Kalau bina tembok, setahun sahaja sudah ‘balik modal’
Oleh Ismail Daud
19 November 2024, 7:11 am
CERITA tentang penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Kelantan dan Perlis sudah tidak lagi menjadi keterujaan dalam masyarakat. Namun, ia terus berlaku saban hari dengan pelbagai teknik digunakan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Di sebalik tindakan penguatkuasaan pelbagai agensi, para penyeludup tidak pernah jemu melintasi sempadan dan juga tidak pernah serik. Hasil lumayan daripada aktiviti itu menjadi motivasi paling kuat kepada geng penyeludup.
Apa sahaja yang tidak diseludup. Bagi bahan terlarang seperti dadah, rokok dan senjata api, tiada jalan lain selain seludup. Begitu juga dengan manusia dari beberapa negara yang mahu mencari rezeki di negara ini.
Namun, yang paling mendapat sambutan tentunya barang makanan bersubsidi seperti tepung gandum, minyak masak, minyak petrol dan diesel serta gas petroleum cecair (LPG). Lembu dan kambing pula diseludup masuk ke sini.
Mengikut laporan, nilai barangan yang diseludup setiap tahun menghampiri angka RM2 bilion. Permintaan tinggi dan hasil lumayan menyebabkan ada yang sanggup ‘menggadai’ hak rakyat negara ini.
Kolaborasi agensi penguatkuasaan masih tidak dapat menyekat aktiviti tersebut. Tetapi banyak juga kejayaan dicatatkan. Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 8,736 serbuan dilakukan dengan 6,795 individu ditahan.
Justeru, apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, sejumlah RM446 juta diperlukan untuk bagi pembinaan tembok dan zon penampan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri itu khususnya di tebing Sungai Golok melibatkan jarak 99 kilometer, ia perlu difikirkan dengan mendalam.
Kos tersebut yang sudah termasuk kos pengambilan balik tanah di Sungai Golok boleh dianggap sebagai satu ‘pelaburan’ yang wajar berdasarkan nilai barangan diseludup hampir RM2 bilion setahun.
Selain Menteri Besar Kelantan, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis, Izizam Ibrahim juga mengakui, pembinaan tembok sempadan sebagai pilihan terbaik jika kerajaan benar-benar serius mahu menangani kegiatan penyeludupan.
Katanya, tembok mempunyai banyak kelebihan terutama dari segi fizikalnya yang mampu bertahan lebih lama, selain memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa walaupun ia tidak menjamin terhapus sepenuhnya aktiviti pencerobohan.
Melihat kepada nilai ketirisan yang dilaporkan, angka setengah bilion ringgit yang disebut Menteri Besar Kelantan itu bolehlah dianggap sebagai mampu disediakan oleh kerajaan. Mungkin dalam tempoh tidak sampai setahun, sudah boleh ‘balik modal’.
Memandangkan kerajaan kini sedang merangka Rancangan Malaysia Ke-13, diharap isu penyeludupan dan pembinaan tembok ini akan mendapat perhatian khusus daripada kerajaan termasuk agensi penguat kuasa sempadan menerusi penyediaan kajian keberkesanan, kebolehlaksanaan dan peruntukan kewangan yang diperlukan.
Rancangan pembinaan tembok mungkin memakan masa tetapi ia perlu dimulakan sesegera mungkin terutama di kawasan-kawasan berisiko tinggi. Kita tidak mampu lagi membiarkan hasil dan hak rakyat mengalir keluar. Adalah tidak wajar dan tidak adil apabila ada pihak yang mampu hidup senang atas kesusahan orang lain.
Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia

Ulasan
Catat Ulasan