
Cadangan peperiksaan SPM di luar musim tengkujuh diteliti
FADHLINA Sidek beramah mesra dengan calon SPM yang terjejas banjir di Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Sri KIambang di Pasir Mas, Kelantan semalam. -UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Oleh YATIMIN ABDULLAH
3 Disember 2024, 6:40 am
PASIR MAS: Kementerian Pendidikan (KPM) sedia memperhalusi cadangan untuk menukar waktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di luar musim tengkujuh.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkara tersebut antara cadangan dan maklum balas yang diperoleh oleh kementeriannya dan boleh dilihat secara lebih mendalam selepas ini.
“Ketika ini (SPM) jadualnya begitu di hujung tahun dan kita (KPM) berdepan dengan cuaca (hujan dan banjir). Maknanya perkiraan itu kita ambil kira.
“Jadi kita akan lihat dari semasa ke semasa kerana ia mendapat perhatian besar daripada masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas di sini semalam.
Pas sebelum ini meminta KPM mempertimbang penangguhan peperiksaan SPM susulan cuaca buruk dan banjir yang melanda negara ketika ini.
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, keadaan hujan lebat serta banjir yang tidak terkawal akan mendatang kesan mendalam, khususnya kepada mangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, KPM akan memberikan fokus kepada pemulihan semula moral semua calon SPM yang terkesan dengan banjir ketika ini.
Menurut Fadhlina, langkah itu selepas KPM bersama agensi penyelamat berjaya memindahkan dan menempatkan mereka di asrama sekali gus membolehkan pelajar terbabit menduduki peperiksaan awam itu.
“Pada masa sama, kita sudah menyediakan kaunselor untuk memberikan sokongan psikososial bagi memastikan mereka bersedia menduduki SPM.
“Alhamdulillah, semalam (kelmarin) semua pelajar terkesan dengan banjir selamat dipindahkan. Terima kasih kepada semua agensi penyelamat seperti polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba dan sebagainya yang membantu melancarkan tugas tersebut,” kepada calon yang terjejas,” katanya.
Fadhlina memberitahu, ujian lisan kelmarin berjalan lancar dengan baik dan beliau berharap calon dapat memberikan yang terbaik.
Katanya, KPM turut berpuas hati dengan persiapan yang telah dilakukan di peringkat bawah terutama PPD Pasir Mas apabila ia berjalan lancar.
“Semua 37 pusat di seluruh Kelantan berjalan seperti biasa. Asrama yang menjadi penempatan mereka sudah dilengkapkan kemudahan fasiliti terbaik termasuk akses internet dan komputer,” ujarnya.
Ulasan
Catat Ulasan