
Inflasi dijangka meningkat pada 2.8 peratus tahun ini
TRAJEKTORI inflasi 2025 akan dipengaruhi oleh penyesuaian dasar domestik dan faktor-faktor luaran.
Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
27 Januari 2025, 7:50 am
PETALING JAYA: Penganalisis menjangkakan inflasi akan meningkat sebanyak 2.8 peratus pada 2025, disokong oleh peningkatan cukai dan gaji, kesan asas serta ketidaktentuan berterusan dalam harga komoditi global dan pasaran pertukaran mata wang.
MIDF Research berkata, ia didorong terutamanya oleh perubahan dalam dasar kerajaan seperti usaha rasionalisasi subsidi pada pertengahan tahun ini.
Begitu juga, Hong Leong Investment Bank meramalkan inflasi akan meningkat kepada 2.7 peratus pada 2025, dengan tekanan kenaikan daripada langkah-langkah domestik seperti pemotongan subsidi bahan api, perluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan serta kenaikan gaji.
“Inflasi telah menurun kepada 1.7 peratus pada Disember 2024, lebih rendah daripada yang dijangkakan, dengan kenaikan lebih perlahan dalam kos penjagaan peribadi, perlindungan sosial dan barangan serta perkhidmatan lain.
“Indeks harga pengguna (CPI) untuk Disember menunjukkan pengembangan yang lebih perlahan berbanding 1.9 peratus pada November, tetapi masih lebih tinggi berbanding kenaikan 1.5 peratus pada Disember 2023,” kataya dalam nota penyelidikan.
BIMB Securities Research percaya bahawa aliran penurunan inflasi semasa akan bersifat sementara, dengan kenaikan perlahan dijangka pada pertengahan 2025.
Firma penyelidikan itu berkata peralihan ini dijangka akan mendorong kadar inflasi tahunan kepada 2.7 peratus, meningkat daripada 1.8 peratus pada 2024, dengan penyumbang utama termasuk kesan limpahan daripada peningkatan cukai dan gaji, kesan asas dan ketidaktentuan dalam pasaran komoditi global serta forex.
“Trajektori inflasi 2025 akan dipengaruhi oleh penyesuaian dasar domestik dan faktor-faktor luaran.
“Pendorong domestik yang ketara termasuk penetapan semula subsidi RON95 pada pertengahan tahun, kenaikan gaji minimum pada Februari, semakan cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan pada Mei, yang dijangka akan meningkatkan kos operasi dan harga pengguna,” katanya.
Firma penyelidikan itu menambah bahawa risiko luaran, seperti turun naik dalam pasaran komoditi global, ketidaktentuan mata wang dan kemungkinan perubahan dasar Amerika Syarikat (AS), boleh memburukkan tekanan inflasi.
“Selain itu, ketidaktentuan global semakin ketara. Kebimbangan perang perdagangan yang bangkit semula, berikutan kenyataan terkini Presiden AS, Donald Trump mengenai tarif berpotensi terhadap Kanada dan Mexico, bersama dengan sekatan terhadap Rusia yang menggugat pasaran minyak dan tangki, telah pun meningkatkan harga minyak,” katanya.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan