Bah: Seronok, bahaya dan kerugian




Bah: Seronok, bahaya dan kerugian
Oleh Imran Mohamad Nor
30 November 2024, 6:40 am

Banjir yang melanda lapan negeri di Semenanjung ketika ini dengan jumlah mangsa terkini 100,000 orang, dijangka terus bertambah jumlah mangsanya berdasarkan ramalan bah kali ini lebih buruk berbanding ‘Bah Kuning’ yang berlaku 10 tahun lalu.

Ketika ‘Bah Kuning’ yang melanda Pantai Timur terutama Kelantan pada tahun 2014, seramai 170,000 orang daripada kira-kira 36,000 buah keluarga menjadi mangsa dan ditempatkan di 309 buah pusat pemindahan sementara melibatkan lapan daerah.

Kesan dari tragedi ‘Bah Kuning’ itu memahat 1001 satu memori yang disulami perasaan suka, duka, pilu dan hiba yang melengkapi satu rasa. Bila dikenang kejadian ‘Bah Kuning’ ia cukup ngeri dan menakutkan.

‘Bah Kuning’ turut memahat sejarah bencana bah besar di Kelantan bersama peristiwa ‘Bah Merah’ pada tahun 1926 dan Bah Besar pada tahun 1967. Tiga bencana banjir besar tersebut begitu sukar dilupakan orang Pantai Timur terutama rakyat Kelantan.

Kalau zaman kanak-kanak dahulu, banjir yang hadir cukup dinantikan kerana ia memberi kegembiraan dan keseronokan. Bersama teman-teman sebaya bermain-main air banjir yang melimpahi jalan, memasang pukat untuk menangkap lampam, sebarau, tengas dan pelbagai spesies ikan sungai lain, mendayung sampan dan banyak lagi kenangan manis waktu itu.

Tetapi sejak akhir-akhir ini, kejadian alam seperti banjir seolah-olah meragut kegembiraan dan keseronokan alam kanak-kanak dahulu. Sekarang banjir menghadirkan lebih duka dari gembira, banyak menangis dari tertawa, senyum tidak lagi terukir, malah rauh wajah sering dibasahi air mata.

Ibu bapa pula sekarang ini lebih ramai melarang anak-anaknya bermain air banjir kerana dikhuatiri lemas. Sejarah kematian kanak-kanak sebelum ini akibat bencana banjir pastinya menjadi pedoman kepada ibu bapa agar tidak membiarkan anak-anak mereka terdedah bahaya banjir.

Kemusnahan akibat banjir ini bukan sedikit. Berdasarkan Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), impak banjir yang berlaku pada tahun lalu mencatatkan kerugian yang amat besar kepada negara dengan jumlah kerugian mencecah RM755.4 juta.

Jumlah itu merangkumi aset awam dan infrastruktur sebanyak RM380.7 juta, kediaman RM168.3 juta, industri pertanian RM120.6 juta, premis perniagaan RM53.2 juta, kenderaan RM22.3 juta dan pembuatan RM10.3 juta.

Justeru, kerajaan Pusat melalui jabatan-jabatan dan agensi-agensi telah diarah bersiap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

Besar harapan kita agar kerajaan Pusat dan negeri-negeri yang terlibat berganding segalanya bagi menangani banjir yang diramal lebih buruk tahun ini.

Janganlah kemusnahan akibat peristiwa bah besar di Kelantan, banjir Januari 1971 di Kuala Lumpur yang mengorbankan 32 orang dan 180,000 rakyat terjejas berulang kembali.

Imran Mohamad Nor ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN

Ulasan