‘Mengapa pukul saya dengan kejam?’



‘Mengapa pukul saya dengan kejam?’
AHMAD NOR Al Faizan Jusoh (kanan) dan isterinya, Faridah Abdul Karim menunjukkan kesan luka di belahagian tangan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili, Kemaman, Terengganu. - MINGGUAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
2 Februari 2025, 6:19 am

KEMAMAN: “Sehingga sekarang, saya tertanya-tanya mengapa mereka tergamak pukul, tendang dan heret saya? Malah muka saya dihumban ke atas mi goreng yang tumpah di atas jalan.”

Itu luahan lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang dibelasah di pasar pagi berhampiran Padang Astaka, Chukai, di sini, baru-baru ini.

Menceritakan semula kejadian itu, Ahmad Al Faizan atau lebih dikenali Paijang berkata, pada awalnya dia menunggang motosikal di tengah pasar itu untuk menghantar nasi minyak yang dikirim seorang rakannya.

“Saya hanya mahu lalu untuk menghantar nasi kepada rakan namun berlaku insiden lain antara saya dan seorang individu sebelum saya diberitahu boleh pusing 20 kali di pasar itu kalau saya mahu. Namun, saya tidak berniat mahu pusing 20 kali dan mahu berlalu pergi.

“Ketika kali ketiga saya lalu di tengah pasar itu, tiba-tiba ada seseorang sengaja menyepak motosikal saya dari arah belakang menyebabkan saya gagal mengawal motosikal dan terlanggar gerai mi goreng itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili, di sini, semalam.

Katanya, ketika dia jatuh, beberapa individu bertindak memukulnya tanpa membantu mengangkat motosikalnya.

“Ketika itu saya beritahu, tidak guna pukul saya, bukan saya sengaja melanggar gerai itu. Sepatutnya, carilah individu yang mula-mula menyepak saya hingga menyebabkan saya melanggar gerai itu,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia memberitahu ingin menggantikan kerugian peniaga mi goreng itu, namun berlaku pertengkaran mulut sebelum dia terus dipukul.

“Saya ada meminta maaf dan memberitahu saya sakit, namun tiada seorang pun yang peduli saya, malah terus dipukul dengan teruk.

“Selepas mereka mengheret saya, kemudian kepala saya dihumban ke atas mi goreng yang tumpah di atas jalan tar, saya terpaksa menahan nafas seketika dan cuba menahan muka dengan tangan kerana pedih terkena mi goreng. Kemudian, seorang lagi individu mencurahkan mi goreng ke atas kepala saya.

“Ketika minta air untuk membasuh muka kerana mata pedih, sekali lagi saya disepak di bahagian kepala. Sakit itu, hanya Allah yang tahu,” katanya.

Menurutnya, jika dibincangkan dengan baik, dia boleh menggantikan kerugian peniaga itu, namun sebaliknya yang berlaku.

Ahmad Nor Al Faizan berkata, meskipun sudah lebih dua minggu kejadian itu berlalu, impak insiden itu masih dirasai.

“Bahagian tulang rusuk saya mula rasa sakit selepas keluar dari hospital dan beberapa bahagian badan saya termasuk lengan, jari dan bahagian belakang badan masih berparut kesan daripada luka,” katanya. – UTUSAN

Ulasan