Ribuan keluarga Palestin terpaksa tidur di tempat terbuka dalam suhu sejuk



Ribuan keluarga Palestin terpaksa tidur di tempat terbuka dalam suhu sejuk

04 Februari 2025 10:37am
Masa membaca: 2 minit

Rumah penduduk Palestin berubah menjadi runtuhan apabila Israel meratakan seluruh kawasan kejiranan di Bandar Gaza, Jabalia dan Beit Hanoon.

GAZA - Penderma dan kumpulan bantuan diminta mengutamakan penghantaran khemah serta tempat perlindungan sementara bagi membantu menempatkan penduduk Gaza yang kehilangan rumah akibat serangan Israel.

Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata, ketika ini beribu-ribu keluarga Palestin di seluruh Semenanjung Gaza sedang tidur di tempat terbuka pada suhu yang sejuk.

“Menyediakan tempat perlindungan menjadi keperluan bantuan kemanusiaan yang tidak boleh ditangguhkan. Ia adalah keperluan paling mendesak pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Perjanjian gencatan senjata pada 19 Januari dianggap sebagai titik perubahan, menawarkan peluang untuk gencatan senjata di Gaza selepas 15 bulan berperang.

Difahamkan, perjanjian itu juga akan membolehkan penduduk Palestin kembali ke utara Gaza, di samping memastikan akses penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan itu.

Menurut kenyataan tersebut, Pertubuhan Amal Hashemite Jordan digesa supaya menyertakan khemah, makanan dan bekalan kemanusiaan lain dalam penghantaran bantuan akan datang.

Ratusan ribu rakyat Palestin telah kembali ke utara wilayah itu selepas gencatan senjata dicapai antara Israel dan Hamas bulan lalu.

Namun, ramai mendapati rumah mereka telah berubah menjadi runtuhan apabila Israel meratakan seluruh kawasan kejiranan di Bandar Gaza dan bandar-bandar utara seperti Jabalia dan Beit Hanoon.


Pejabat Media Kerajaan Gaza turut mendakwa Israel menyekat aliran bantuan dan tempat perlindungan ke wilayah itu, sekali gus melanggar perjanjian gencatan senjata tersebut.

Ujarnya, perjanjian berkenaan menetapkan bahawa 60,000 treler dan 200,000 khemah mesti memasuki Gaza untuk membantu menempatkan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal akibat pengeboman Israel.

Menurutnya, ia juga memerlukan Israel membenarkan peralatan bagi membantu membersihkan runtuhan untuk sampai ke Gaza.

“Namun pendudukan Israel meletakkan halangan dan menangguhkan pelaksanaan perjanjian itu, meningkatkan krisis kemanusiaan serta penderitaan orang awam di Semenanjung Gaza.

"Ini akan mempunyai kesan berbahaya dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya.

Ulasan