Seragamkan harga elak manipulasi



Seragamkan harga elak manipulasi
PENJUALAN beras campuran merupakan antara kaedah cukup baik dalam menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran yang sudah berlarutan lebih dua tahun. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Oleh MOHD HAFIZ ABD MUTALIB
16 Januari 2025, 7:46 am

KANGAR: Penjualan beras campuran merupakan antara kaedah cukup baik dalam menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran yang sudah berlarutan lebih dua tahun.

Bagaimanapun, usaha berkenaan perlu disertakan dengan penyeragaman harga beras antara RM32 sehingga RM36 bagi berat 10 kilogram agar isu manipulasi oleh kilang-kilang besar turut dapat diatasi.

Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, apabila harga diseragamkan, mana-mana kilang atau pemborong yang mencampur beras tempatan dan import sudah tidak boleh lagi mengaut lebih keuntungan dengan manipulasi berkenaan.

Katanya yang juga pengusaha pusat belian padi, jika dilihat tidak ada perbezaan ketara antara beras tempatan dan import ini dan sukar sebenarnya untuk membezakan kedua-dua jenis beras berkenaan.

Ujarnya, tidak menjadi masalah jika penjualan beras campuran di pasaran, namun apa yang lebih penting tetapkan hanya pada satu gred beras sahaja serta seragamkan harga.

“Jadi, kerajaan perlu segera jika hendak melaksanakan cadangan membenarkan penjualan beras campuran tersebut. Jika tidak isu ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran dan manipulasi oleh kilang-kilang besar ini akan terus berlarutan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang membuat kajian terperinci untuk membenarkan penjualan beras campuran di pasaran tempatan.

Sehingga hari ini tiada larangan yang jelas tentang pencampuran beras di dalam Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, cadangan tersebut turut disokong oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sebagai kaedah penyelesaian kepada masalah bekalan beras yang berlaku ketika ini.

Sebelum itu, akhbar ini juga melaporkan, beras putih tempatan yang dijual pada harga rendah RM26 bagi 10 sekilogram (kg) mendorong pengilang-pengilang besar mencampurkannya dengan beras import dan dijual pada harga lebih tinggi.

Tambah Mohd. Shazwan, kerajaan juga perlu segera menyemak harga beras memandangkan harga RM26 bagi berat 10kg sudah tidak lagi relevan.

“Bagi keluarga yang mempunyai bilangan ahli keluarga antara empat atau lima orang, sekampit beras 10kg itu sudah cukup untuk kegunaan sebulan atau mungkin lebih sedikit.

“Sudah 16 tahun harga beras ini tidak disemak dan nak tunggu sampai bila lagi barunaikkan harga beras.

“Jika harga beras naik, saya percaya ia akan memberi situasi menang-menang kepada semua pihak sama ada pengilang, pemborong dan pesawah sendiri,” katanya.

Ulasan