
Perancangan teliti perkukuh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura
Prof Madya Dr Md Fauzi Ahmad - Januari 21, 2025 @ 1:02pm
PEMBANGUNAN Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sangat signifikan dalam mengukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia, khususnya Johor dengan Singapura.
Kerjasama ini bertujuan memperkukuhkan hubungan perniagaan dan meningkatkan keterhubungan antara kedua-dua negara.
Berdasarkan laporan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), sebanyak 93 peratus responden menganggap Johor sebagai destinasi pelaburan menarik.
Dalam tempoh dua tahun terakhir, Johor berjaya menarik pelaburan RM113.7 bilion dan mencipta kira-kira 35,000 peluang pekerjaan.
Penubuhan JS-SEZ disasarkan untuk menarik 50 projek baharu dan mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh lima tahun pertama.
Ini bukan sahaja menjanjikan manfaat besar kepada sektor teknologi tinggi, bahkan memberikan kesan positif kepada sektor hartanah dan pembinaan.
Sektor lain turut mendapat manfaat seperti aeroangkasa, penjagaan kesihatan, farmaseutikal, elektronik, pembuatan, pelancongan, tenaga, logistik, pendidikan dan perkhidmatan kewangan.
Oleh itu, JS-SEZ bukan sahaja menjadi tumpuan pelabur domestik, bahkan pelabur asing yang ingin memanfaatkan potensi ekonomi kedua-dua negara.
Dalam usaha memperkukuh kerjasama ini, Kerajaan Malaysia dan Singapura perlu melaksanakan pelbagai langkah bersifat holistik untuk memastikan pembangunan JS-SEZ memberikan impak besar.
Hakikatnya, Johor terletak bersebelahan Singapura memiliki kelebihan geografi strategik, menjadikannya pusat ideal untuk kegiatan ekonomi.
Oleh itu, peningkatan jaringan pengangkutan, termasuk pembinaan jalan raya lebih efisien, rel dan pelabuhan sangat penting.
Contohnya, projek pembinaan jambatan baharu antara Johor Bahru dengan Singapura dapat mempercepat aliran barangan dan perkhidmatan, sekali gus mengurangkan kos logistik selama ini menjadi halangan dalam hubungan ekonomi dua hala ini.
Penggunaan teknologi baharu dalam bidang pengurusan logistik juga perlu diutamakan bagi mengurangkan masa dan kos pengangkutan.
Dengan adanya infrastruktur lebih baik, JS-SEZ berpotensi menjadi pintu masuk utama bagi perdagangan di Asia Tenggara, sekali gus meningkatkan daya saing Johor dan Singapura pada peringkat global.
Pembangunan ICT antara fokus utama
Pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perlu menjadi antara fokus utama dalam pembangunan zon ekonomi khas ini.
Sektor digital dan teknologi semakin penting dalam perkembangan ekonomi moden. Oleh itu, infrastruktur teknologi menyokong aplikasi pintar seperti automasi industri, internet benda (IoT) serta kecerdasan buatan (AI) perlu dipertingkatkan.
Dengan adanya kemudahan teknologi ini, syarikat beroperasi di zon ekonomi khas dapat meningkatkan produktiviti dan memanfaatkan peluang perniagaan lebih luas pada era digital.
JS-SEZ juga perlu menyasar sektor ekonomi dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada Johor dan Singapura.
Sektor berasaskan inovasi dan teknologi tinggi seperti perkhidmatan kewangan, elektronik, penjagaan kesihatan, serta perkhidmatan berkaitan perniagaan sangat berpotensi untuk berkembang di kawasan ini.
Contohnya, Singapura sudah lama dikenal sebagai hab kewangan serantau. Dengan adanya zon ekonomi khas, ia membuka peluang untuk syarikat kewangan Singapura meluaskan perkhidmatan ke negara ini, terutama Johor.
Sebaliknya, Johor yang terkenal dengan industri pembuatan boleh memanfaatkan sektor ini untuk menarik pelaburan dalam industri berteknologi tinggi dan meningkatkan pengeluaran produk berinovasi.
Tingkatkan kerjasama dalam sektor elektronik, bioteknologi
Sektor elektronik dan bioteknologi juga perlu dipertingkatkan melalui kerjasama antara kedua-dua negara. Singapura, memiliki kepakaran dalam bidang elektronik dan teknologi, boleh membantu mengembangkan kapasiti pengeluaran di Johor melalui pelaburan dalam industri berkenaan.
Sektor penjagaan kesihatan yang berkembang pesat di Singapura boleh diperluaskan ke Johor melalui pembangunan kemudahan kesihatan terkini, sekali gus menarik pelaburan dalam bidang perkhidmatan perubatan dan farmaseutikal.
Perlu ditekankan, Malaysia juga perlu mengambil langkah memastikan pembangunan JS-SEZ berjalan lancar dengan menyediakan pelbagai insentif dan dasar kewangan menyokong.
Belanjawan perlu memperkenalkan langkah meningkatkan daya saing ekonomi Johor, seperti pengurangan cukai atau pemberian insentif untuk syarikat melabur dalam sektor utama di JS-SEZ.
Langkah ini mampu mempercepatkan aliran pelaburan asing dan domestik ke dalam Johor, sekali gus meningkatkan kualiti dan kuantiti peluang pekerjaan.
Kerajaan negeri juga merancang memperkenalkan gaji permulaan lebih tinggi bagi siswazah memiliki kelayakan diploma dan ijazah.
Gaji permulaan antara RM4,000 hingga RM5,000 ini hampir dua kali ganda berbanding gaji permulaan purata di Malaysia, sekali gus dijangka menarik lebih ramai bakat berkemahiran tinggi untuk bekerja di JS-SEZ.
Mudahkan pergerakan barangan, individu
Pengenalan Permit Kenderaan Masuk (VEP) dan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi kenderaan memasuki Malaysia dari Singapura juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan antara kedua-dua negara.
Langkah ini akan memudahkan pergerakan barangan dan individu, sekali gus meningkatkan kecekapan dalam pengurusan logistik serta perniagaan di sempadan.
Kerajaan Malaysia juga merancang untuk memperkenalkan sistem pelepasan imigresen menggunakan kod QR untuk rakyat Malaysia memasuki Johor menjelang awal 2025, dengan rancangan untuk memperluaskannya kepada semua pemegang pasport menjelang pertengahan 2025.
Inisiatif ini dijangka akan menjadikan Johor sebagai antara sempadan paling sibuk di dunia, sekali gus memudahkan pergerakan perniagaan antara kedua-dua negara.
Bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memanfaatkan peluang di zon ekonomi khas ini, beberapa inisiatif perlu diperkenalkan untuk membantu usahawan tempatan dan serantau.
Inisiatif ini perlu memberikan sokongan kewangan dan teknikal kepada PKS untuk berkembang serta berdaya saing dalam pasaran global.
Kerajaan juga memperkenalkan pelbagai program dan latihan untuk membantu usahawan tempatan dalam mengadaptasi teknologi baharu dan memperkenalkan produk dan perkhidmatan lebih inovatif.
Secara keseluruhannya, JS-SEZ menawarkan peluang sangat besar untuk kedua-dua negara memanfaatkan kedudukan geografi dan potensi ekonomi mereka.
Pembangunan zon ini bukan sahaja akan memperkukuhkan hubungan ekonomi, bahkan meningkatkan daya saing Johor dan Singapura pada peringkat global.
Melalui pembangunan infrastruktur lebih baik, sokongan dasar menyokong dan kerjasama sektor swasta serta awam, zon ekonomi khas ini berpotensi menjadi model bagi kerjasama ekonomi serantau berjaya.
Pembangunan sektor utama seperti perkhidmatan kewangan, elektronik, penjagaan kesihatan dan teknologi tinggi akan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Johor dan Singapura serta mencipta peluang pekerjaan berkualiti.
Oleh itu, dengan perancangan teliti dan pelaksanaan cekap, JS-SEZ dijangka menjadi hab ekonomi utama di Asia Tenggara yang dapat memberikan impak positif kepada ekonomi kedua-dua negara.
Penulis adalah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Ulasan
Catat Ulasan