Masa terbaik pilih simpanan syariah KWSP
Oleh Mohammad Radzi Mohd Zin
11 Januari 2025, 6:40 am
Langkah KWSP memperkenalkan dua ciri utama untuk simpanan syariah bagi menyediakan akses lebih pantas dan fleksibiliti kepada ahli yang akan berkuat kuasa 1 April 2025 amat dialu-alukan.
Bagi orang Islam, tiada lagi alasan untuk mereka terus berada dalam akaun konvensional. Sebabnya, kerajaan sudah menyediakan pilihan ke arah simpanan yang lebih bersih, suci dan tiada unsur riba.
Penambahbaikan itu membolehkan pendaftaran dibuat serta merta untuk ahli baharu, manakala tarikh kuat kuasa setiap awal bulan bagi semua ahli yang memilih beralih ke simpanan syariah.
Bagi memastikan ia berjalan lancar, KWSP akan laksanakan penambahbaikan ini berdasarkan tempoh peralihan dari tarikh 25 Disember 2024 hingga 31 Mac 2025.
Mulai 1 April 2025 dan seterusnya, tarikh kuat kuasa adalah pada 1 hari bulan berikutnya selepas tarikh membuat pilihan, tertakluk kepada tempoh tangguh selama tujuh hari.
Contohnya, ahli yang memilih untuk beralih ke simpanan syariah pada 15 April 2025, tarikh kuat kuasa adalah pada 1 Mei 2025. Sebelum ini, perubahan kepada simpanan syariah hanya berkuat kuasa pada 1 Januari tahun berikutnya.
Bagi pencarum Islam, simpanan syariah membantu ahli menyediakan simpanan persaraan yang diuruskan secara patuh syariah untuk kegunaan ahli dan keluarga terutamanya untuk menunaikan ibadah haji dan umrah tanpa sebarang keraguan dan waswas ke atas sumber dana.
Ia juga memastikan simpanan ahli tidak digunakan bagi tujuan yang bercanggah dengan syarak terutamanya riba (faedah), maysir (perjudian) dan gharar (ketidakpastian di dalam kontrak) yang sering terdapat di dalam pelaburan di dalam perbankan konvensional dan insurans.
Sekiranya meninggal, ia membantu ahli menyediakan dana yang halal (simpanan ahli) untuk diagihkan kepada waris sebagai pusaka.
Bagi orang Islam yang masih belum beralih ke simpanan syariah selepas ia diperkenalkan pada 2017, anda perlu membersihkan wang dividen anda.
Sebagai contoh, sekiranya dividen yang diperoleh pada tahun tersebut adalah RM1,000 dan peratusan tidak patuh syariah adalah 50%, maka RM500 perlu dibersihkan daripada dividen yang diperoleh.
Berdasarkan Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan pada 17 April 2021, kadar dividen simpanan konvensional dan peratus yang perlu dibersihkan mengikut tahun adalah:
Tahun 2017, dividen: 6.9%; Peratus Wang Tidak Patuh Syariah: 64%
Tahun 2018, dividen: 6.15%, Peratus Wang Tidak Patuh Syariah: 68%
Tahun 2019, dividen: 5.45%, Peratus Wang Tidak Patuh Syariah: 71%
Simpanan syariah juga memberi pulangan yang kompetitif. Buktinya, pada
4 Mac 2024, KWSP mengumumkan kadar dividen 5.50 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.40 peratus untuk simpanan syariah untuk tahun 2023.
Kadar itu lebih tinggi berbanding 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus untuk simpanan syariah pada 2022.
Jadi, jangan tunggu lagi, Bertindak sekarang untuk simpanan yang lebih bersih dan berkat.
Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia. – UTUSAN

Ulasan
Catat Ulasan