
Banjir: Sudah empat kali berpindah tahun ini
Oleh Nazdy Harun - Disember 29, 2024 @ 11:43pm
Penduduk Kampung Pasir Dula, meredah banjir untuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). - Foto Ihsan WAN AMIRUL WAN ZUKI
KUALA BERANG: Hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu mengakibatkan beberapa kampung di daerah ini dilanda banjir sejak pagi tadi.
Wan Amirul Wan Zuki, 29, dari Kampung Pasir Dula, dekat sini berkata, air mula memenuhi perkarangan rumahnya kira-kira jam 5.30 petang tadi sebelum ahli keluarganya meninggalkan rumah.
Menurutnya, dia sekeluarga antara mangsa terawal yang akan berpindah sama ada ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Pasir Dula.
"Kedalaman air kali ini hanya dua meter berbanding gelombang pertama sebelum ini mencecah lapan meter.
"Kali ini, saya mengambil sikap tunggu dan lihat untuk mengalihkan barangan dan jika paras air terus meningkat barulah saya akan berpindah ke rumah saudara," katanya.
Menurutnya, pengalaman saban tahun berdepan banjir menyebabkannya mudah membuat anggaran untuk berpindah Malah, katanya dia sekeluarga akan berpindah sendiri menggunakan bot gentian kaca tanpa menunggu bantuan tiba.
Katanya, tahun ini, empat kali dia sekeluarga terpaksa berpindah memandangkan air memasuki rumah.
Menceritakan pengalamannya, katanya pernah berlaku sebaik selesai kediaman dibersihkan, banjir kembali melanda kediamannya.
Amirul berkata, biasanya banjir di kawasan kampungnya tidak mengambil masa yang lama untuk surut memandang ia berlaku akibat limpahan air sungai berhampiran.
"Sekiranya hujan tidak berterusan maka paras air akan mula surut dan begitulah sebaliknya namun pengalaman yang ada membuatkan kami sentiasa berjaga-jaga.
"Bimbang paras air naik mendadak sekiranya berlaku kepala air dan sikap sentiasa berwaspada amat perlu memandang rumah saya terdedah dengan bencana alam itu," katanya.
Sementara itu, jirannya, Fatimah Deraman, 52, berkata, dia mengambil langkah awal dengan berpindah ke rumah saudara yang terletak di kampung berhampiran.
"Bagi mengelak kesulitan saya pindah lebih awal kerana rumah sudah ditengelami banjir sedalam dua meter dan saya berharap hujan kali tidak berterusan.
"Sudah lumrah, setiap tahun, tiga hingga empat kali saya sekeluarga akan berpindah akibat banjir," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan