
‘Ethnocide’ bangsa Melayu secara halus
January 8, 2025
‘ETHNOCIDE’ merupakan satu terma yang dikaji dan digunakan oleh Professor Datuk Dr Ahmad Murad Merican, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTM), UIAM. Ia membawa makna penghapusan identiti sesuatu etnik secara terancang.
Usaha untuk menghapuskan bangsa dan identiti Melayu secara halus telah lama berlaku.
Hal ini bermula seawal tempoh penjajahan oleh British lagi yang menetapkan dasar pecah dan perintah.
Penghapusan identiti bangsa tempatan daripada bandar-bandar besar mula digerakkan secara sistematik apabila bangsa dipecahkan menurut kegiatan ekonomi.
Natijahnya dapat dilihat menerusi identiti bangsa Melayu yang mula hilang dari bandar-bandar besar seperti Georgetown (Tanjung) dan Bandaraya Melaka.
Kesan daripada jerangkap yang ditinggalkan British ini juga mulai menampakkan wajah menerusi beberapa peristiwa yang pernah berlaku dalam tempoh kebelakangan ini.
Antaranya menerusi cadangan Nga Kor Ming untuk mengiktiraf Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan kebudayaan UNESCO.
Pengiktirafan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan UNESCO membolehkan kampung baru diangkat sebagai warisan kebudayaan Malaysia. Hasilnya, ia bakal dipelihara dan dilindungi di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972.
Wajarkah Kampung Baru Cina yang wujud tidak sampai 80 tahun diberikan pengiktirafan sedemikian? Walhal Kampung tradisional Melayu tidak pula dicadangkan diberikan pengiktirafan yang sama.
Contoh yang lain dapat dilihat sewaktu video promosi bagi Festival George Town 2024 yang cuba memadam jejak Melayu-Islam dalam identiti bandar ini. Lebih menyedihkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara seolah-olah membenarkan mesej ini.
Amatlah naif jika kita ingin menafikan fenomena yang sedang berlaku ini.
Terkini menerusi video pelancaran kempen melawat Malaysia 2025, identiti Melayu-Islam secara halus telah dipadam. Gambaran yang menunjukkan rumah ibadat pelbagai menghiasai video promosi ini.
Anehnya, tidak dipaparkan langsung cuplikan berkenaan masjid dan rumah ibadat umat Islam. Sedangkan Malaysia mempunyai beberapa masjid ikonik yang menjadi tumpuan pelancong tidak kira agama seperti Masjid Putra di Putrajaya dan Masjid Negara.
Akan ada cakap-cakap dan suara sumbang yang menyatakan ini hanyalah perkara kecil dan tidak wajar dijadikan isu.
Perkara ini salah sama sekali. Meskipun tampak kecil, namun implikasinya besar. Jika normalisasi ini diteruskan tanpa sebarang teguran, ia akan membawa satu natijah tidak tepat berkenaan gambaran sebenar negara kita.
Kegusaran orang Melayu juga adalah melihatkan rekod pentadbiran semasa oleh Kementerian Pelancongan dan kerajaan Madani yang sudah cukup sinonim dengan ketidakmesraan mereka terhadap perkara berkaitan Melayu-Islam.
Cabaran ‘ethnocide’ bangsa Melayu-Islam adalah benar dan bukannya momokan murahan berbentuk populis. Kepada bangsa Melayu-Islam, bangkitlah dan hargai sejarah ketamadunan bangsa kalian.
Jika kalian sendiri gagal menghargai, usah harapkan bangsa lain untuk menghargai.
TAMAR JAYA
Projek Anak Muda Islam – HARAKAHDAILY 8/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan