
Industri hiburan terjejas teruk akibat kebakaran Los Angeles
Oleh Athirah Huda Zalhe
14 Januari 2025, 9:30 am
LOS ANGELES: Ketika Los Angeles dilanda kebakaran hutan yang menyerupai adegan filem bencana di Hollywood, industri hiburan di bandar itu kini mengira kerugian yang membebankan pekerjanya.
Pelakon, kru, penulis dan penerbit bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah penggambaran filem dan rancangan televisyen terpaksa dihentikan sementara.
Selain itu, desakan semakin meningkat untuk musim anugerah Hollywood dibatalkan.
Impak berlaku ketika sektor hiburan Los Angeles, yang menyumbang AS$115 bilion (RM518.69 bilion) kepada ekonomi serantau, sedang menghadapi keadaan sukar.
Ini kerana, beberapa produksi filem dan televisyen meninggalkan bandar tersebut ekoran kos operasi yang tinggi.
Pandemik Covid-19 dan pergolakan tenaga kerja, baru-baru ini juga memberi impak dalam beberapa tahun terakhir.
Penyunting Kanan majalah Variety, Marc Malkin berkata, Hollywood turut terkesan seperti yang lain akibat pandemik sebelum ini.
“Mogok baru-baru ini, jelas sekali memberi impak besar kepada industri, mungkin untuk selama-lamanya.
“Ditambah pula dengan kebakaran ini, Hollywood terus-menerus dilanda musibah,” katanya.
Bintang terkenal termasuk Anthony Hopkins, Mel Gibson dan Billy Crystal adalah antara mangsa yang kehilangan rumah dalam kebakaran minggu lalu.
Rancangan seperti Grey’s Anatomy, NCIS, Hacks dan Fallout adalah antara puluhan produksi yang berpusat di Los Angeles terjejas selepas set mereka tidak dapat digunakan sejak kebakaran bermula.
Beberapa bahagian bandar yang menempatkan studio besar, termasuk Burbank, turut terancam oleh kebakaran meskipun masih terselamat setakat ini.
Isu paling ketara melibatkan siri tayangan perdana, gala dan majlis penyampaian anugerah yang kini ditangguhkan.
Acara termasuk rancangan Critics Choice Awards ditangguhkan, manakala tayangan perdana filem The Last Showgirl karya Pamela Anderson dan biopik Robbie Williams, Better Man, dibatalkan minggu lalu.
Pengumuman calon Oscar tahun ini, yang sepatutnya disiarkan di televisyen juga ditangguhkan.– AFP
Ulasan
Catat Ulasan