Naikkan nilai denda salah guna sijil halal

Naikkan nilai denda salah guna sijil halal
Jamali Mohd Adnan
Oleh .MOHD HUSNI MOHD NOOR
16 Januari 2025, 7:53 am

CYBERJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu mengkaji semula keperluan meningkatkan nilai denda bagi premis yang menyalahgunakan sijil halal.

Timbalan Mufti Wilayah, Jamali Mohd. Adnan berkata, perkara itu penting bagi memastikan tiada lagi pihak yang cuba memperdayakan masyarakat dengan cara memalsukan sijil halal.

“Kami mendapati isu salah guna tanda halal turut dikesan membabitkan produk dikeluarkan sebuah syarikat baru-baru ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penerimaan Sijil Halal Ayam Gepuk Pak Gembus di sini, semalam.

Berdasarkan Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, penalti bagi pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan menyalah guna logo halal akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 dan tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan berikutnya.

Bagi bukan pertubuhan perbadanan pula, penalti tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya dan kesalahan berikut tidak melebihi RM250,000, penjara tidak melebihi lima tahun, atau keduanya.

Sebelum ini, Jakim mengesahkan produk yang dijual di sebuah kedai serbaneka di satu universiti tidak memiliki sijil halal.

Jamali berkata, tindakan pantas Jakim dan KPDN berhubung isu itu memberi berita positif kepada masyarakat bahawa kerajaan sentiasa bertindak proaktif dalam menangani isu berkaitan pematuhan halal.

Katanya, semua pihak berwajib supaya sentiasa turun padang dan melakukan pemeriksaan mengejut di premis yang ada sijil halal bagi memastikan mereka mematuhi pensijilan itu.

“Ada orang (premis), bila sudah dapat sijil halal mereka akan mengambil mudah dan diam sahaja. Justeru, pemantauan itu amat penting.

“Kerajaan juga meletakkan syarat supaya setiap syarikat mempunyai jawatankuasa halal di syarikat masing masing selain eksekutif halal dan sebagainya bagi memastikan kualiti halal itu dapat terus dipertahankan,” katanya.

Jamali berkata, kerajaan melalui Jakim telah mempermudahkan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dimana tempoh permohonannya dipendekkan kepada 15 hari berbanding sembilan bulan sebelum ini.-UTUSAN

Ulasan