Ramai wanita pilih jadi suri rumah



Ramai wanita pilih jadi suri rumah
SEKITAR tiga juta wani­ta daripada 4.8 juta wanita yang berhenti kerja menyatakan tuntutan sebagai suri rumah sebagai alasan.
Oleh ZAHRA MOHAMAD ZHAHIR
2 Januari 2025, 6:50 am

PETALING JAYA: Ramai wanita berhenti kerja dan memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

Mengikut data Jabatan Pe­rangkaan, sekitar tiga juta wani­ta daripada 4.8 juta wanita yang berhenti kerja menyatakan tuntutan sebagai suri rumah sebagai alasan.

Faktor lain yang mendorong kaum wanita yang membentuk 6.72 juta tenaga buruh negara berhenti kerja pada usia antara 25 dan 64 tahun ialah faktor pendidikan iaitu sebanyak 1.51 juta dan selebihnya atas sebab lain.

Katanya, keadaan itu menye­babkan kadar penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan negara masih ketinggalan walaupun kadar graduan golongan itu ke universiti melebihi lelaki setiap tahun.

Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan berkata, bebanan kerja yang ditambah pula dengan tanggungjawab di rumah merupakan antara punca utama wanita melupakan hasrat mereka untuk terus bekerja.

Beliau berkata, ketidakseimbangan waktu bekerja serta kurangnya masa berkualiti bersama anak-anak juga memainkan peranan yang signifikan, lebih-lebih lagi apabila masih banyak syarikat tidak membenarkan kerja dari rumah.

Katanya, wanita turut berdepan dengan diskriminasi di tempat kerja sehingga ada yang sanggup berhenti kerana tidak mendapat gaji setimpal dengan kelayakan atau dinafikan kenaikan pangkat.

“Alasan wanita yang memilih untuk berhenti kerja sangat kompleks dan berkait antara satu sama lain. Oleh itu, harus ada satu pendekatan holistik untuk menangani masalah ini.

“Sekiranya masalah ini tidak ditangani, ada kemungkinan lebih ramai wanita akan meninggalkan pasaran kerja, lebih-lebih lagi dalam kalangan profesional muda,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut statistik laporan Pasaran Buruh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat peningkatan tenaga buruh bagi lelaki dan wanita masing-masing mencatatkan sebanyak 56,400 dan 58,000 orang pada suku ketiga 2024.

Namun, kaum wanita masih ketinggalan dan hanya menyumbang sebanyak 38.8 peratus (6.71 juta orang) berbanding lelaki dengan sumbangan sebanyak 61.2 peratus (10.56 juta orang).

Statistik sama menunjukkan bilangan luar tenaga buruh atau tidak bekerja pada suku ketiga 2024 terus meningkat sebanyak 0.5 peratus (35,600 orang) dengan jumlah sebanyak 7.22 juta orang berbanding 7.19 juta pada suku sebelumnya dengan jumlah terbesar terdiri daripada wanita.

Nik Ahmad berkata, kerajaan boleh membantu para wanita dengan membentuk dasar yang membolehkan mereka mengimbang komitmen kerja, misalnya pelaksanaan dasar kerja fleksibel seperti waktu kerja anjal dan opsyen bekerja dari rumah.

Katanya, kerajaan juga boleh memperkukuh dasar perlindungan pekerja wanita dengan menawarkan cuti bersalin yang lebih lama, cuti menjaga anak untuk bapa serta kemudahan rehat bagi ibu menyusu, sekali gus menggalakkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

“Bagi memastikan keadilan terhadap wanita, penguatkuasaan undang-undang untuk menghapuskan diskriminasi dalam aspek gaji, peluang kenaikan pangkat dan akses kepada latihan profesional sangat penting.

“Di samping itu, kerajan boleh memperkenalkan program latihan kemahiran dan insentif kewangan untuk membantu wanita kembali bekerja selepas berhenti sementara akibat tanggungjawab keluarga,” jelasnya. – UTUSAN

Ulasan