Khalid Samad juga tidak dapat terima buku Hannah Yeoh


Khalid Samad juga tidak dapat terima buku Hannah Yeoh

Walaupun pemimpin PAN itu menjadi saksi bagi pihak pemimpin DAP itu
February 9, 2025

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad menyangkal pandangan bahawa seorang Muslim akan berkongsi pandangan sama seperti yang dinyatakan Hannah Yeoh dalam buku ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’.

Saksi ketujuh dan terakhir bagi Menteri Belia dan Sukan itu menyebabkan kejutan dengan ulasan tersebut yang bernada negatif buat Hannah ketika Khalid dijangka akan memberikan keterangan menyokong penuh buku itu.

Penyataan itu dijawabnya ketika disoal balas peguam, Sangeet Kaur Deo pada perbicaraan kes saman fitnah difailkan Hannah terhadap Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff selaku defendan.

“Saya ingat baca dalam empat ataupun lima bahagian (daripada 10 bahagian). Saya dapati ia sangat tidak menarik kerana ianya ditulis atas satu paradigma (pandangan) yang berbeza (dengan Islam).

“Saya rasa orang Islam kalau baca, dia akan dapati bahawa pandangan dikemukakan dalam buku itu sangat tidak menarik,” ujarnya di hadapan Hakim Datuk Aliza Sulaiman di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, di sini kelmarin dahulu.

Jelas Khalid, dalam ajaran Islam manusia diberikan kebebasan untuk menentukan jalan hidup mereka, termasuk dalam bidang politik iaitu Allah mengizinkan manusia memasuki arena politik, tetapi tidak boleh dianggap sebagai ketentuan mutlak dari Tuhan.

“Orang Islam takkan berfikiran seperti Hannah Yeoh yang menganggap bahawa Tuhan telah letakkan dia dalam arena politik kerana orang Islam akan kata kita ada pilihan. Allah izinkan kita masuk dalam arena politik tetapi kita tidak akan kata, “oh, ini pilihan Allah”,” ujarnya.

Beliau menerangkan bahawa di dalam Islam, setiap individu bertanggungjawab terhadap keputusan dibuat mereka dan tidak boleh menyandarkan sepenuhnya iaitu seakan menyalahkan keputusan tersebut kepada ketentuan Tuhan.

Tambahnya, pandangan Hannah Yeoh dalam bukunya yang mengaitkan setiap keputusan dengan kehendak atau arahan Tuhan, adalah sama sekali bercanggah dengan prinsip Islam yang menekankan tanggungjawab individu.

“From the Islamic point of view, we cannot absolve ourselves from the decisions that we make. We cannot say that, “oh, ni Allah made me into a politician or Allah made me into this or into that”. It’s our decision.

“So, bagi saya, bila saya baca buku tu, it doesn’t jive with my Islamic worldview. Saya nampak cara pemikiran Hannah Yeoh selari dengan agama Kristian… tetapi bagi saya, the level of confidence that everything she does is an act of God or as an instruction from God, that is tak boleh diterima oleh sayalah,” ujarnya.

Khalid Samad juga tiga kali kedengaran membuat permohonan maaf semasa perbicaraan di mahkamah kepada Hannah Yeoh atas pendedahan mengejutkan yang mungkin boleh memberikan masalah kepada pemimpin wanita DAP dalam kesnya ini.

Kes perbicaraan ini sudah berakhir pada 6 Februari lalu dan Hakim Dato’ Hajah Aliza Sulaiman menetapkan keputusannya pada 30 Mei 2025 dengan kedua-dua pihak perlu memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 21 April.

Hannah Yeoh diwakili oleh Sangeet Kaur Deo, manakala Dr Kamarul Zaman diwakili oleh Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah berkata, Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 dan 17 Mei, 2017, iaitu defendan menyatakan bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi ‘Hannah Becoming Hannah: A Personal Journey’ bagi memacu agenda Kristian dan turut menulis bahawa pemimpin DAP itu berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian. – HARAKAHDAILY 9/2/2025

Ulasan