
Revolusi Harimau Malaya bermula
Skuad Harimau Malaya akan berwajah baharu sebaik sahaja usaha merevolusikan pasukan kebangsaan itu selesai di peringkat pemain. - AFP
Oleh HAKIMI ISMAIL
1 Januari 2025, 8:00 am
PETALING JAYA: Revolusi Harimau Malaya hampir lengkap dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengumumkan individu-individu penting bagi mengetuai ‘projek’ khas skuad kebangsaan.
Pengumuman itu bermula dengan bekas pengurus FC Tokyo, Peter Cklamovski dari Australia dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan sementara Nafuzi Zain pula sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan.
Terbaharu, badan induk bola sepak negara juga mengumumkan bekas pemain kebangsaan Kanada, Robert Douglas Friend sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) skuad kebangsaan.
Lebih dikenali sebagai Rob Friend, bekas penyerang Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin dan Eintracht Frankfurt di Bundesliga itu akan menerajui struktur organisasi baharu bagi revolusi Harimau Malaya.
Bukan itu sahaja, bagi menjamin keberhasilan yang lebih baik, Harimau Malaya juga akan akan dipantau oleh pengarah prestasi tinggi yang khusus untuk menjaga kecergasan dan perubatan pasukan.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkata, individu yang bakal dilantik itu merupakan seorang doktor yang mempunyai pengalaman tinggi bersama pasukan Piala Dunia.
Selesai dengan nama-nama yang menjawat jawatan penting, kini peminat tertanya-tanya pemain mana termasuk tonggak warisan yang akan dipanggil untuk menganggotai wajah baharu Harimau Malaya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan