Derma organ jariah terakhir kita


Derma organ jariah terakhir kita
Oleh Ismail Daud
10 Disember 2024, 9:00 am

Laporan yang menyebut hanya 0.24 peratus atau 948 da­ripada 393,951 pengikrar di negara ini memenuhi persetujuan mendermakan organ mereka selepas kematian sejak hampir 50 tahun lalu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Walaupun data Pusat Sumber Transplan Nasional me­nunjukkan jumlah pengikrar di negara ini mencapai angka hampir 400,000 orang dengan lebih 13,000 orang menjadi pengikrar pada tahun ini sahaja tetapi tidak banyak kejayaan dicatatkan dalam urusan derma organ ini.

Banyak faktor yang mempengaruhinya. Paling utama ialah derma organ bukan budaya kita khususnya orang Melayu yang membentuk persepsi negatif dalam kalangan ahli keluarga pengikrar. Ramai yang beranggapan langkah menderma organ selepas kematian sebagai menyeksa mayat dan melambatkan proses pengebumian. Walaupun fatwa tentang pendermaan organ ini sudah wujud sejak 1970 tetapi ia masih tidak mampu mengatasi persepsi itu sehingga kini.

Ada juga kes keluarga tidak tahu si mati seorang pengikrar derma organ tetapi walaupun diberitahu, mereka masih tidak membenarkannya.

Ahli keluarga akan membayangkan yang bukan-bukan sedangkan semua proses mengambil organ yang dipersetujui itu dilakukan oleh pakar perubatan. Kita mungkin membayangkan jika kornea mata diambil, akan berlubanglah mata ahli keluarga kita itu. Ia tidak begitu.

Akibatnya, lebih 10,000 pesakit yang tersenarai memerlukan organ terpaksa menunggu lebih lama, dikatakan sehingga 20 tahun dan ramai yang meninggal dunia tanpa sempat mendapatkan organ yang diperlukan. Ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Kebanyakan mereka ini adalah pesakit buah pinggang.

Untuk mewujudkan kesedaran tentang perlunya kita menderma organ terutama selepas kematian bukan mudah, apatah lagi jika kita tiada ahli keluarga dalam senarai menunggu. Apabila kita tiada pengalaman berdepan de­ngan suasana getir iaitu organ baharu adalah jalan terakhir, kita tidak akan memahaminya.

Walaupun urusan pendaftaran sebagai pengikrar sudah dipermudahkan termasuk boleh mendaftar secara dalam talian menerusi MySejahtera tetapi itu masih tidak mencukupi. Undang-undang negara kita juga tidak boleh memaksa organ diambil daripada seorang pengikrar kecuali mendapat kebenaran keluarga.

Galakan dalam bentuk insentif tertentu mungkin wajar diperkenalkan. Sebagai contoh, pengikrar derma organ diberikan keutamaan dan rawatan kelas pertama di hospital-hospital kerajaan. Ini sebagai satu ganjaran kepada keikhlasan dan jiwa besar mereka untuk menjadi penderma organ walaupun akhirnya nanti mungkin organ mereka tidak diambil kerana tidak sesuai atau atas alasan lain. Ketika ini, hanya penderma organ semasa hidup sahaja menerima keistimewaan tersebut.

Kesedaran juga perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat supaya mereka tidak menjadi penghalang kepada pengikrar mendermakan organ selepas mati. Ingatlah bahawa kita semua adalah pinjaman daripada Allah. Daripada tubuh kita hancur dihimpit tanah, lebih baik organ kita didermakan kepada yang memerlukan. Sekurang-kurangnya ia menjadi amal jariah terakhir kita.

Semoga kisah mendiang Selvaraju Shanmugam yang mendermakan kedua-dua korneanya untuk membantu dua pesakit di Kota Kinabalu kira-kira setahun lalu walaupun berusia 83 tahun ketika meninggal dunia, menjadi iktibar kepada kita semua. – UTUSAN

Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia

Ulasan