Mula azam 2025 jaga kesihatan
Oleh Juani Munir Bin Abu Bakar
10 Januari 2025, 7:05 am
Sejak 1 Januari 2025, taman rekreasi dan gimnasium mula dipenuhi orang ramai yang melakukan aktiviti riadah dan kecergasan sebagai azam tahun baharu.
Ini mungkin semangat azam tahun baharu demi menjaga kesihatan. Khususnya setelah laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan sebanyak 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan.
Namun begitu, cita-cita tersebut tidak berjaya sekiranya gagal mengawal nafsu makan seperti mengurangkan makanan tinggi kandungan gula seperti kuih-muih dan aiskrim. Seterusnya menggantikan minuman manis dengan air kosong serta melebihkan pengambilan sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan.
Tanpa memberikan 1,001 alasan, semua rakyat Malaysia patut bermula dari sekarang untuk mengelakkan terus menjadi mangsa obesiti yang akhirnya membawa padah. Ini kerana individu berlebihan berat badan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, sakit sendi dan penyakit jantung.
Hal ini kerana mutakhir, ramai saudara mara dan rakan sekolah serta universiti yang berusia lingkungan antara 30 dan 40 tahun sudah meninggal dunia kerana menghidap penyakit tiga serangkai atau NCD seperti kolesterol, darah tinggi dan diabetes. Tidak kurang yang dimasukkan ke hospital secara mengejut setelah pengsan di tempat kerja dan disahkan strok.
Lebih menyedihkan ada kalangan mereka terpaksa berhenti kerja walaupun sudah berpangkat tinggi, kerana bedridden atau terlantar di katil sekali gus menyebabkan keluarga hilang bergantung manakala isteri dan anak-anak pula terpaksa memerlukan bantuan baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meneruskan kehidupan.
Demikian situasi dalam kalangan rakyat akibat padah penyakit tiga serangkai yang berpunca daripada masalah obesiti kerana berat badan berlebihan, kegagalan mengawal pemakanan dan tidak bersenam serta cara hidup yang tidak sihat seperti pengambilan alkohol dan menghisap rokok.
Namun sejauh mana usaha untuk melawan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia sedangkan tabiat pemakanan tidak sihat sejak usia muda sukar dibendung dan terbawa-bawa sepanjang hayat.
Tidak dinafikan Malaysia syurga makanan dan semuanya muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan kerana di mana sahaja berada dan mudah sahaja restoran menjual juadah tersebut.
Namun restoran dan peniaga makanan tidak harus dipersalahkan kerana sudah menjadi lumrah mereka untuk mewujudkan penawaran dan permintaan, namun harus ditunding jari adalah nafsu manusia itu.
Selain itu, buat senaman sederhana aktif seperti berjalan cepat atau berbasikal mengikut kemampuan anda serta melakukan sendiri aktiviti harian di rumah seperti menyapu sampah, mengemop lantai, mencuci pinggan mangkuk, mencuci kereta dan berkebun bunga.
Obesiti juga meningkatkan risiko bagi sesetengah jenis kanser seperti kanser kolon, rektum dan payudara serta turut memberi kesan kepada pergerakan dan ketahanan fizikal tubuh. Jadi kena bermula pada hari ini, rakyat kena melawan obesiti. – UTUSANJuani Munir Abu Bakar ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan
Catat Ulasan