Perbaiki, tambah baik kesedaran hak asasi

Perbaiki, tambah baik kesedaran hak asasi
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
19 November 2024, 7:50 am

INISIATIF untuk menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tercetus apabila Malaysia terpilih sebagai ahli dalam Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada 1993.

Setahun kemudian, Tun Musa Hitam mencadangkan supaya Suhakam ditubuhkan, yang akhirnya direalisasikan pada 2000. Beliau yang mengetuai delegasi negara ketika itu, turut dipilih untuk mempengerusikan sesi persidangan UNHCR antara 1995 hingga 2003.

Sejak itu, Suhakam memainkan peranan menegakkan keadilan kepada golongan teraniaya tanpa mengira etnik, jantina, agama atau bahasa. Walaupun sudah hampir 25 tahun ditubuhkan, namun Suhakam tetap tidak dapat lari daripada ‘serangan’ pihak tertentu yang melihat badan ini ‘mati’ dalam perjuangannya.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan jurufoto, SADDAM YUSOF menemuramah Pengerusi Suhakam, DATUK SERI MOHD. HISHAMUDIN YUNUS bagi mendapatkan pandangan beliau berhubung keperluan badan ini dalam berdepan cabaran semasa.

HAK ASASI DALAM KONTEKS MALAYSIA
Hak asasi manusia merujuk kepada hak-hak dan kebebasan asas yang dimiliki setiap individu tanpa mengira bangsa, agama atau jantina, sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan memastikan hak-hak seperti kebebasan bersuara, beragama, perbicaraan yang adil serta perlindungan daripada diskriminasi dilindungi.


Hak kepada pendidikan, pekerjaan, keselamatan dan kehidupan yang bermaruah turut merangkumi aspek hak asasi, sejajar dengan undang-undang domestik dan piawaian antarabangsa.

Hak asasi manusia bukan sahaja berkaitan dengan undang-undang dan prinsip universal, tetapi juga memerlukan usaha yang berterusan untuk meningkatkan kesedaran serta pendidikan masyarakat mengenai kepentingannya.

PERANAN SUHAKAM
Kita mempunyai beberapa fungsi dan bukan sekadar mempromosikan kesedaran atau menyediakan pendidikan mengenai hak asasi manusia sebagaimana diamanahkan Parlimen melalui Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999.

Akta Suhakam mendefinisikan hak asasi manusia merujuk kebebasan asas yang terkandung dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan. Ini merangkumi hak untuk hidup dan kebebasan, tidak dipaksa bekerja secara perhambaan atau buruh paksa, kesaksamaan, kebebasan bersuara, bergerak, berhimpun secara aman, hak untuk berpersatuan, beragama serta tidak didiskriminasi dalam bidang pendidikan.

Akta Suhakam juga mengkehendaki suruhanjaya untuk mengambil kira Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR) selagi ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Paling penting peranan kita turut berfungsi di peringkat antarabangsa dan merupakan ahli Perikatan Global Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (GANHRI) dan beberapa agensi antarabangsa lain.
Ini sekali gus memberikan pengiktirafan kepada kita sebagai sebuah institusi hak asasi manusia yang mematuhi standard antarabangsa.

MASIH RELEVAN
Kami berfungsi sebagai badan penyelia yang bebas untuk memantau pelanggaran hak asasi manusia, memberi cadangan kepada kerajaan dan meningkatkan kesedaran awam mengenai isu-isu hak asasi manusia.

Lagipun kita wujud daripada hasil cabaran semasa termasuk dalam situasi ketegangan politik, isu sosial, perubahan dasar yang mempengaruhi hak-hak individu dan kumpulan rentan seperti kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), masyarakat adat dan pelarian.

Kita berfungsi untuk memperkukuh komitmen Malaysia terhadap perjanjian antarabangsa seperti Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Usaha-usaha ini memperlihatkan betapa pentingnya rangka kerja Suhakam dalam menggalakkan keadilan sosial, kesaksamaan dan hak asasi manusia dalam konteks yang sentiasa berubah.

Jadi, Suhakam bukan sahaja terletak pada fungsinya, tetapi keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa dan memenuhi keperluan masyarakat dalam memperjuangkan hak asasi manusia.

HALA TUJU
Pertama, saya mahu memperluas kesedaran tentang hak asasi manusia dalam kalangan masyarakat melalui pendidikan dan kempen kesedaran yang lebih intensif.

Ini termasuk menyediakan program pendidikan yang lebih komprehensif tentang hak asasi manusia di semua peringkat dari sekolah hingga ke peringkat komuniti.

Dengan meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih memahami dan menghayati hak asasi manusia, ia menjadikan lebih berdaya tahan dan berpengetahuan dalam mempertahankan hak-hak mereka.

Saya juga akan memastikan Suhakam dipimpin dengan cara lebih efektif dan cekap dalam melaksanakan tugas, termasuk memperkukuhkan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti pertubuhan masyarakat sivil (CSO), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta agensi-agensi kerajaan yang relevan.

Selain itu, bercita-cita untuk menjadikan Suhakam sebuah institusi yang dihormati dan disegani oleh rakyat, dengan memastikan ia sentiasa berfungsi dengan telus, berintegriti dan bertanggungjawab dalam memperjuangkan hak asasi manusia.

Suhakam juga akan lebih berani dan tegas dalam menegakkan Akta Suhakam serta menasihati kerajaan dan semua pihak dalam semua perkara yang termasuk dalam bidang kuasa Akta Suhakam.

PERTAHANKAN HAK ASASI GOLONGAN TERPINGGIR
Peranan Suhakam turut meliputi memantau situasi hak asasi manusia, menyiasat aduan pelanggaran hak serta mengemukakan cadangan kepada kerajaan mengenai penambahbaikan dasar dan undang-undang.

Sangat penting dalam mempertahankan hak-hak minoriti, OKU, wanita, kanak-kanak dan kumpulan terpinggir supaya tiada sesiapa pun yang tertinggal atau didiskriminasi.

Suhakam juga memainkan peranan kritikal dalam menasihati kerajaan berkenaan isu-isu hak asasi manusia di peringkat nasional dan antarabangsa termasuk dalam forum seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru, Suhakam bukan sekadar sebuah institusi tetapi satu mekanisme penting dalam memperkukuh amalan demokrasi, kedaulatan undang-undang dan menghormati hak asasi manusia di Malaysia.

Suhakam sentiasa komited dalam memastikan hak asasi manusia berada pada tahap yang optimum, selari dengan standard antarabangsa.

Pengukuran terhadap tahap hak asasi manusia di negara ini merangkumi pelbagai aspek termasuk kebebasan bersuara, perlindungan terhadap golongan rentan serta usaha untuk memastikan rakyat menikmati hak mereka dengan sepenuhnya.

RAMAI TIDAK TAHU HAK
Apa yang saya lihat, ramai belum memahami sepenuhnya hak mereka atau cara menuntut perlindungan terhadap pencabulan hak tersebut.

Jadi, pendidikan mengenai hak asasi manusia perlu diperkasakan bukan hanya dalam kalangan ahli undang-undang, pembuat dasar, sektor pendidikan dan korporat, tetapi juga dalam kalangan masyarakat awam.-UTUSAN

Ulasan