Penjawat awam Perlis terima bonus RM2,000
MOHD Shukri Ramli (lima dari kanan) selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Oleh ASYRAF MUHAMAD
10 Disember 2024, 4:30 pm
KANGAR: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri termasuklah kakitangan kontrak.
Pembayaran berkenaan bakal melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2.834 juta dengan pembayaran dibuat sebanyak dua kali pada bulan ini dan Mac tahun hadapan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pemberian BKK itu adalah merupakan langkah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam di negeri ini.
“Kerajaan negeri bersetuju memberikan BKK sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri termasuk kakitangan kontrak,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Perlis 2025 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata, bagi memastikan intergriti penjawat awam sentiasa berada pada tahap tertinggi, kerajaan negeri juga akan memperkukuhkan pelaksanaan program sedia ada dan latihan berterusan buat pihak terlibat.
Katanya, penjawat awam merupakan tulang belakang pentadbiran negeri dan aset penting dalam memastikan setiap dasar atau inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM200,000 bagi pembangunan latihan penjawat awam dan dimensi latihan perlu diperluaskan lagi bagi memberi perspektif baharu dalam pembetukan sahsiah serta kemahiran.
“Pusat Sokongan Psikologi yang akan diwujudkan di jabatan utama turut memainkan peranan penting dalam usaha ini dengan menyediakan khidmat nasihat berkaitan pengukuhan intergriti dan keseimbangan antara kehidupan peribadi serta kerjaya,”katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga turut menyambut baik pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu yang dijangka memberikan struktur gaji lebih adil dan kompetetif.
“Selaras pelaksanaan SSPA berkuatkuasa 1 Disember lalu, penjawat awam akan memperolehi pendapatan minimum berjumlah RM2,115 sebulan. Dengan perbelanjaan tambahan yang perlu ditanggung oleh kerajaan negeri berjumlah RM4.3 juta ini, besarlah harapan saya agar semua penjawat awam negeri ini dapat memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan