Senator Martina buka peluang untuk para dermawan
Sumbangan untuk mangsa banjir Kelantan
December 1, 2024
KOTA BHARU: Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff menawarkan perkhidmatan ‘orang tengah’ bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan pada ketika ini.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini beliau berkata, penduduk di Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat amat memerlukan bantuan dan sumbangan rakyat akibat musibah tersebut.
Menurutnya, Dewan Negara bakal memulakan persidangan esok dan akan berlangsung selama tiga minggu, bahkan dalam masa sama beliau akan pulang setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“Sahabat-sahabat di Kuala Lumpur, saya sekarang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, Insya Allah balik Kelantan pula pada 5 dan 6 Disember iaitu Khamis dan Jumaat.
“Kalau sahabat-sahabat ada nak kirim barang-barang keperluan bolehlah ya, seperti selimut, tuala, telekung, sejadah, pampers, tuala wanita atau barang makanan asas,” katanya.
Walaupun hari ini kebanyakan kawasan di negeri itu tidak hujan, namun jumlah mangsa banjir masih mencatat 95,264 orang membabitkan 29,486 keluarga sehingga jam 3:03 petang.
Mereka ditempatkan di 271 pusat pemindahan sementara (PPS) dalam sembilan jajahan di negeri itu selepas PPS di Gua Musang ditutup sepenuhnya bermula hari ini.
Malah pusat bandar Kota Bharu kini dinaiki air sedalam kira-kira dua meter ekoran air Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja yang melimpah sejak 12 tengah malam tadi.
Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menerusi akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 1/12/2024

Ulasan
Catat Ulasan