
Titah Adendum: Anwar sengaja ingkar titah Agong
December 11, 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disifatkan sengaja ingkar titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membuat keputusan dalam Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 berhubung Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.
Bekas pemimpin PKR, Datuk Ezam Mohd Nor turut menyifatkan Anwar melanggar sumpah jawatan dihadapan Yang di-Pertuan Agong, ketika bercakap kepada media di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini hari ini.
Menurut Ezam, perkara itu berdasarkan beberapa dokumen Lembaga Pengampunan diterima serta beberapa peristiwa di mahkamah termasuk afidavit Adendum oleh anak pengadu, Datuk Mohamad Nizar Najib, selain kenyataan kerajaan di dalam dan luar Parlimen beberapa hari lalu.
“Disebabkan dokumen-dokumen yang saya terima membabitkan perintah dan titah Agong bersama cap mohor kerajaan, saya tidak dapat mendedahkannya kepada umum dan telahpun menyerahkannya kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hari ini.
“Kesemua asas-asas ini menjuruskan kepada keingkaran dan kegagalan pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan memanda Perdana Menteri yang dengan sengaja mengenepikan sebahagian daripada titah perintah diraja untuk kepentingan politik mereka sendiri,” katanya.
Menurut Ezam, penjelasan yang dibuat Perdana Menteri di Parlimen semalam hanyalah helah menutup jenayah yang beliau dan Jemaah Menterinya telah lakukan secara sengaja ingkar titah perintah Agong.
“Penjelasan yang dibuat setelah hampir setahun Lembaga Pengampunan bersidang itu juga petanda kelambatan dalam pelaksanaan dan penjelasan kerana ada unsur jenayah di pihak Perdana Menteri yang tidak mahu melaksanakan titah diraja.
“Isu ini tidak sepatutnya dan tidak seharusnya berlanjutan hingga ke mahkamah sekiranya pihak kerajaan telus, jujur, tidak ingkar.
“Pelaksanaan titah diraja boleh dibuat serta merta kerana jelas termaktub dalam Perlembagaan Malaysia kuasa pengampunan terletak sepenuhnya atas ihsan dan budi bicara Agong ketika itu,” katanya.
Jelasnya lagi, Najib dan keluarga terpaksa membawa kes ke mahkamah berikutan sikap membisu kerajaan yang tidak mendapat jawapan.
“Saya menggesa pihak polis membuka fail siasatan segera dan menyiasat Perdana Menteri yang pada hemat saya dengan jelas telah melanggar sumpah jawatan kepada Agong dan ia satu jenayah berat,” katanya.
Semalam media melaporkan Anwar tidak boleh menjawab mengenai kewujudan Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, ia bagi menghormati mahkamah yang telah menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar kes rayuan bekas Perdana Menteri itu bersama Menteri Dalam Negeri dan enam yang lain. – HARAKAHDAILY 11/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan