Wawancara Richard Quest: Hamzah tegur Anwar


Wawancara Richard Quest: Hamzah tegur Anwar
November 21, 2024

Dato' Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), menegaskan Perdana Menteri perlu lebih berhati-hati dalam kenyataan melibatkan isu sensitif seperti wawancara bersama Richard Quest baru-baru ini.

Menurutnya, kenyataan tertentu boleh menimbulkan kemarahan rakyat dan mencetuskan salah faham.

“Apakah seorang penceroboh yang masuk ke rumah kita, kita benarkan dia mempertahankan dirinya? Bila kita tangkap dan tanya kenapa bunuh, jawabnya untuk mempertahankan diri.

“Ini persoalan khilaf yang perlu dijelaskan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Pembangkang itu turut memuji usaha Perdana Menteri memperjuangkan kepentingan negara di peringkat antarabangsa namun meminta kerajaan mengakui sebarang kekhilafan yang berlaku.

Beliau menekankan bahawa pembangkang berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang serta menyokong pendirian tegas negara dalam mempertahankan Palestin.

Hamzah berharap perbezaan pendapat itu tidak dijadikan alasan untuk memecah-belahkan rakyat dan menyeru penyelesaian isu secara harmoni.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendiriannya bahawa kenyataan beliau mengenai isu Israel dibuat berdasarkan konteks mempertahankan prinsip dalam forum antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – HARAKAHDAILY 21/11/2024

Ulasan