
Malaysia perlu cari strategi kurangkan kesan negatif perang dagang Trump
MALAYSIA perlu menyesuaikan strategi perdagangan dan pelaburan untuk mengurangkan kesan negatif sambil memanfaatkan peluang yang ada.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Oleh Abu Sufian Abu Bakar
7 Februari 2025, 8:00 am
PERANG dagang yang dicetuskan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 1 Februari lalu antara negaranya, Kanada dan Mexico mencerminkan ketegangan ekonomi dan politik yang semakin memuncak di bawah pentadbirannya.
Dengan mengenakan tarif hampir menyeluruh sebanyak 25 peratus ke atas semua eksport Mexico dan kebanyakan barangan dari Kanada, Trump bertujuan mengurangkan defisit perdagangan, menangani isu imigrasi haram dan memerangi penyeludupan dadah. Namun, tindakan ini bukan sahaja menjejaskan hubungan antara tiga negara ini tetapi juga memberi kesan besar kepada ekonomi global.
Pun begitu, Trump menangguhkan pelaksanaan tarif berkenaan selama 30 hari selepas berbincang dengan pemimpin kedua-dua negara itu hanya beberapa jam sebelum langkah tersebut dijadualkan berkuat kuasa.
Trump menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), dengan alasan keselamatan negara. Beliau mendakwa imigrasi haram dan penyeludupan dadah dari Mexico serta pergantungan AS terhadap import dari Kanada membahayakan kepentingan nasional AS.
Selain itu, Trump juga mengenakan tarif 10 peratus ke atas eksport tenaga dari Kanada, yang merupakan sumber utama minyak dan gas untuk AS. Tindakan ini mencerminkan pendekatan proteksionis yang agresif, mirip dengan perang dagangnya terhadap China pada 2018.
Namun, keputusan ini bercanggah dengan Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA), ditandatangani pada 2020, yang sepatutnya menghapuskan hampir semua tarif perdagangan antara tiga negara ini. Trump menggunakan alasan keselamatan negara untuk mengelakkan sekatan di bawah USMCA, tetapi langkah ini dianggap sebagai pelanggaran semangat kerjasama ekonomi yang dibina sejak era Perjanjian Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) pada 1994.
Tindakan itu mencetuskan reaksi balas dari Kanada dan Mexico. Kedua-dua negara ini mengenakan tarif balas ke atas barangan AS, termasuk produk pertanian, kenderaan dan bahan kimia. Menurut kajian oleh Bank of Canada, tarif ini boleh mengurangkan eksport Kanada ke AS sebanyak 12 peratus, yang seterusnya menjejaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kanada sebanyak 4 peratus pada tahun ini. Mexico, sebagai hab pembuatan utama untuk syarikat global, juga dijangka mengalami kemerosotan ekonomi yang serius jika eksportnya ke AS menurun.
Di AS, tarif ini menyebabkan kenaikan harga barangan. Sebagai contoh, tarif ke atas produk makanan, keluli dan tenaga dari Kanada dan Mexico meningkatkan kos pengeluaran untuk syarikat AS. Menurut kajian oleh Yale University, tarif ini boleh mengurangkan kuasa beli rakyat AS sebanyak AS$ 1,200 (RM 5,319) setiap isi rumah. Selain itu, kenaikan harga minyak dan gas dari Kanada turut menyumbang kepada tekanan inflasi di AS.
Mexico, sebagai pengeluar utama komponen automotif dan elektronik, memainkan peranan penting dalam industri global. Jika eksport Mexico ke AS merosot, syarikat-syarikat global yang bergantung pada rantaian bekalan dari Mexico akan menghadapi kesukaran.
Selain itu, gangguan dalam perdagangan AS-Mexico-Kanada juga memberi kesan kepada negara-negara lain. Eropah dan Asia mungkin mendapat manfaat jangka pendek kerana syarikat AS mencari sumber alternatif untuk bahan mentah dan produk siap. Sebagai contoh, pengeluar minyak dan gas dari Timur Tengah mungkin menggantikan Kanada sebagai pembekal utama tenaga ke AS. Namun, ketidaktentuan ekonomi yang disebabkan oleh perang dagang ini boleh menjejaskan pasaran kewangan global dan meningkatkan risiko kemelesetan ekonomi.
Dari sudut politik domestik AS, tindakan ini mungkin membantu Trump menarik sokongan pengundi yang percaya perdagangan bebas merugikan pekerja tempatan. Namun, dalam jangka panjang, perang dagang ini boleh merosakkan hubungan diplomatik AS dengan Kanada dan Mexico, yang merupakan antara rakan dagang terbesarnya. Ketegangan ini juga boleh melemahkan kepercayaan antarabangsa terhadap AS sebagai rakan dagang yang stabil.
KESAN BESAR KEPADA MALAYSIA & ASEAN
Perang dagang ini memberi kesan besar kepada ekonomi global, termasuk rantau ASEAN. Sebagai sebuah rantau yang bergantung pada perdagangan antarabangsa, ASEAN, termasuk Malaysia. Walaupun terdapat cabaran, perang dagang ini juga membuka peluang baharu untuk rantau ini.
Perang dagang ini mengganggu rantaian bekalan global, terutamanya dalam sektor elektronik, automotif dan tenaga. Mexico menghadapi risiko kemerosotan eksport ke AS akibat tarif yang tinggi. Situasi ini membuka peluang untuk negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia, menarik lebih banyak pelaburan asing. Syarikat-syarikat AS mungkin akan memindahkan operasi pengeluaran mereka ke rantau ini untuk mengelakkan tarif yang tinggi.
Walaupun terdapat peluang, perang dagang ini juga membawa cabaran. Kenaikan tarif ke atas bahan mentah seperti keluli, baja dan minyak dari Kanada dan Mexico menyebabkan peningkatan kos pengeluaran global.
Malaysia, yang bergantung pada import bahan mentah ini, turut terjejas. Sebagai contoh, sektor pembinaan dan pembuatan mungkin menghadapi kenaikan kos sehingga 10 hingga 15 peratus pada tahun ini, menurut anggaran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Selain itu, Malaysia juga bergantung pada import makanan seperti jagung dan daging dari Amerika Utara. Jika bekalan dari Mexico dan Kanada terjejas, harga makanan di Malaysia boleh meningkat. Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, harga makanan dijangka meningkat sebanyak 3 hingga 5 peratus, yang akan memberi tekanan kepada pengguna dan perniagaan tempatan.
Kerana itu, Malaysia dan negara ASEAN perlu menilai semula strategi perdagangan dengan AS. Dalam jangka panjang, ASEAN boleh memainkan peranan sebagai perantara dalam menyusun semula rantaian bekalan global. Sebagai contoh, melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia boleh mengukuhkan hubungan dagangan dengan Kanada dan Mexico. Kedua-dua negara ini kini sedang mencari pasaran alternatif dan ASEAN boleh menjadi destinasi utama bagi eksport mereka.
Perang dagangan ini bukan sekadar isu serantau tetapi juga mempunyai kesan global yang luas. Ketidaktentuan ekonomi yang dicetuskan dasar proteksionis AS boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi global, meningkatkan inflasi dan mengubah pola perdagangan antarabangsa.
Oleh itu, Malaysia perlu menyesuaikan strategi perdagangan dan pelaburannya untuk mengurangkan kesan negatif sambil memanfaatkan peluang yang ada.-UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan ahli jawatankuasa (AJK) Forum Ekonomi Manusiawi.
Ulasan
Catat Ulasan