
3 syarikat kena penuhi syarat dalam 2 tahun, lesen operasi belum dikeluarkan
Oleh Ruwaida Md Zain - Februari 12, 2025 @ 12:58pm
SHAH ALAM: Kerajaan belum memberikan lesen pengoperasian kepada tiga syarikat yang akan melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM), sebaliknya hanya kelulusan bersyarat bermula minggu lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kementerian memberikan kelulusan bersyarat kepada tiga syarikat berkenaan dengan tempoh dua tahun untuk mereka menyediakan semua fasiliti diperlukan di pusat perkhidmatan masing-masing.
"Saya hendak tegaskan lesen belum dikeluarkan, hanya kelulusan bersyarat. Tidak ada unsur kontrak diberikan, kita tidak bayar satu sen pun kepada syarikat (tiga syarikat) ini.
"Semua ini memerlukan pelaburan daripada mereka (tiga syarikat itu), mereka hendak beli tanah, beli mesin, bina bengkel semua atas pelaburan mereka dan tidak ada unsur implikasi kewangan kepada kerajaan, jadi ini perlu difahami.
"Sudah tentu selepas mereka menyediakan kemudahan itu, ia perlu diperiksa oleh kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Kalau mereka dapat menyediakan semua kemudahan, mesin, peralatan dan juga komponen yang diperlukan, baru lesen operasi dikeluarkan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Exio Logistics Hub Kemudahan Logistik Berteknologi Tinggi dan Mampan di Elmina East, Seksyen U16, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kritikan sesetengah pihak yang mendakwa ketiga-tiga syarikat yang diterima bagi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan PPKM tidak ada pengalaman.
Mengulas lanjut Loke berkata sebelum ini perkhidmatan pemeriksaan kenderaan ini hanya dimonopoli sebuah syarikat sahaja.
"Ketika Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) ditubuhkan pada 1994, syarikat ini pun tiada pengalaman ketika itu.
"Sebelum ini pasaran (industri) ini tidak dibuka, hanya dimonopoli oleh sebuah syarikat sahaja (PUSPAKOM) yang diberikan konsesi oleh kerajaan.
"Sekarang kita membuka industri ini kepada lebih banyak persaingan supaya lebih banyak syarikat boleh terbabit dalam industri pemeriksaan kenderaan ini," katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pihak berkenaan tidak fokus kepada usaha kerajaan dalam memecahkan monopoli dalam perkhidmatan ini.
"Ini suatu dasar yang betul, mengapa mereka tidak menyokong kita memecahkan monopoli sebab sebelum ini monopoli satu syarikat sahaja diberikan hak untuk menyediakan khidmat pemeriksaan kenderaan ini dan banyak aduan dilontar oleh orang ramai.
"Jadi, sekarang ini kita membuka pasaran ini kepada lebih banyak pemain industri, lebih banyak syarikat dan apa yang kita hendak lihat adalah kemampuan mereka menyediakan kemudahan itu.
"Saya dah kata, dia bukan terhad kepada tiga syarikat sahaja, ada banyak lokasi lagi, ada banyak negeri lagi yang masih belum ada alternatif kepada PUSPAKOM," katanya.
Media sebelum ini melaporkan kementerian meluluskan tiga syarikat baharu bagi melaksanakan PPKM selain PUSPAKOM.
Loke dalam kenyataan berkata, pelantikan itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju untuk membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat-syarikat lain yang berkelayakan.
Bagi fasa pertama, sebanyak tiga syarikat baharu membabitkan syarikat daripada Wawasan Bintang Sdn Bhd yang berada di Pelabuhan Klang, Selangor; Gua Musang, Kelantan dan Mersing, Johor.
Syarikat kedua adalah Pakatan Petroleum Sdn Bhd yang berada di Rawang, Selangor dan Temerloh, Pahang; manakala satu lagi syarikat ialah Beriman Gold Sdn Bhd yang berada di Kuching dan Serian, Sarawak.
Ulasan
Catat Ulasan