Perniagaan emas mampu tingkat ekonomi negeri SG4


Perniagaan emas mampu tingkat ekonomi negeri SG4
January 14, 2025

KOTA BHARU: Bengkel Pelan Strategik SG4 Group Sdn Bhd yang melibatkan kerjasama antara negeri-negeri kumpulan Kerajaan Empat Negeri (SG4) baru-baru ini bagi memperkukuh hala tuju dan perancangan strategik khususnya melibatkan ekonomi.

Kelantan Golden Trade turut dijemput untuk turut serta menerusi kerjasama negeri-negeri dalam kumpulan SG4 itu melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang bertempat di Adya Hotel, Langkawi baru-baru ini mencapai kata positif.

Pengurus Kelantan Golden Trade, Wan Muhammad Najahuddin Wan Fuad ketika ditemui berkata, perniagaan emas mampu dijadikan salah satu pendapatan baharu dan pelaburan di negeri-negeri SG4 Group melalui kerjasama syarikat berkenaan.

“Baru-baru ini KGT telah dijemput untuk membentangkan Rancangan Perniagaan Emas sempena bengkel tersebut,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, tujuan utama rancangan perniagaan ini dibentang untuk menyebarluaskan penggunaan dan kesedaran simpanan emas di negeri-negeri SG4.

Katanya, semoga ia menjadi kunci utama kepada kesejahteraan kewangan negeri dan rakyat seperti yang telah sedia ada di negeri Kelantan melalui pengenalan Dinar dan Dirham Kelantan.

“Ini kerana, kemampuan emas untuk melindungi nilai kekayaan dari inflasi dan ketidakstabilan ekonomi mana-mana negara,” katanya.

Tambahnya, emas memiliki kecenderungan untuk kekal stabil dan terjamin nilainya dalam jangka masa panjang.

Katanya, rancangan ini juga selaras dengan hasrat Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika melancarkan dinar emas dan dirham perak sebelum ini.

“Besar hasrat almarhum untuk memberi kesedaran dan keyakinan terhadap penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada sistem matawang, simpanan, mas kahwin, membayar zakat, pemberian hadiah, sedekah, gadaian (rahnu) dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, Najahuddin berharap, semoga setiap usaha yang diatur dapat memberikan impak positif kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat di samping meningkatkan daya saing negeri-negeri SG4 dalam pelbagai sektor. – HARAKAHDAILY 14/1/2025

Ulasan