
‘Kami warganegara Malaysia’
PELAJAR yang tinggal di selatan Thailand, menggunakan perahu di pengkalan haram, menyeberangi Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang.
Oleh YATIMIN ABDULLAH
21 November 2024, 6:25 am
RANTAU PANJANG: Hampir 400 pelajar yang tinggal di Thailand dan berulang alik dengan perahu menyeberangi Sungai Golok memilih untuk bersekolah di sini kerana mereka adalah warganegara Malaysia.
Utusan Malaysia difahamkan, kira-kira 150 daripada mereka belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) di bawah selian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Selebihnya, mengikuti pengajian di Sekolah Menengah Ugama selian Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Difahamkan, perkahwinan antara penduduk Malaysia dan Thailand, menjadi faktor ibu bapa mereka memilih untuk menetap di negara Gajah Putih itu.
Seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Zue, 15, berkata, dia dan tiga lagi adiknya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah sebagai warganegara Malaysia.
“Ayah asal dari Malaysia, manakala ibu warga Thailand. Selepas berkahwin dengan ibu, ayah memilih untuk menetap di Thailand.
“Bagaimanapun, saya dan tiga lagi adik-beradik lain lahir di Malaysia,” katanya.
Zue memberitahu, dia mula bersekolah di Rantau Panjang sejak berusia tujuh tahun dan sudah sebati berulang-alik menaiki perahu menyeberangani sempadan untuk ke sekolah.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan akan melaksanakan operasi besar-besaran untuk menangkap rakyat Malaysia yang pulang dari Thailand melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, bermula 1 Disember depan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, penguatkuasaan itu merupakan satu langkah untuk memperkasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu menggunakan laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki negara ini.
Menurutnya, rakyat Malaysia akan ditangkap sebaik sahaja menjejakkan kaki di negara ini selepas pulang dari Thailand melalui pangkalan haram.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, Fadhli Mat Yusof berharap pihak berkuasa dapat ‘berlembut’ dan memberi kelonggaran dalam pelaksanaan peraturan tersebut.
Katanya, menyeberangi Sungai Golok untuk pelajar Malaysia yang tinggal di Thailand bukan perkara baharu, malah dia sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.
“Jadi, kami mohon supaya pihak berkuasa dapat mewujudkan laluan khas dibuka di pangkalan haram Sungai Golok untuk kemudahan pelajar yang tinggal di Thailand memasuki negara ini.
“Kemasukan melalui pintu masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang memberikan kesukaran kepada pelajar apabila terpaksa beratur panjang di kaunter.
“Selain itu, jauh dari sekolah akan menjadi lebih jauh berbanding pangkalan haram yang mengambil masa kurang lima minit termasuk berjalan kaki,” ujarnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan