
Menjangka fokus pentadbiran Presiden AS ke-47
January 23, 2025
DONALD Trump secara rasminya telah mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-47. Dalam ucapan sulungnya, beliau telah menggariskan polisinya baik dalam mahupun luar negara yang mengutamakan Amerika Syarikat dan kepentingan strategiknya di mana agenda utamanya adalah ‘America First’.
Pada pandangan saya secara ringkasnya Donald Trump akan memberi keutamaan kepada empat perkara asas dalam usaha untuk mengukuhkan kembali Amerika Syarikat dari sudut politik, ekonomi dan kepentingan strategiknya.
1. Mengutamakan ekonomi berbanding perang.
Trump meletakkan keutamaan pengukuhan ekonomi Amerika Syarikat bagi menghadapi saingan China yang pada bila-bila masa sahaja mampu mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa utama ekonomi dunia.
Bagi menghadapi saingan China, polisi mengekang kebangkitan ekonomi China pada zaman pentadbiran Joe Biden bakal diteruskan oleh Donald Trump tetapi dijangka akan lebih ketat dan keras. Dijangka pentadbiran Donald Trump bakal mengenakan cukai lebih tinggi ke atas import dari China, memperketatkan sekatan ekonomi termasuk menghalang kemajuan sektor semikonduktor China.
Perang adalah antara penyebab utama peningkatan mendadak hutang Amerika Syarikat yang kini berjumlah lebih USD36.1 trilion. Dengan keadaan ekonomi Amerika Syarikat dan dunia yang tidak menentu termasuk kebangkitan dan ancaman BRICS, itulah antara sebab Donald Trump berusaha untuk menghentikan perang di Ukraine dan Gaza dalam usaha untuk menumpu dan memulihkan ekonomi dan sektor perindustrian Amerika Syarikat.
2. Fokus politik dalaman berbanding luaran.
Pada hari pertama sebagai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menandatangani hampir 100 ‘perintah eksekutif’ dan jika diteliti kebanyakannya adalah selaras dengan agenda ‘America First’, mengutamakan kepentingan Amerika Syarikat khususnya dalam negara. Ketika tempoh berkempen pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, fokus Donald Trump khususnya adalah isu dalam negara telah memberikan kelebihan dan memikat pengundi berbanding Joe Biden.
Dua tahun pertama pentadbirannya, Donald Trump dijangka memberikan keutamaan memperkukuhkan kedudukan politik dalaman dengan polisi seperti menghalang kemasukan PATI, memperkukuhkan ekonomi dan sektor perindustrian, menghentikan peperangan, agenda anti-China dan keluar daripada WHO dan ‘Perjanjian Paris’ (climate change) yang mendapat sokongan sebahagian besar pengundi Amerika Syarikat.
3. Meredakan ketegangan dengan Rusia dan China.
Donald Trump dijangka meneruskan strategi ketika kali pertama menjadi Presiden Amerika Syarikat iaitu menghalang Rusia dan China daripada akrab dan menjadi rakan kongsi strategik kerana beliau menyedari jika berlaku, ia akan mengundang malapetaka buat Amerika Syarikat. Disebabkan itulah Donald Trump mengkritik keras Joe Biden kerana melancarkan perang proksi ke atas Rusia di Ukraine di mana ia telah menyebabkan Rusia beralih arah dan rapat dengan China.
Benar jangkaan Donald Trump, disebabkan itu maka lahirlah BRICS yang kini menjadi ancaman besar buat Amerika Syarikat dan Barat khususnya dari sudut ekonomi. Ia juga secara tidak langsung mengakibatkan kebangkitan penentangan terhadap imperialisme dan hegemoni Barat, peningkatan mendadak sektor industri ketenteraan khususnya dari Rusia, China dan Iran serta merendumnya sokongan masyarakat antarabangsa terhadap Barat.
Untuk meredakan keadaan, Donald Trump pada dua bulan pertama pentadbirannya dijangka akan berusaha keras menghentikan perang di Ukraine dalam usaha untuk memulihkan hubungan dengan Rusia khususnya Vladimir Putin. Dalam masa sama, pentadbiran Donald Trump dijangka akan cuba berkompromi dengan China untuk meredakan ketegangan khususnya dalam sektor ekonomi dan geopolitik. Jika ia berjaya dilakukan, Donald Trump dijangka akan meneruskan agenda asalnya iaitu untuk menjarak serta meretakkan hubungan antara China dan Rusia.
4. Dasar luar hanya difokuskan terhadap Zionis Israel dan serangan terhadap Iran.
Dasar luar Amerika Syarikat di zaman pentadbiran Joe Biden telah membawa malapetaka besar buat Amerika Syarikat. Jangkaannya, Donald Trump akan cuba memperbaikinya dalam usaha untuk memulihkan imej Amerika Syarikat di mata dunia. Menghentikan peperangan adalah antara agenda utama Donald Trump di mana ketika ini beliau telah ‘berjaya’ mendesak Zionis Israel untuk menerima gencatan senjata di Gaza dan sedang berusaha untuk menghentikan perang di Ukraine.
Beliau dijangka akan menghentikan pengembangan NATO di Timur Eropah dalam usaha untuk berkompromi dengan Rusia dalam menghentikan perang di Ukraine. Kesatuan Eropah dan NATO dijangka bakal berhadapan dengan masalah besar berikutan perubahan dasar luar yang dilakukan Amerika Syarikat. Donald Trump juga dijangka akan berkompromi dengan China khususnya di Asia Timur dan Taiwan bagi mengelak konflik yang lebih besar dalam masa terdekat.
Berikutan malapetaka dasar luar Amerika Syarikat zaman pentadbiran Joe Biden, tumpuan Donald Trump dijangka akan lebih terarah ke Timur Tengah khususnya dukungan ke atas Zionis Israel, memperluaskan ‘Abraham Accord’ ke seluruh Timur Tengah dan serangan ke atas Iran di mana saat ini semuanya sedang berjalan lancar di belakang tabir.
“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”
DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 23/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan