Penduduk LA rasai derita penduduk Gaza
Oleh Aznan Bakar
12 Januari 2025, 6:30 am
TANPA berfikir panjang, seorang penduduk di Pacific Palisades, Los Angeles, Francois Auroux lari dari rumahnya dengan hanya menaiki basikal selepas menerima arahan supaya berpindah oleh pihak bomba.
Menurut laporan CNN, beberapa hari kemudian, dia dapat tahu rumahnya telah terbakar daripada gambar yang dia dapat daripada mangsa lain yang dipindahkan.
Apa yang dialami oleh penduduk Los Angeles seolah-olah seperti apa yang dialami oleh penduduk Palestin di Gaza, di mana terpaksa melarikan diri daripada serangan ganas Israel dengan harta benda musnah dan jiran tetangga menemui ajal.
Penduduk di pinggir bandar Los Angeles juga kini terpaksa melarikan diri. Ada yang sehelai sepinggang ekoran ‘serangan’ ganas kebakaran hutan yang cukup luar biasa. Ada yang menyifatkan ini sebagai karma kepada Amerika Syarikat yang berterusan menyokong Israel menghancurkan Gaza. Ada pula yang berkata, mungkin ini salah satu cara Allah memakbulkan doa orang Islam di seluruh dunia terhadap Palestin.
Setakat ini, kebakaran hutan di Los Angeles sudah melibatkan kawasan seluas 14,541 hektar dengan lebih 10,000 rumah telah musnah. Kawasan-kawasan mewah yang sebelum ini menjadi kebanggaan penduduknya termasuk para selebriti Hollywood kini sekelip mata menjadi padang jarak padang tekukur.
Rumah-rumah tersebut semuanya rentung, sama seperti pemandangan di Gaza selepas dibom oleh tentera Israel. Video-video yang dikongsi di media sosial menunjukkan api muncul secara tiba-tiba berpunca daripada bunga-bunga api yang berterbangan ditiup angin. Apabila jatuh, ia menghasilkan kebakaran baharu.
Berdasarkan anggaran, kerugian akibat kebakaran hutan di California mencecah AS$150 bilion (RM674 bilion) berbanding AS$57 (RM256 bilion) yang dianggarkan dua hari lepas.
Setakat ini berdasarkan angka yang disiarkan CNN, 400,000 penduduk telah menjadi pelarian apabila diarahkan berpindah. Ini hampir sama dengan penduduk Gaza yang dipaksa berpindah oleh Israel. Cuma kadar kehilangan nyawa setakat ini hanya 10 orang.
Bagi kawasan yang masih belum terlibat dengan kebakaran pula, penduduk bangun dari tidur dalam keadaan terpinga-pinga ekoran seluruh kejiranan mereka diselubungi asap tebal.
Mereka turut terdedah kepada bahaya ekoran udara yang tercemar menimbulkan ancaman — walaupun jauh dari api.
Imej-imej yang terpampang sama ada di media mahupun di media sosial menunjukkan situasi yang cukup menyedihkan. Seperti mana situasi sedih kita melihat penduduk Gaza lari lintang-pukang akibat dibom sebelum ini, situasi sama berlaku di Los Angeles. Penduduk hanya tahu menyelematkan diri tanpa mengetahui bahawa mereka mungkin tidak dapat kembali ke rumah mereka semula kerana sudah musnah di jilat api.
Ibarat kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Seorang penduduk memberitahu CNN, dia kehilangan segalanya termasuk memori bersama keluarga kerana segala-galanya musnah, tidak ada apa yang tinggal.
Apa pun kita sedih dan bersimpati dengan apa yang berlaku kepada penduduk di Los Angeles sama seperti kita simpati kepada penduduk Gaza yang dibom dan dipaksa meninggalkan kediaman mereka. – UTUSAN

Ulasan
Catat Ulasan