Pakaian Bundle tidak kenal darjat



Pakaian Bundle tidak kenal darjat

PAKAIAN-pakaian terpakai berkualiti seperti baju, seluar, kasut, tali pinggang, topi, aksesori pakaian wanita dan lelaki dengan harga yang murah boleh didapati di Buntil Bundle, Taman Tun Ismail Jaya, Shah Alam. – MINGGUAN/SADDAM YUSOFF
Oleh MOHAMAD ATHIR ISMAIL
9 Februari 2025, 7:00 am

SHAH ALAM: Bundle bukan lagi kedai bagi pencari barang murah, tetapi industri perniagaan pakaian terpakai itu kian mendapat permintaan dalam kala­ngan masyarakat pelbagai lapisan tanpa mengira latar belakang.

Malah, dalam tempoh 20 tahun, perkembangan perniagaan itu dapat dilihat daripada penjualan pakaian harian terpakai kepada perniagaan secara sektoral mengikut jenis barang dan trend termasuklah vintaj.

Bahkan, perkembangan perniagaan bundle bukan sahaja berkembang dalam bentuk jualan di kedai, garis masanya juga tampak berubah menerusi platform dalam talian menunjukkan lagi kemeriahan permintaan terhadap barangan terpakai.

Hal demikian dikongsikan seorang pengusaha barangan terpakai Puaka Bundle, Safrizal Hasmuni yang mengusahakan perniagaan tersebut lebih 28 tahun dengan memulakannya secara kecil-kecilan seperti jualan pakaian harian terpakai.
SAFRIZAL Hasmuni menunjukkan beberapa barang vintaj yang bernilai lebih ratusan dan ribuan ringgit
di Bundle Puaka, Bukit Cerakah, Kuala Selangor.

PERUBAHAN GARIS MASA PERNIAGAAN BUNDLE

Menurutnya, bermula pada 1990-an perkembangan dan permintaan dalam industri bundle dapat dilihat ketara menerusi latar belakang pelanggan yang membeli berikutan peralihan persepsi terhadap perniagaan itu.


“Dahulu orang ingat pergi bundle sebab pakaian yang murah. Betul, saya masih ingat dahulu hendak masuk kedai bundle pun malu, apa lagi hendak ajak kawan teman jauh sekali. Memang sorok-sorok masuk kedai bundle takut orang yang kita kenal nampak.

“Sekarang lain, siapa masuk kedai bundle terutama yang masuk Puaka Bundle, mesti banyak duit. Sebenarnya perubahan berlaku apabila pengguna di negara kita mula menghargai nilai pada sesuatu barang.

“Sesuatu barang sama ada baju, kasut, topi, jaket, seluar dan macam-macam lagi dianggap bernilai tinggi terutama pada mereka yang mengetahui penghasilan produk tersebut dan garis masanya.

“Sebagai contoh, bagi peminat sesuatu kumpulan muzik, misalnya Iron Maiden yang terkenal pada 1970-an dan 1980-an, mereka mempunyai merchandise seperti t-shirt dan sebagainya, ia dianggap bernilai tinggi kerana tidak lagi dikeluarkan kerana band tersebut sudah lama,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sementara itu, pengusaha Aidency Thrift Store, Muhamad Zulhadi Abdul Wahab, 31, memberitahu, industri berkenaan kian meluas dan tidak hanya tertumpu kepada pakaian vintaj atau collector semata-mata.

“Seiring peredaran masa kini, dunia pakaian mempunyai pelbagai jenama terkemuka malah ada yang tidak berada di pasaran negara ini.

“Justeru, ia menjadi mata pencarian dan sumber rezeki kepada peniaga bundle untuk menjualnya dengan harga lebih murah kepada pelanggan terutama golongan muda,” katanya.

Mengimbau kembali industri bundle pada awal 2000, perniagaan itu dianggap sebagai satu pasaran niche yang hanya diminati oleh segelintir golongan yang mencari pakaian berjenama dengan harga yang lebih murah.

Kebanyakan pakaian yang dijual adalah barangan import dari negara seperti Jepun, Korea, Amerika Syarikat, dan Eropah. Pasar-pasar malam dan bazar menjadi pusat utama jualan pakaian bundle ketika itu.

Namun, sekitar tahun 2010, trend pakaian bundle mula mendapat perhatian generasi muda, khususnya golongan pelajar dan pecinta fesyen vintaj kerana fenomena itu didorong oleh faktor ekonomi, di mana pengguna mencari alternatif lebih murah bagi jenama antarabangsa, serta kesedaran mengenai kepentingan kelestarian dalam industri fesyen.

Safrizal yang juga dikenali sebagai Rizal Puaka turut berkongsi pandangan, persepsi yang berubah terhadap bundle dilihat mengarut kerana baju lama diletakkan nilai yang amat tinggi melebihi harga pada jualan ketika ia masih baharu.

“Saya berjaya menjual sehelai t-shirt Iron Maiden berwarna hijau pada harga RM26,000 apabila saya membuka jualannya menerusi siaran langsung dalam Facebook.

“Ia dijual pada harga tersebut kerana, tentu t-shirt tersebut tidak lagi dikeluarkan. Kedua, ia adalah edisi terhad yang dinanti oleh peminat kumpulan Iron Maiden, ketiga, pembelinya pula sudah pasti seorang pengumpul koleksi barang vintaj, dia takkan pakai baju tersebut sebaliknya diletakkan dalam bingkai gambar dan dijadikan hiasan,” jelasnya.

Menjelang tahun 2015, permintaan terhadap pakaian bundle meningkat secara mendadak yang membawa kepada kemunculan lebih banyak kedai bundle yang berkonsepkan butik apabila pakaian dijual dalam keadaan lebih tersusun dan eksklusif.

Kawasan seperti Shah Alam, Bangi, Petaling Jaya, dan Kuala Lumpur mula dipenuhi dengan kedai-kedai bundle yang menawarkan pelbagai jenis pakaian dari jaket, t-shirt, seluar jeans hingga kasut dan aksesori.

Dalam tempoh yang sama, platform jualan dalam talian seperti Facebook, Instagram, dan pelantar e-dagang turut memainkan peranan besar dalam perkembangan industri itu apabila peniaga bundle mula menggunakan medium digital untuk menjual pakaian mereka melalui sesi siaran langsung dan katalog dalam talian.

Strategi itu bukan sahaja membantu meningkatkan jualan, tetapi juga memudahkan pembeli dari seluruh negara tanpa perlu mengunjungi kedai.

Safrizal memberitahu, perniagaan bundle kini diibaratkan seperti pasar budaya kerana menjual pakaian berasaskan kepada minat dan trend, malah fesyennya juga dianggap tidak lapuk.

“Kalau ada peminat rock, dekat mana mereka akan mencari pakaian band kegemaran mereka? Adakah masih ada baju baharu dijual, kalau ada pun adakah ia tulen? Kerana t-shirt merchandise seperti Iron Maiden, Nirvana tidak lagi dikeluarkan. Kalau ada pun ia tidak asli atau keasliannya bukan pada era kegemilangannya, peminat tak mahu beli,” tambahnya.

SELUAR-seluar jeans terpakai berjenama yang dijual di Bundle Puaka, Bukit Cerakah, Kuala Selangor.

RANGKAIAN BUNDLE BANTU PENIAGA PEROLEH BEKALAN

Perkembangan perniagaan pakaian terpakai bukan sahaja memudahkan pelanggan mendapatkan barang yang dicari, malah ia membantu para peniaga mendapatkan barangan menerusi rantaian kedai-kedai bundle di seluruh negara.

Menurut seorang peniaga, Amir Firdaus Mohamad Noor, pertambahan jumlah kedai-kedai bundle di seluruh negara bukan sahaja memberi pilihan kepada pembeli, tetapi peniaga untuk mendapatkan bekalan.

“Bagi saya ia sangat bagus kerana tidak semestinya satu tempat yang kita pergi ada barang yang bernilai dan boleh dijual. Macam saya, untuk mencarinya saya jelajah dan ‘menyelam’ kedai-kedai bundle serata negeri seperti Johor, Kuala Lumpur dan Ipoh.

“Kalau di Selangor pula mungkin saya sudah pergi hampir keseluruhan kedai bundle termasuklah kedai jual ‘ketul’ (pembekal barangan terpakai) untuk mencari pakaian atau aksesori untuk dijual,” katanya.

Baginya, dengan cara begitu, barang-barang ditemukan lebih menarik dan pelbagai sesuai dengan konsep perniagaannya yang menyasarkan pelanggan dari luar negara menerusi pelantar dalam talian.


PENGUNJUNG mendapatkan pelbagai pakaian terpakai yang dijual
di Buntil Bundle, Taman Tun Ismail Jaya, Shah Alam.

TRANSISI KEDAI FIZIKAL KEPADA DALAM TALIAN

Jelas Amir Firdaus, perniagaannya menyasarkan pelanggan luar negara kerana mendapat lebih banyak permintaan pada harga yang kompetitif dalam kitaran pasaran lebih besar.

“Saya mula menjual pakaian terpakai pada 2015 melalui jualan but kereta (car boot sales) dan pasar malam. Kemudian membuka kedai pada 2018 di Puchong, Selangor. Tetapi akhirnya beralih ke platform dalam talian kerana kos lebih murah.

“Lebih menarik bila saya mengetahui pasaran di luar negara yang mendapat permintaan lebih tinggi. Secara asasnya, kalau kita jual dalam talian, automatik kita sudah berada di pasaran antarabangsa.

“Tetapi, saya pergi lebih jauh dengan menggunakan platform e-dagang di negara lain seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Perancis, sebenarnya permintaan di situ lebih tinggi,” jelasnya.

Sementara bagi Pengusaha kedai Rfqin Store, Muhammad Affif Rafiqin Mohd. Yusuf, pelantar dalam talian adalah salah satu strategi yang dipelbagaikan untuk mengembangkan perniagaan bundle.

“Sebagai peniaga sama ada secara fizikal atau online, kita mempunyai pelbagai kaedah termasuk mempromosikan produk di media sosial. Bagi saya, faktor persaingan itu sentiasa ada namun kami sentiasa bersatu dan bekerjasama bagi memastikan industri bundle terus relevan di Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya komited mahu terus memenuhi permintaan pelanggan terutama golongan muda mempunyai pakaian terpakai berjenama dengan harga mampu milik.

Menurutnya yang berkecimpung dalam dunia bundle sejak 2020, kilang pembekal pakaian terpakai juga semakin banyak sekali gus membantu peniaga industri itu.

“Pakaian yang diimport dari luar negara seperti Korea, Jepun, Amerika Syarikat dan Australia itu berkualiti dan dijual pada harga munasabah,” tambahnya.

Bagi Muhamad Zulhadi juga, menerusi jualan dalam talian, jualan bundle turut mendapat tempat dalam kalangan orang muda yang meminati tema-tema pakaian tertentu.

“Bundle juga diminati generasi muda yang mencari seluar jeans atau kasut edisi terhad tetapi tiada lagi produk baharu. Bila ada platform e-dagang ia menarik ramai pembeli dalam kalangan mereka untuk mendapatkan barang dikehendaki.

“Begitulah industri bundle kini tidak mengira usia sama ada muda atau tua. Selain berkongsi minat yang sama, saya mahu membantu belia yang berhasrat menceburi perniagaan bundle,” ujarnya. – MINGGUAN

Ulasan