Pantai Timur dilanda gelombang kedua



Pantai Timur dilanda gelombang kedua
PEMILIK kedai runcit duduk di atas meja selepas kedainya di Kampung Baru Tok Kaya Kanan, Kemasik, Kemaman dilanda banjir gelombang kedua semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA, YATIMIN ABDULLAH, AIMUNI TUAN LAH dan KAMALIZA KAMARUDDIN
11 Disember 2024, 6:15 am

KUALA TERENGGANU: Terengganu, Kelantan dan Pahang dilanda gelombang kedua banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak kelmarin yang menyaksikan sejumlah 5,223 mangsa daripada 1,263 keluarga dipindahkan di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di ketiga-tiga negeri.

Setakat pukul 4 petang semalam, Terengganu paling ter­jejas dengan merekodkan se­ramai 4,904 mangsa yang di­pindahkan ke 27 PPS.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, Kemaman merekodkan mangsa tertinggi iaitu 4,608 orang daripada 1,114 keluarga di 20 PPS di daerah itu.

“Di Dungun pula, sebanyak tujuh PPS dibuka untuk me­nempatkan 296 mangsa daripada 67 keluarga petang,” katanya semalam.

Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan Sungai Tebak di Kemaman melepasi paras bahaya manakala beberapa sungai utama lain telah melimpah berbanding paras amaran.

Sementara itu di Kelantan, gelombang kedua banjir me­nyaksikan 180 penduduk dari 42 keluarga di Gua Musang terjejas kini berlindung di tiga PPS iaitu Dewan Semai Bakti Felda Chiku 7, Dewan Orang Ramai Batu 6 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi.

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my mela­por­kan, Sungai Sokor di Ta­nah Merah sudah melepasi paras bahaya iaitu 25.22 meter.manakala Sungai Golok di Ta­nah Merah dan Rantau Panjang kembali ke tahap amaran.

Selain itu, Sungai Galas di Gua Musang, Sungai Lanas (Jeli) dan Sungai Kelantan (Tangga Krai) melepasi paras berjaga-jaga.

Dalam pada itu, Penghulu Tanpa Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Razali Mat Daud berkata, hujan berterusan sejak petang kelmarin menyebabkan air Sungai Chiku melimpah ke atas jalan dan rumah penduduk.

“Mangsa yang terlibat adalah keluarga yang tinggal di kawasan rendah sekitar Felda Chiku 7. Pada pukul 11 pagi semalam penduduk terjejas banjir mula berpindah ke PPS berikutan kediaman dan kawasan sekitar mula dinaiki air,” katanya.

Di Pahang, seramai 139 mang­sa banjir membabitkan 40 keluarga ditempatkan di enam PPS di Maran berikutan gelombang kedua banjir semasa musim tengkujuh ini.

Enam PPS itu adalah Ulu Luit, Pusat Pemindahan Tetap Luit, Surau Bukit Kuin, PPS Kampung Baru Sungai Chedong, PPS Bangunan Bengkel Wanita Kampung Bak-Bak dan Balairaya Kampung Jara.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Maran berkata, kejadian hujan berterusan berkenaan menyebabkan kawasan rendah di sekitar daerah tersebut dinaiki air bermula pada pukul 8 malam kelmarin.

“PPS pertama dibuka pukul 10 malam iaitu PPS Ulu Luit yang menempatkan 27 mangsa daripada tujuh keluarga, di­ikuti Pusat Pemindahan Te­tap Luit yang dibuka pukul 10.30 malam menempatkan 58 mang­sa, 17 keluarga.

“PPS Surau Bukit Kuin dibuka pukul 11 malam me­nempatkan lima mangsa mem­babitkan sebuah keluar­ga dan PPS Kampung Baru Sungai Chedong pula menempatkan 40 mangsa daripada 12 keluarga,” katanya.

Kata jurucakap itu, PPS Ba­ngunan Bengkel Wanita Kampung Bak-Bak menempatkan empat mangsa membabitkan satu keluarga manakala Balai­raya Kampung Jara pula lima mangsa daripada dua keluarga. – UTUSAN

Ulasan