
Purata gaji naik RM56 setahun
KOS pendidikan, terutama di institusi swasta adalah tinggi, dan ini mencetuskan cabaran kewangan apabila mula bekerja.
Oleh HENDRA WINARNO
15 November 2024, 7:00 am
PETALING JAYA: Kenaikan gaji purata yang hanya sebanyak RM56 setahun sejak 30 tahun lepas menjadikan isu pendapatan statik sebagai masalah serius di Malaysia.
Menurut kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), pada 2010, iaitu hampir 15 tahun lalu, sebanyak 60 peratus daripada mereka yang bekerja dengan ijazah sarjana muda menerima gaji di bawah RM2,000.
Data pada 2021 pula menunjukkan ia tidak berubah dengan sebanyak 59.6 peratus graduan masih menerima gaji di bawah RM2,000.
Penyelidik Kanan KRI, Dr. Mohd. Amirul Rafiq Abu Rahim berkata, ini menunjukkan isu gaji rendah di negara ini tidak pernah selesai.
Ujarnya, ia menyumbang kepada masalah kewangan oleh golongan belia di negara ini, ditambah dengan kekurangan simpanan dan kos sara hidup tinggi.
“Bagi graduan, kos pendidikan, terutama di institusi swasta adalah tinggi, dan ini mencetuskan cabaran kewangan apabila mula bekerja.
“Sebagai contoh, seorang graduan dengan gaji permulaan RM2,000 sebulan perlu menampung kos bayaran balik pinjaman sekitar RM350 sebulan.
“Ini boleh menjadi beban yang besar, terutama bagi graduan dari keluarga berpendapatan rendah. Berdasarkan kajian, sekitar 84 peratus peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah dari keluarga yang berpendapatan di bawah RM5,000,” katanya dalam sesi webinar Kepentingan Individu Vs Kolektif: Dilema Pinjaman Pendidikan, semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan sejumlah RM32.29 bilion pinjaman PTPTN setakat 31 Disember tahun lalu belum dibayar balik oleh 2,716,110 peminjam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan RM71.3 billion yang telah dipinjamkan oleh badan itu dan sehingga tempoh tersebut, PTPTN sudah meluluskan 3,951,404 pinjaman kepada pelajar warga Malaysia yang layak.
Mengulas lanjut, Mohd. Amirul Rafiq berkata, hutang pendidikan kini berada di tempat kedua sebagai punca utama komitmen kewangan dalam kalangan belia, selepas pinjaman kenderaan.
“Majoriti golongan muda di bawah umur 30 tahun terbeban dengan pelbagai jenis pinjaman termasuk pendidikan, dengan 28 peratus daripadanya mempunyai pinjaman pendidikan.
“Sebab utama mereka terbeban termasuk kos sara hidup yang meningkat dan gaji rendah,” katanya.
Oleh itu, dalam mencari penyelesaian, beliau menegaskan, kaedah pembayaran balik pinjaman yang lebih fleksibel, seperti Pinjaman Berdasarkan Pendapatan (ICL) perlu diperkenalkan di mana peminjam hanya perlu membayar balik pinjaman berdasarkan tahap pendapatan mereka.
“KRI juga mengesyorkan agar Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) diperluas sebagai persediaan awal bagi keluarga untuk menabung demi pendidikan anak-anak mereka.
“Selain itu, kepentingan pendidikan vokasional dan teknikal (TVET) perlu ditekankan sebagai alternatif pendidikan kos rendah yang dapat menyediakan graduan dengan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, P TPTN telah menyediakan pembiayaan pendidikan kepada lebih empat juta peminjam dengan jumlah melebihi RM74 bilion sejak penubuhannya.
“Walaupun memberi peluang kepada pelajar dari pelbagai latar belakang untuk melanjutkan pelajaran, PTPTN juga mengakui perlunya pendekatan lebih holistik dalam menyelesaikan isu hutang pendidikan ini.
“Oleh itu, antara langkah yang diambil PTPTN adalah memperkenalkan SSPN yang memberi insentif seperti dividen dan pelepasan cukai, serta program Waqf MyPTPTN yang menggalakkan sumbangan dari individu dan korporat untuk biasiswa pelajar yang memerlukan.
“PTPTN juga telah melancarkan aplikasi MyPTPTN untuk memudahkan peminjam menguruskan pinjaman secara digital.
“Kami sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik, dan tindakan seterusnya akan diambil dengan teliti serta terbuka untuk menerima segala perbincangan dan maklum balas melalui semua platform kami serta di cawangan fizikal PTPTN,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan