PM arah tindakan susulan pasca banjir


PM arah tindakan susulan pasca banjir
ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
3 Disember 2024, 6:50 am

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan satu tindakan susulan pasca banjir dilaksanakan mulai pertengahan bulan ini selepas peruntukan tambahan disalurkan bagi kerja-kerja pemulihan di negeri-negeri terjejas akibat bencana itu.

Perdana Menteri berkata, beliau berbangga dengan perkhidmatan yang ditunjukkan seluruh jentera kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, ini termasuk Skuad Ihsan Madani yang digerakkan Ketua Setiausaha Negara yang turut sama terlibat menyantuni mangsa-mangsa banjir.

“Ini satu hal yang patut kita siap. Bila surut tentunya ada beban dan tanggungjawab untuk memulihkan. Sebab itu kita juga sediakan peruntukan tambahan untuk baiki sekolah-sekolah dan pusat-pusat pemindahan sementara (PPS), kemudahan kebersihan tandas dan sebagainya.

“Ia memerlukan satu tindakan susulan mulai pertengahan Disember ini. Timbalan Perdana Menteri melaporkan tadi (semalam) bahawa ada beberapa keadaan surut sedikit tetapi dia (banjir) melabuh ke Pahang dan Johor. Jadi maknanya kesiapsiagaan di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini semalam.

Kelmarin, Anwar mengumumkan peruntukan tamba­han sebanyak RM50 juta susulan keadaan banjir yang semakin serius di Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata, peruntukan tambahan tersebut dilaksanakan apabila didapati kesan daripada banjir tersebut dinilai lebih daripada jangkaan awal.

Anwar berkata, kesiapsiagaan 82,000 seluruh jentera kerajaan termasuk keprihatinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang membantu tanpa mengira tempat, kaum dan agama membuktikan satu kekuatan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, cerita tentang kebaikan ini kadang-kadang tidak dihebahkan, tetapi jika berkaitan beberapa orang penjawat awam yang lembab, bermasalah sama ada curi wang ataupun lambat dalam memberikan kelulusan dan sebagainya sering dihebahkan.

“NGO juga berperanan, kadang-kadang bukan formal, saya lihat lori-lori makanan daripada Pulau Pinang, kebetulan saya jumpa seorang dari Bukit Mertajam, dia bukan NGO, dia hanya urus 10 lori makanan, dia kirim ke Kelantan dan dia maklum kepada ATM (Angkatan Tentera Malaysia) untuk bantu menyelaraskan.

“Ini kekuatan rakyat Malaysia. Dan kebetulan daripada Pulau Pinang itu Cina (kerana) dia fikir masalah bersama,” katanya.

Pada masa sama Perdana Menteri turut menyeru sektor swasta yang lain untuk membantu menumpukan perhatian dalam musibah banjir ini sama ada memberikan dana atau mempersiapkan jentera masing-masing.

“Ada baiknya dalam keadaan sekarang bukan saja dana, tetapi siap jentera biar tiap syarikat-syarikat swasta dari Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang turun juga ke gelanggang.

“Pertama dia lihat masalah kehidupan rakyat, kemiskinan dan kesusahan mereka, tapi dengan penuh kesabaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar menggesa seluruh warga perkhidmatan awam untuk mempertingkatkan penyampaian dan perkhidmatan dengan memastikan prestasi jauh lebih baik dari sebelumnya berikutan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula bulan ini.

Katanya, rakyat sentiasa mahu melihat perubahan pada seluruh sistem perkhidmatan awam sama ada peringkat akar umbi mahupun kementerian.

“SSPA sudah bermula bulan ini. Seperti yang dijanjikan, tahniah kepada mereka yang mendapat kenaikan.

“Saya percaya dengan semangat ini walaupun prestasi baik, kita harus tingkatkan,” katanya.

Selain itu, menyentuh isu ASEAN, Anwar sekali lagi mengulangi sokongan kerajaan kepada Timor Leste bagi mendapatkan keanggotaan blok tersebut.

Beliau berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menekankan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan negara anggota dan rakan dialog ASEAN bagi mempercepatkan proses penyertaan Timor-Leste.

“Kami (Malaysia) menantikan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN.

“Pada tahun depan, apabila kami mempengerusikan ASEAN dan kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk membantu (keahlian) Timor-Leste supaya proses itu dapat dipermudahkan dan dipercepatkan lagi,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai siri lawatan beliau ke luar negara baru-baru ini, perdana menteri menegaskan ia adalah penting demi manfaat negara dalam meningkatkan ekonomi, pelaburan dan mutu pendidikan.

Katanya, negara luar kini sudah mengiktiraf peranan serta kedudukan Malaysia.

Ulasan