Pembangunan lestari, langkah pencegahan kurangkan impak bah


Pembangunan lestari, langkah pencegahan kurangkan impak bah
Oleh Prof Madya Dr Md Fauzi Ahmad - Disember 3, 2024 @ 8:30am
SUDAH lebih 150,000 mangsa banjir terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), sekali gus menunjukkan bahawa seriusnya bencana alam itu pada tahun ini.

Kelantan sendiri dianggap mengalami bencana paling buruk dalam sejarahnya, termasuk bah kuning yang mengejutkan penduduk negeri itu pada 2014.

Hakikatnya, banjir bukan sahaja memberi impak kepada kehidupan seharian masyarakat, bahkan membawa kepada kerugian ekonomi besar.

Sektor seperti pertanian, perikanan dan infrastruktur turut terjejas akibat banjir kerap berlaku. Kerugian harta benda, kemusnahan tanaman serta kerosakan pada jalan raya dan bangunan memberi tekanan besar kepada rakyat dan kerajaan dalam pemulihan pascabanjir.

Kejadian banjir ini bukan sahaja menyebabkan kerugian material, bahkan memberi kesan sosial kepada masyarakat terjejas, terutama dalam aspek psikologi dan kesihatan.

Antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan banjir ialah perubahan iklim global yang membawa kesan kepada pola cuaca dunia, termasuk peningkatan intensiti hujan menyebabkan aliran air lebih cepat dan lebih besar.

Dalam konteks Malaysia, perubahan iklim memberi kesan besar kepada ekosistem dan sistem hidrologi negara.

Sungai utama di negeri seperti Kelantan dan Terengganu kini mencatatkan paras air melepasi tahap bahaya seperti Sungai Lanas di Jeli dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja.

Banjir lebih kerap dan meluas ini manifestasi jelas perubahan iklim tidak dapat dielakkan.

Selain itu, pembalakan tidak terkawal dan aktiviti pembangunan pesat tanpa mengambil kira aspek kelestarian alam turut menyumbang kepada peningkatan banjir.

Penebangan hutan berleluasa mengurangkan kawasan tadahan air semula jadi, menyebabkan tanah kurang mampu menyerap air hujan.

Ini mengakibatkan peningkatan jumlah air mengalir ke sungai dan saliran, sekali gus meningkatkan potensi banjir.

Begitu juga pembangunan infrastruktur tidak memberi penekanan sistem saliran baik, menyebabkan banjir kilat berlaku di bandar.

Kerosakan pada sistem saliran dan infrastruktur lain menambah kesulitan bagi pihak berkuasa menguruskan banjir dengan efisien.

Perancangan lebih holistik, terintegrasi

Dalam menghadapi cabaran banjir, pelbagai usaha diambil kerajaan untuk mengurangkan kesan bencana ini.

Antaranya, meningkatkan sistem peringatan awal dan penyelidikan dalam pengurusan bencana. Sistem Amaran Banjir Nasional dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi, bertujuan memberi amaran awal kepada masyarakat mengenai potensi banjir.

Ini penting untuk memastikan masyarakat dapat bersiap sedia dan mengurangkan kesan kerosakan harta benda serta nyawa.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula berperanan penting dalam memantau paras air sungai dan memberi amaran kepada penduduk mengenai keadaan sungai melebihi paras bahaya.

Namun, usaha ini tidak akan berkesan jika tidak disertai perancangan lebih holistik dan terintegrasi. Contohnya, pendekatan baharu dalam perancangan bandar perlu diambil dengan mengambil kira faktor seperti pembangunan mesra alam dan sistem saliran lebih cekap.

Bandar lestari dan berdaya tahan terhadap bencana alam akan membantu mengurangkan kesan banjir. Reka bentuk bandar mempunyai lebih banyak ruang hijau serta kawasan tadahan air semula jadi dapat membantu menyerap air hujan, sekali gus mengurangkan jumlah air mengalir ke sungai dan saliran.

Penggunaan teknologi dalam menguruskan banjir juga amat penting. Teknologi moden seperti data satelit dan kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan untuk meramalkan kejadian banjir lebih tepat.

Ini membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan lebih awal dalam memindahkan mangsa dan mempersiapkan bantuan kecemasan.

Teknologi ini juga boleh membantu dalam merancang sistem saliran lebih efisien, mampu menampung jumlah air hujan lebih banyak.

Selain itu, kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan bertindak lestari dalam kehidupan seharian perlu diperkukuh.

Masyarakat perlu dididik untuk memahami kesan buruk daripada tindakan merosakkan alam sekitar seperti pembalakan haram dan pembuangan sampah di sungai.

Program pemuliharaan alam sekitar seperti menanam pokok dan melestarikan kawasan hutan perlu digalakkan. Ini akan membantu memulihkan ekosistem semula jadi berperanan sebagai kawasan tadahan air penting bagi mengurangkan impak banjir.

Tuntut kerjasama sektor swasta

Peranan sektor swasta juga sangat penting dalam menghadapi cabaran banjir ini. Banyak syarikat besar perlu menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan bandar lestari menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dengan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, impak banjir dapat dikurangkan. Pihak swasta juga boleh menyediakan bantuan kepada mangsa banjir, seperti sumbangan kewangan dan barang keperluan serta terbabit dalam program pemulihan pascabanjir.

Kerajaan juga perlu meningkatkan lagi usaha dalam menyediakan bantuan segera selepas bencana. Mangsa banjir kehilangan tempat tinggal dan harta benda memerlukan bantuan dalam bentuk kewangan, makanan, pakaian serta keperluan asas lain.

Selain itu, bantuan dalam bentuk sokongan psikologi juga penting untuk membantu mangsa trauma akibat bencana berkenaan.

Program pemulihan berkesan dan sistematik akan membantu mangsa banjir untuk kembali bangkit dan memulihkan kehidupan mereka.

Antara perkara perlu diberi perhatian serius ialah pendidikan mengenai perubahan iklim dan kesannya terhadap masyarakat.

Pendidikan mengenai kesan perubahan iklim perlu dimulakan pada peringkat sekolah dan diteruskan di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menyedarkan generasi muda mengenai pentingnya menjaga alam sekitar dan mengadaptasi diri dengan perubahan iklim akan memastikan negara ini bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa hadapan.

Banjir semakin kerap berlaku ini menjadi peringatan kepada negara bahawa kesan perubahan iklim semakin dirasai dan perlu dihadapi lebih serius.

Langkah pencegahan dan pengurusan lebih baik, kerjasama antara pelbagai pihak serta kesedaran masyarakat adalah kunci menghadapi cabaran ini. Malaysia perlu meminimumkan impak banjir terhadap rakyat dan negara serta mewujudkan persekitaran lebih selamat dan lestari untuk generasi akan datang.

Penulis adalah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Ulasan