
Dakwaan negatif tidak tepat, data rasmi berbeza fakta
Kerajaan Empat Negeri (SG4)
February 9, 2025
KUALA TERENGGANU: Tuduhan liar terhadap negeri-negeri dalam kumpulan SG4 kononnya mencatat kadar tertinggi penyalahgunaan dadah, jenayah seksual kanak-kanak dan penyakit kronik, terbukti tidak berasas.
Selepas semakan terhadap data rasmi terhadap negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis ternyata menunjukkan fakta sebenar yang berbeza daripada dakwaan dilemparkan secara negatif itu.
Penganalisis politik, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi tahun 2023 menunjukkan negeri dengan jumlah penagih dadah tertinggi ialah Johor dengan 15,940 kes,
“Diikuti Selangor (14,638), Kedah (13,974) dan Kelantan (13,915). Fakta ini membuktikan bahawa masalah penyalahgunaan dadah bukan hanya tertumpu kepada negeri SG4, sebaliknya turut melibatkan negeri lain.
“Malah, agensi yang bertanggungjawab dalam membanteras masalah ini seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan), dan (Jabatan) Kastam terletak di bawah pentadbiran Kerajaan Pusat.
“Selagi agensi ini tidak sekat pengedaran dadah, macam mana nak kurangkan penagihan?” soal beliau dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas tulisan seorang penulis pro-Pakatan Harapan (PH) di Facebook bernama Liyana Marzuki yang menasihatkan orang ramai supaya Jangan Pajak Otak (JPO).
Nurul Islam turut menyangkal dakwaan bahawa negeri-negeri SG4 mencatat kadar tertinggi dalam jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Berdasarkan laporan rasmi PDRM, negeri yang merekodkan jumlah kes tertinggi dalam kategori ini ialah Selangor,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan darah tinggi lebih banyak berlaku di negeri-negeri SG4, beliau berkata, tiada data rasmi terkini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Juga menurutnya, tiada data dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menyokong dakwaan tersebut.
“Satu-satunya laporan yang saya temui adalah pada tahun 2019, di mana Kedah mencatat kadar darah tinggi tertinggi ketika negeri itu diperintah oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Kata beliau, di sebalik dakwaan negatif yang dilemparkan, negeri-negeri SG4 mencatat pelbagai kejayaan yang wajar diiktiraf.
“Pencapaian akademik, Terengganu muncul sebagai negeri dengan keputusan terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dengan nilai Gred Purata Negeri 4.41, mengatasi Gred Purata Kebangsaan 4.60.
“Kejayaan ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana Terengganu telah mencatat prestasi cemerlang sejak tahun 2016. Kedah mencatatkan pelaburan kedua tertinggi bagi 2023 dengan berjumlah RM26 billion mengatasi Selangor dan Johor.
“Kenapa saya buat perbandingan dengan Kedah dan Johor? Sebab dua negeri ni ada pelabuhan yang merupakan daya tarikan untuk pelaburan masuk. Kedah tidak ada pelaburan (Kerajaan Pusat masih tak beri kelulusan untuk bina Pelabuhan di Sanglang),” katanya.
Menurut Nurul Islam, adalah penting untuk bersikap adil dalam menilai sesuatu isu dan tidak hanya mencari kelemahan tanpa mengambil kira pencapaian serta faktor yang lebih luas.
“Penulisan kita akan mencerminkan peribadi kita. Kalau kita jujur dalam penulisan, maka itulah keperibadian kita. Kalau hati kita busuk dan mata lalat yang digunakan untuk mencari tahi (tahi yang direka), maka tahi lah yang akan kita jumpa.
“Kalau mata lebah yang digunakan maka bunga yang akan dijumpai,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan