
DAP tidak wajar interpretasi sendiri mengenai Islam
January 22, 2025
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan menegaskan bahawa DAP tidak wajar mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Islam di negara ini.
Menurut beliau, peranan DAP dalam memahami Islam seharusnya bersifat mendalam dan berlandaskan kajian daripada pakar-pakar, bukannya melalui interpretasi sendiri.
Beliau berkata, Islam merupakan asas keharmonian masyarakat di Malaysia, namun ia hanya dapat dicapai sekiranya pihak bukan-Islam memahami hakikat sebenar ajaran Islam dan menghormati hak orang Islam.
“Islam adalah agama yang membawa perpaduan dan keharmonian, tetapi keharmonian itu hanya boleh terwujud apabila bukan-Islam memahami Islam dengan cara yang sebenar.
“DAP tidak seharusnya cuba menterjemahkan Islam mengikut kefahaman sendiri,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Beliau turut menyatakan bahawa DAP perlu mendalami ajaran Islam dengan merujuk kepada sumber yang sahih dan pakar dalam bidang tersebut.
Itu katanya, adalah langkah penting untuk memastikan hubungan harmoni antara kaum dan agama dapat dipelihara.
Dr Balachandran turut menekankan bahawa masyarakat minoriti di Malaysia perlu menghormati hak majoriti untuk memastikan keharmonian terus wujud.
Katanya, dengan saling menghormati, barulah perpaduan dapat dicapai dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.
“Dalam hal ini, penting untuk kita tidak mencampuradukkan budaya dengan agama. Budaya adalah sesuatu yang berbeza, dan Islam sebagai cara hidup mempunyai pendekatan tersendiri yang perlu difahami dan dihormati,” jelas beliau.
Penegasan mengenai peranan Islam
Merujuk kepada kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap pandangan bahawa Islam mesti menjadi asas kepada perpaduan di Malaysia.
Menurut Dr Balachandran, Al-Quran telah memberikan panduan jelas mengenai prinsip keadilan dan keharmonian yang perlu diamalkan dalam masyarakat.
“Sebab Quran ada cakap surah al-Maidah ayat 8 pasal keadilan, surah Hujurat pasal kenal-mengenali dan ayat Kafirun yang mengatakan (untuk) kita agama kita, untukmu agamamu.
“Dalam konteks ini, DAP perlu memahami bahawa Islam bukan sekadar agama, tetapi cara hidup yang membawa kesejahteraan kepada semua,” tambahnya.
Dialog sebagai jalan penyelesaian
Dr Balachandran menyeru agar DAP dan pihak bukan-Islam lain mengambil pendekatan berdialog dengan pemimpin Islam bagi memahami ajaran Islam dengan lebih mendalam.
Beliau menegaskan, dialog secara terbuka dan ikhlas adalah jalan terbaik untuk mengelakkan salah faham dan memastikan mesej perpaduan dapat direalisasikan.
“Kalau dia (DAP) nak tahu secara ikhlasnya (berkenaan Islam) jadi dia perlulah duduk dan sama-sama bincang, ini penting.
“So apa yang Tuan Guru kata itu memang saya sokong sepenuhnya. Dan saya berharap DAP dapatlah mesej yang clear. Jangan pula nak memutar belitkan pula ucapan Tan Sri Presiden pula.
“Fahami apa yang dimaksudkan itu dan cuba kita dapat merungkaikan bersama untuk mengenali Islam sebenarnya. Supaya kita dapat hidup secara harmoni dan sejahtera,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan