkara itu tidak wajar dituding kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sedangkan permohonan untuk masuk ke sekolah yang melibatkan ahli politik, orang kenamaan atau sebagainya, boleh dilakukan dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.

Sungguhpun begitu, dakwaan itu dibidas oleh Dato’ Dr Mohd Hayati Othman (PN-Tokai), kerana pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tidak dapat memberi jawapan apabila pihaknya tidak dibenarkan menyertai program di sekolah berkenaan.

“Mereka mohon sumbangan dari kita. Kita beri tapi _depa_ (mereka) tak boleh jemput kita hadir ke program mereka. Dulu masa PN menjadi Kerajaan Persekutuan, guru besar dan pegawai PPD yang sama jemput saya ke program sekolah.

“Sekarang ini orang yang sama juga tetapi tak boleh jemput,” bidasnya diikuti Khairul Anuar Ramli (PN-Lunas) memberitahu beliau tidak boleh menerima konon alasannya kerana keselamatan.

Sedangkan tegas beliau, tidak pernah berlaku peristiwa menggugat keselamatan pelajar apabila wakil rakyat PN ke sekolah menyertai program.

“Tidak masuk akal dan amat dangkal langsung apabila mengaitkan isu keselamatan membabitkan kehadiran wakil rakyat PN ke sekolah,” bidasnya.

Sementara, Mardhiyyah Johari (PN- Pengkalan Kundur) turut mencelah katanya, ADUN atau Exco PN hadir ke sekolah hendak beri sumbangan dan bantuan, sepatutnya dipermudahkan bukan disekat.

Suasana menjadi sedikit tegang apabila Adam Loh Wei Chai (PH- Bakar Arang) menempelak kononnya pada 2021, ketika PN menerajui negara, bersikap lebih zalim

“Saya ketika itu Pegawai Khas, pergi ke sekolah nak buat aduan berkenaan pokok, tetapi tidak dibenarkan masuk. Itupun tak dibenarkan, PN waktu itu cukup zalim,” dakwanya

Namun dakwaan itu dibidas oleh Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (PN-Kota Siputeh), apabila beliau menyoal ADUN Bakar Arang, siapa yang bercakap berkenaan reformasi sebelum ini

“Sekarang 2024, yang cakap pasal reformasi pendidikan adalah Pakatan Harapan (PH) bukan PN,” tegasnya.

Isu berkaitan yang turut bahaskan pada Sidang DUN sesi lalu terus dipertikaikan apabila ahli politik pembangkang di Kedah dibenarkan hadir ke program anjuran pihak sekolah.

Namun dalam masa yang sama, wakil rakyat dan ADUN PN yang sah dipilih rakyat, tidak dibenarkan. – HARAKAHDAILY 25/11/2024

Ulasan