
Kesombongan yang menjadi debu
KEADAAN kediaman di Pacific Palisades, California, Amerika Syarikat (AS) yang kehilangan agamnya dan menjadi debu selepas kebakaran hutan sejak 7 Januari, lalu.- AFP
Oleh Mohammad Shahray Zulkifli
16 Januari 2025, 8:00 am
KEBAKARAN hutan di Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS) mula merebak sejak 7 Januari lalu mengakibatkan kemusnahan besar di bandar tersebut.
Sebelum kebakaran itu berlaku, Presiden AS, Donald Trump dalam sidang akhbar berhubung utusannya ke Asia Barat dengan sombong menyatakan “semua neraka akan dilepaskan dan ia tidak baik untuk sesiapa jika Hamas tidak membebaskan tawanan Israel apabila dia memasuki pejabatnya”. Sehari kemudian Los Angeles terbakar.
Sebelum itu, Nikki Glaser seorang pelawak wanita yang dijemput menjadi hos Golden Globe Awards membuat lawak dengan menyatakan “Tuhan pencipta alam mendapat kosong sebutan dan ketiadaan tuhan dalam ucapan penerimaan anugerah tidak mengejutkan di dalam bandar yang tidak bertuhan”.
Lawak jenakanya pada saya tidak lucu dan memualkan itu disambut dengan gelak ketawa artis Hollywood. Lebih sedikit dari 48 jam selepas lawak itu, Los Angeles terbakar.
Rumah agam artis-artis Hollywood turut terbakar dan musnah. Antara bintang Hollywood yang mengalami kerugian ialah pewaris rangkaian hotel iaitu Paris Hilton; pelakon pemenang Oscar dua kali, Anthony Hopkin; pemenang Oscar, Jeff Bridges; Billy Crystal yang kehilangan rumah didiaminya selama 46 tahun, kini hanya tinggal sebuah gelanggang tenis.
Rumah pelakon Eugene Levy musnah sepenuhnya. Begitu juga rumah pelakon John Goodman. Mark Hamill, bintang Star Wars dilaporkan meninggalkan rumahnya di Malibu bersama isteri dan anjing peliharaan. Difahamkan juga rumah pelakon dan penyokong kuat Israel iaitu James Wood juga terbakar. James menyatakan dia tidak percaya rumah kecilnya yang indah di atas bukit hanya bertahan setakat ini dan merasakan seperti kehilangan orang tersayang.
Penderitaan yang mereka alami tidaklah sama dengan apa yang dirasai rakyat Palestin sejak Deklarasi Balfour diluluskan di Parlimen British pada 2 November 1917. Deklarasi yang hanya mempunyai 67 perkataan ini memperuntukkan seperti berikut :-
“Pandangan kerajaan baginda memihak kepada penubuhan sebuah rumah negara di Palestin untuk orang Yahudi dan akan menggunakan usaha terbaik untuk atasi pembantahan bagi memudahkan pencapaian ini, dengan jelas difahami bahawa tiada apa yang boleh dilakukan untuk menjejaskan sivil dan hak agama masyarakat bukan Yahudi sedia ada di Palestin, atau hak dan status politik dinikmati oleh orang Yahudi di mana-mana negara lain”.
Deklarasi inilah yang menyebabkan wujudnya negara Israel pada 1948. Sedikit demi sedikit rumah dan tanah rakyat Palestin dirampas. Jika membaca buku-buku berkaitan dengan kekejaman Israel dalam merampas tanah dan rumah rakyat Palestin, kita boleh lihat bagaimana mereka melakukan kekejaman yang sangat keji dan terkutuk. Mereka bukan sahaja membunuh wanita dan kanak-kanak, malah gadis-gadis Palestin dirogol dan dibunuh sesuka hati. Ini sudah berlaku sejak puluhan tahun.
Dilaporkan juga sejak 7 Oktober 2023 lebih dari 46,000 rakyat di Gaza dibunuh. Mereka membuat propaganda dengan menuding jari kepada Hamas walhal ia adalah kerajaan yang sah dan berhak mempertahankan rakyat mereka. Apa yang dikesalkan mereka yang dibunuh itu bukanlah askar Hamas sebaliknya rakyat biasa yang turut terdiri dari wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
Kekejaman Israel diperkuatkan lagi dengan bantuan daripada AS. Menghairankan bilangan rakyat negara itu yang tidak mempunyai rumah seramai lebih dari 770,000 pada Januari 2024 dan jumlah ini meningkat 18 peratus dari tahun sebelumnya. Jumlah ini pada pandangan saya akan meningkat mendadak dengan kebakaran kronik di Los Angeles.
Pada 13 Januari lalu, media melaporkan Pejabat Koroner Daerah Los Angeles menjangkakan kematian akibat kebakaran itu meningkat kepada 24 orang iaitu 16 di dalam kebakaran di Eaton dan lapan lagi di Palisade.
Dilaporkan juga angka itu akan meningkat kerana cebisan mayat manusia yang belum dikenalpasti dan analisis masih dijalankan.
Agensi melaporkan arahan pemindahan dikeluarkan kepada 153,000 penduduk dengan 57,000 struktur termasuk rumah dan bangunan berada dalam risiko. 166,000 penduduk juga diberi amaran untuk bersedia menghadapi pemindahan. Kebakaran yang berlaku setakat ini melibatkan kawasan seluas 155 ribu kilometer (km) persegi.
Media juga melaporkan pada 10 Januari lalu, anggaran awal kerugian akibat kebakaran di Los Angeles setakat ini adalah sekitar AS$135,000 billion (RM608,083 bilion) dan AS$150,000 bilion (RM675,648 bilion).
Ini dibandingkan dengan perbelanjaan AS ‘membela’ adik kesayangannya, Israel dalam serangan terhadap Gaza sekitar AS$22.76 bilion (RM102.49 bilion) dan operasi menentang puak Houthi Yaman.
Menurut laporan agensi bertarikh 8 Oktober 2024 itu lagi sebanyak AS$17.4 bilion (RM78.33 bilion) diperuntukkan bagi bantuan ketenteraan terhadap Israel sejak 2023 meliputi ketenteraan, penjualan senjata dan pemindahan stok senjata.
Keegoan AS menjadi debu yang berterbangan kerana sebaik sahaja Trump menyatakan akan menjadikan Asia Barat dengan merujuk Gaza kepada neraka. Sebaliknya, negaranya terbakar teruk yang menyebabkan kerugian sehingga AS$150,000 bilion (RM675,193 bilion) setakat ini. Kerugian akan bertambah jika kebakaran tidak dapat dipadamkan.
Bayangkan angin deras dikenali sebagai Santa Ana berkelajuan 120km sejam terus membawa api membakar Los Angeles.
Di Hollywood, pelakon-pelakon adiwira seperti Superman, Spiderman, X-men dan sekumpulan Avengers hanya mampu mengutip sisa-sisa rumah mereka yang terbakar. Dikatakan sejak mula kebakaran berlaku, sebanyak 8,500 anggota bomba bertungkus lumus mengawal api dari terus merebak.
JANJI ALLAH
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 266 yang bermaksud “Adakah salah seorang di antara kamu yang ingin memilikki kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, di sana dia memiliki semua jenis buah-buahan, kemudian tiba masa tuanya sedangkan dia memiliki keturunan yang masih lagi kecil. Lalu kebun itu ditiup angin keras yang mengandungi api, sehingga terbakar. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kami memikirkannya”.
Kebenaran janji Allah dalam al-Quran jelas terbukti. Cepat atau lambat ia tetap akan berlaku.-UTUSAN
PENULIS ialah bekas Peguam Syarie yang beramal di Brunei selama 24 tahun.
Ulasan
Catat Ulasan