Titah Adendum: MP Umno diminta tepuk beramai-ramai jawapan PM
December 10, 2024
Ahmad Fadhli Shaari
KUALA LUMPUR: Kelewatan pelaksanaan Titah Adendum berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat terutama berkaitan keabsahan proses dan kredibiliti sistem.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, tiada individu boleh membuat afidavit yang mengaitkan dengan nama mana-mana Sultan melainkan perkara tersebut berlandaskan kebenaran.
“Dalam isu afidavit anak kepada bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak ini, rakyat keseluruhannya percaya afidavit itu wujud. Kenapa ketika Titah Adendum ini mula-mula dikeluarkan Januari 2024 yang lepas, hampir setahun, kenapa ia tidak terus dilaksanakan menunggu kepada penyerahan di mahkamah dan sebagainya hingga ia menjadi perkara subjudis untuk dibincangkan?
“Itu persoalannya dan saya minta ahli parlimen Umno tepuk beramai-ramai kepada jawapan daripada Perdana Menteri selepas ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkata sebarang keputusan atau perbincangan berkaitan titah itu perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan melalui proses yang sah.
“Baiknya hari ini kerana mengizinkan sentuhan yang subjudis. Ditanya dan saya memilih nak jawab, tetapi tidak boleh substantif isu kerana kena tunggu 6 Januari,” katanya.
Dalam soalan asal, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta Perdana Menteri menyatakan apakah penjelasan Kerajaan berkenaan kewujudan Titah Adendum yang berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 pada 29 Januari 2024 yang melibatkan permohonan pengampunan oleh Dato’ Sri Najib Razak. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

Ulasan
Catat Ulasan