MAIK turun padang santuni mangsa banjir di Bachok



MAIK turun padang santuni mangsa banjir di Bachok
December 10, 2024

BACHOK: Dalam usaha meringankan beban mangsa banjir, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turun padang menyantuni mangsa banjir di Kampung Bukit Hanyut, di sini hari ini.

Meskipun keadaan hujan renyai, pasukan MAIK yang diketuai oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dato’ Mohd Anis Hussein turun dari rumah ke rumah menyampaikan bantuan kepada keluarga terjejas.

Sebelum ini, sumbangan telah disalurkan kepada mangsa melalui Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok.

Namun, situasi semasa menunjukkan ramai mangsa masih dalam keadaan terdesak, dengan rumah-rumah yang masih berlumpur dan banyak peralatan serta barangan harian rosak akibat banjir.

“Ketika kami sampai, ada mangsa yang sedang membersihkan kediaman mereka. Banyak barang seperti beras, pakaian, dan peralatan elektrik tidak dapat diselamatkan kerana air banjir naik mendadak,” kata salah seorang wakil MAIK.

Dalam kunjungan ini, bantuan berupa sumbangan makanan dan wang tunai disampaikan kepada empat keluarga yang terjejas teruk.

Meskipun masih terpancar kesedihan akibat kerugian yang dialami, penduduk kampung menyambut kedatangan pasukan MAIK dengan senyuman dan rasa syukur.

Turut menyertai sesi menyantuni mangsa banjir Setiausaha MAIK, Muhamad Rasani Ramli dan Pegawai Pengurusan Projek MAIK, Ikhwan Mat Yasin @ Hashim.

MAIK menurut mereka, terus komited dalam memastikan kebajikan rakyat, khususnya golongan asnaf dan mangsa bencana diberi perhatian sewajarnya. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

Ulasan