Jangan rencatkan industri bernilai RM800 bilion
Oleh Mohd Shariza Abdullah
29 November 2024, 7:25 am
UNSUR nadir bumi (REE) kini menjadi ‘buruan’ negeri-negeri sebagai sumber pendapatan baharu. Mineral ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk diterokai. Unsur REE bukan radioaktif (NR-REE) diperlukan untuk pembuatan produk seperti bateri, super magnet dan peralatan-peralatan elektronik.
Sumber NR-REE di Malaysia dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan metrik dengan nilai pasaran sebanyak RM809.6 bilion. Kerajaan-kerajaan negeri berlumba-lumba mahu menjana hasil daripada aktiviti perlombongan ini bagi meningkatkan kantung kewangan masing-masing.
Tiga negeri di Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang merekodkan jumlah REE melebihi satu juta tan metrik. Terengganu paling banyak membabitkan 7.2 juta tan metrik dengan nilai pasaran berjumlah RM362 bilion. Kelantan negeri kedua membabitkan 2.5 juta tan metrik (nilai pasaran RM2.9 bilion) manakala Pahang sejumlah 1.2 juta tan metrik.
Rabu lalu, Kedah mengumumkan REE dijangka mula menjadi sumber pendapatan baharunya tahun depan, susulan mengesan kewujudan mineral itu di tapak milik sebuah anak syarikat kerajaan negeri (GLC).
Sewajarnya potensi besar industri REE dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Namun, dengan nilai komersial menghampiri RM1 trilion, ia pasti terdedah dengan korupsi dan rasuah.
Masalah ini tidak boleh dipandang ringan kerana menyebabkan ketirisan hasil dan cukai kerajaan. Lihat sahaja kegiatan perlombongan bauksit di Pahang yang sudah beberapa kali digempur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tindakan terbaharu suruhanjaya itu pertengahan bulan ini menyaksikan anggotanya menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar Kuantan. Ia disyaki dilindungi pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri itu sejak 2022.
Dalam serbuan dijalankan Bahagian Perisikan SPRM itu, tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit ditahan kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.
Justeru, dalam keghairahan meraih laba daripada REE, aktiviti penguatkuasaan juga perlu diperkemas. Langkah ini bagi mengelak sumber negara dieksploitasi yang akan mengurangkan hasil kepada kerajaan dan merencat pembangunan industri berkenaan.
Sehingga kini, belum ada prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan spesifik bagi aktiviti perlombongan sedangkan ia sangat penting bagi mengelak daripada berlakunya penyelewengan hasil.
Hasil siasatan SPRM mendapati tiada SOP khusus bagi pengeluaran REE sekali gus memungkinkan penyelewengan dan perlombongan haram berlaku.
Pada masa sama, ada ketua kerajaan negeri yang menggesa Kerajaan Persekutuan mengeluarkan segera SOP eksplorasi REE kerana ia adalah di bawah kuasa mereka.
Pengeluaran SOP ini bukan sahaja untuk mengekang penyelewengan tetapi memastikan pengeksploitasian hasil mineral itu dibuat secara lestari dan mampan.
Kita tidak mahu industri REE yang dianggai sebagai sumber kekayaan baharu menjadi lubuk kepada perbuatan rasuah dan pembangunannya terencat gara-gara masalah SOP. – UTUSAN
Mohd. Shariza Abdullah ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan
Catat Ulasan