
‘Saya tidak mungkir janji’
Oleh AZNAN BAKAR dan ASLINDA NASIR
9 Februari 2025, 7:02 am
Menyorot kembali sejarah 1990, pembangkang gagal membuat sebarang impak terhadap politik negara kerana aura TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD diakui sebagai ketua kerajaan yang layak memimpin negara. Kecekapannya selama 22 tahun itu meletakkan dirinya pemimpin paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, sekali gus memberi kestabilan dalam politik sehinggalah beliau sendiri meletak jawatan. Namun, beliau sekali lagi diangkat menjadi Perdana Menteri buat kali kedua selepas era kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada 2018, namun hanya bertahan selama 22 bulan.
Ketika ditemui baru-baru ini, aura bekas Perdana Menteri itu masih dirasai meskipun tahun ini usianya genap 100 tahun, masih ligat menjawab apa sahaja soalan yang diutarakan dengan jawapan yang bernas dan ‘tajam’ termasuk janjinya yang ingin memberi jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dulu.
Merungkai persoalan politik kali ini, wartawan Mingguan Malaysia AZNAN BAKAR dan ASLINDA NASIR bertemu bual dengan Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Ia turut dibantu jurugambar FAISOL MUSTAFA serta juruvideo, ZUID SAMSON.
ENGGAN DUDUK ‘MELANGUT’
MINGGUAN MALAYSIA: Tun memang tidak akan bersara daripada dunia politik?
TUN MAHATHIR: Kalau kita sihat buat apa hendak duduk melangut sahaja? Banyak orang datang jumpa dan buat aduan, jadi saya tidak boleh duduk diam. Hendak ibadah 24 jam? Ini (ibadat) memang kita kena buat. Tetapi dalam masa sama, saya ada pengalaman dan pendapat, saya boleh kongsikan dengan mereka. Ini pendapat, bukan nasihat. Kalau suka dia terima, kalau tidak suka tidak perlu terima.
Masih terima jemputan atau undangan daripada pihak antarabangsa?
Banyak, jemputan dari Turki, Arab Saudi tetapi saya tidak boleh pergi jauh sebab doktor pun tidak sarankan. Baru-baru ini, Jepun, Kazakhstan pun ada panggil saya, tetapi saya minta maaf tidak dapat hadir. Kalau hendak kira jemputan, saya memang tiada di Malaysia.
Mahu cakap isu apa dijemput pihak antarabangsa?
Mereka kagum dengan kejayaan Malaysia daripada sebuah negara miskin kepada middle income. Mereka melihat Malaysia masih selamat dan orang Malaysia ini tidak suka dengan keganasan, dan mereka lihat bagaimana cara kita bangun dan mengamalkan cara yang lebih demokratik.
Adakah Tun melihat kita masih dalam hala tuju yang sama selepas semua dasar diubah?
Bila saya letak jawatan, saya percaya dasar yang berjaya memajukan negara akan diteruskan, tetapi tidak, dasar itu sudah ditukar dan tidak mengikut dasar pembangunan memajukan negara. Yang ditumpukan adalah dapat duit.
Kenapa cakap macam itu?
Sebab sekarang ini gaji wakil rakyat cukup tinggi. Sewaktu zaman saya tidak tinggi, gaji saya sewaktu Perdana Menteri, RM8,000, bila saya letak jawatan naik jadi RM20,000. Sekarang ini wakil rakyat RM16,000 ditambah pula dengan elaun, mereka dapat RM24,000. Speaker Parlimen dapat RM30,000. Kalau mereka tidak jadi wakil rakyat, mungkin dapat RM2,000 sebulan, jadi guru atau apa-apa.
Maksudnya pemimpin sekarang tidak sambung dasar yang dibuat dulu?
Sepatutnya kita tidak perlu peduli dasar itu datang dari pemimpin mana sebab kalau dasar itu betul untuk rakyat, pemimpin seterusnya kena sambung. Kalau sesuatu yang baik dan kita tolak yang baik dan buat lain, yang lain belum tentu baik ataupun tidak. Sama seperti UMNO yang asal berjuang untuk bangsa, tetapi bila dialih kepada cash is king, jauh bezanya. Kerjanya tidak ada lain, hendak cari duit untuk sogok rakyat supaya rakyat sokong kita. Tetapi akhirnya rakyat tidak sokong pun.
Adakah ia menjadi punca ramai ahli UMNO keluar dari parti?
Iya, sebab UMNO bukan lagi berjuang untuk bangsa, agama dan negara. Saya pun tidak boleh sertai UMNO seperti itu, jadi saya keluar pada zaman Pak Lah. Kemudian saya masuk balik pada zaman Najib. Bila Najib terlibat dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), saya keluar balik dari UMNO.
Apa punca kegagalan kita mencapai Wawasan 2020?
Kita buat keputusan untuk mengadakan Wawasan 2020 kerana kita ada pengalaman membangunkan negara. Kalau pengalaman itu memberi panduan, kita boleh terus sambung dan pada 2020 kita boleh capai matlamat, tetapi bila saya letak jawatan pada 2003 sampai 2020, dasar jadi lain dan dasar lain ini tumpu kepada duit sahaja.
Kita gagal capai kemajuan sebab terlalu banyak berpolitik?
Politik ini bertujuan memperbaiki keadaan. Bila kita lihat kerajaan yang tidak berjaya membangunankan negara, apa pun tujuan kerajaan untuk membayar gaji yang lebih kepada wakil rakyat, takkan kita mahu sokong? Kita nak minta supaya kerajaan kembali usaha membangunkan negara, bila lupa perkara itu dan tumpu kepada nak buat duit, takkan kita hendak senyap sahaja? Dulu tidak pernah dengar kes pelik-pelik tetapi sekarang ada yang bunuh ibu bapa, bunuh anak. Yang kaya kayalah, yang miskin ini susah betul, kata mereka tidak naikkan harga barang tapi naik juga dan akhirnya mereka menderita.
Politik untuk kebaikan?
Kalau ada rasa bertanggungjawab pada negara kita mesti tegur, tetapi mahu tegur pun tidak boleh, ada 3R lah, adendum pun tidak boleh nak bercakap lebih sehingga dalam Dewan Rakyat Speaker beri amaran, kalau nak bercakap kena tertib. Dalam dewan di negara-negara luar pun, mereka bukan sahaja bercakap, tetapi bertindak sehingga bertumbuk, tetapi kita tidak sampai ke tahap itu. Tetapi kalau tidak beri ruang untuk orang bercakap, ini dewan apa? Dewan bisu?
Pernah berlaku masalah yang pada zaman Tun?
Sewaktu Dewan di Parlimen pada 1964 sehingga 2003, saya tidak ada masalah dengan Speaker. Mereka nak cakap, bagi mereka cakap. Nak tegur? Tegurlah.
SEMUA PM SERBA ‘TIDAK KENA’ PADA TUN?
Kenapa yang naik jadi Perdana Menteri, semuanya ‘tidak kena’ dengan Tun?
Bila duduk dalam Kabinet yang saya jadi Perdana Menteri, kelakuan mereka baik, buat ikut aturan. Kita harap orang ini akan teruskan perkara yang baik bila dia jadi Perdana Menteri. Tetapi tidak sampai seminggu selepas saya letak jawatan, Pak Lah batalkan benda-benda yang dia bersetuju. Contohnya, projek kereta api dia bersetuju untuk teruskan tapi dia batalkan, konon tidak ada duit.
NAJIB KATA CASH IS KING
Najib?
Saya seronok bila Najib dipilih. Saya amat gembira sebab saya dengan ayah kepada Najib baik. Saya tahu dia seorang Perdana Menteri yang berusaha untuk memajukan negara, jadi tentulah anaknya begitu juga. Tetapi bila Najib jadi Perdana Menteri, dia bagi duit kepada orang seperti BR1M, saya beritahu Najib itu bukan caranya, kita perlu wujudkan peluang kerja, bukan bagi duit pada orang. Ada yang perlu tapi tidak perlu semua orang dapat duit. Itu cara mahu dapat sokongan. Tetapi Najib kata cash is king, itu jawapan dia pada saya, tetapi kalah juga.
MUHYIDDIN
Kenapa tidak bagi sokongan kepada Muhiyddin?
Muhyiddin Presiden Bersatu, saya Pengerusi. Kita ada mesyuarat selalu. Biasanya pendapat saya diterima kerana saya lebih lama dari Muhyiddin, masalahnya Najib cadang supaya diadakan Melayu Islam. Jadi, dia mahu tarik orang Melayu sokong dia. Saya beritahu dalam mesyuarat, kita tengok apa jadi betulkah dia kata ni. Tetapi ada orang tepuk meja, kita keluar sekarang dari PH. Jadi, maksudnya mereka tolak saya punya nasihat, bermakna tidak ada kepercayaan terhadap saya, saya terpaksa letak jawatan. Kerajaan PH akan jatuh sebab Muhyiddin tarik keluar Bersatu dan Azmin tarik orang PKR.
ANWAR
Sebab itulah Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri ketika itu?
Saya mahu tunai janji tetapi kalau parti itu sudah jatuh, macam mana hendak bagi?
Ada beza jadi Perdana Menteri keempat dan ketujuh?
Waktu saya jadi Perdana Menteri keempat, saya ada lebih dua pertiga sokongan kerajaan, jadi, banyak benda boleh buat, orang tak setuju pun saya boleh buat juga. Waktu saya Perdana Menteri ketujuh, majoriti saya sedikit, saya kaku sedikit tetapi saya fikir saya boleh tangani masalah. DAP kita boleh kawal, saya lantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan pun, dia kena tanya saya dulu. Kalau saya setuju, kita bawa ke Kabinet.
Maksudnya seorang Perdana Menteri itu perlu sokongan padu untuk lebih stabil?
Betul, perlukan sokongan yang solid dan kuat tetapi saya nampak banyak benda boleh buat tetapi kerajaan tidak buat.
PULIHKAN EKONOMI
Ada cara untuk pulihkan ekonomi negara?
Kalau mahu pulihkan kewangan politik, semua ada cara untuk kita selesaikan. Sewaktu saya menjadi Perdana Menteri ketujuh, serta merta saya tubuhkan satu badan penasihat yang dipengerusikan Tun Daim Zainuddin. Saya rujuk kepada orang ini, dia pakar kewangan, akademik, semua ada di situ. Kita boleh tanya. Kalau Perdana Menteri sekarang ini, saya tidak nampak dia rujuk kepada sesiapa. Itu tidak boleh cakap, ini tidak boleh cakap.
Sekarang kerajaan Perpaduan merangkumi PKR, UMNO, Amanah, DAP, takkan masih tidak mencapai standard pentadbiran yang berkualiti?
Banyak yang tidak ada pengalaman jadi kerajaan. Bila jadi menteri, bukan sahaja duit, tetapi dia kena promosi kerja itu seperti Menteri Pelancongan, dulu kita ada Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Dulu dia berjalan ke seluruh dunia, Kadir suruh orang datang ke negara kita, dia perkenal Jalur Gemilang. Tetapi menteri sekarang tiada idea bagaimana mahu majukan kementerian mereka.
Ada tak calon lain yang layak menjadi Perdana Menteri?
Kita tidak tahu, tetapi kalau dia sanggup rujuk pakar, okay. Kita tidak boleh harap pada seorang sahaja. Saya pun dulu tiada pengalaman tetapi kita kena sanggup rujuk kepada orang yang berpengalaman. Saya dapat panduan daripada pegawai kerajaan, orang politik, UMNO, bukan saya buat seorang.
KEDUDUKAN ORANG MELAYU
Kedudukan Melayu sekarang macam mana?
Hakikatnya selama kita merdeka, orang Melayu tidak dapat banyak kemajuan berbanding orang Cina. Kalau tidak orang Cina tidak apalah, tetapi Melayu dan Cina ini ada pengasingan, mereka terlalu jauh, tetapi walaupun Dasar Ekonomi Baharu sedikit sebanyak memberi latihan dan profesional, ada Melayu yang berjaya dan ada yang tidak berjaya. Kenapa tidak berjaya? Kerana Melayu bukan datang daripada bangsa yang cekap dalam perniagaan. Melayu tidak berniaga, kalau ada padi lebih, dia juallah.
Adakah kita mampu hasilkan golongan Melayu yang berjaya seperti dulu?
Pendapat saya, jaya atau gagalnya sesuatu komuniti itu bergantung kepada budaya dan bangsa. Cina tumpu pada mengejar kekayaan, Melayu cepat rasa puas hati. Sebab itu, dia tidak boleh kejar orang Cina. Jadi, perlu menukar budaya.
Budaya macam mana?
Kita kena didik dari kecil supaya anak kita tahu cara menguruskan wang. Sebab itu, di sekolah kena latih anak kita serap budaya baru ini. Kita lihat di Jepun, anak umur 3 tahun latih macam mana nak urus kewangan dia. Kalau ada benda berharga, mereka cukup jaga. Tetapi anak kita? Bagi duit belanja, sampai RM100, duit dapat macam mana? Orang bagilah. Kalau dapat jadi Menteri Pelajaran, bolehlah saya buat, tetapi tidak sempat.
DULU ANTI-DAP, SEKARANG BERSALAMAN
Awal 50-an Tun Ultra Melayu, DAP sangat anti Tun tetapi akhirnya boleh bersalam dengan Lim Kit Siang. Kenapa?
Strategi, apa dia strategi? Hendak bagi jatuh Najib, musuh dia Lim Kit Siang, jadi saya guna Kit Siang untuk jatuh Najib. Kalau saya tidak berkawan dengan Kit Siang, jatuh tak Najib? Dengan kombinasi ini, dapatlah jatuhkan Najib yang rosakkan ekonomi negara. Barulah kerja dengan DAP ini use the enemy of Najib.
Masih samakah DAP dulu dan sekarang bersama UMNO?
Awak kena tahu macam mana mahu handle DAP, Saya punya pengalaman 22 tahun dan pengalaman dengan PAP Singapura, saya sudah biasa dengan mereka, cara pemikiran mereka saya tahu dan saya lebih faham. Saya juga tidak bergantung dengan DAP tetapi saya gunakan DAP. DAP yang bergantung dengan saya. Kalau saya tidak ada, DAP tidak boleh menjadi kerajaan.
Perlukah adendum benarkan tahanan rumah?
Tahanan rumah itu politik bukan kerana jenayah tetapi politik tahanan rumah ini untuk musuh politik, tetapi satu orang itu jadi penjenayah didapati bersalah di mahkamah, jadi kita kena hormat mahkamah dan orang takkan pandang kita kerana kita tidak mematuhi rule of law. Kalau kita tak hormat, kita akan jadi kucar kacir, jadi tidak bolehlah.
UMNO
Berhasrat sertai UMNO semula?
Kalau UMNO boleh balik pada perjuangan asal bangsa dan negara, saya akan fikir sama ada boleh masuk atau tidak. Jangan janji sahaja tetapi tidak buat.
UMNO mampu menang lebih 26 kerusi dalam pilihan raya akan datang?
Kalau tengok sejarah, UMNO menang 80 ke 90 kerusi, sekarang orang lari dari UMNO sebab tidak berpegang kepada dasar. Bagi saya, dalam Pilihan Raya ke-15, UMNO begitu sombong sekali dan yakin boleh menang di seluruh negeri, akhirnya dia kalah dapat 26 kerusi sahaja. Jadi, orang yang pimpin UMNO perlu faham sentimen di bawah.
Kerjasama UMNO DAP?
Kerjasama boleh, tetapi jangan ikut telunjuk mereka, tetapi sekarang DAP lebih besar daripada UMNO.
Pas pula bagaimana? Ada kemampuan untuk mentadbir?
Pas perlu ada kerjasama dengan parti lain. Pas sendiri takkan mungkin, malah parti lain pun tidak boleh menang secara sendiri untuk membentuk kerajaan.
ANAK-ANAK TUN
Macam mana nasib anak-anak Tun, dilihat seperti tiada tempat dalam politik?
Saya punya harapan Mukhriz dapat tempat tetapi dia pun kalah, tidak menang. Dalam politik ini, ada kala kita naik, ada kala turun. Saya sendiri tidak pernah mimpi jadi Perdana Menteri. Tetapi banyak yang mimpi mahu jadi PM sebab itu tidak boleh tidur lena. Jadi, ini kuasa tuhan, terimalah.
Wajarkah SPRM dedahkan aset anak-anak tun yang bernilai berbilion ringgit?
Memang ada undang-undang yang beri kuasa kepada kerajaan untuk dapatkan maklumat, tetapi kena ada asas, adakah tuduhan dibuat tentang benda yang salah? tak ada langsung, Daim pun tidak ada langsung, ini tindakan terpilih kepada orang yang tak bersetuju dengan kerajaan.
Apakah harapan Tun harapan Malaysia?
Ini kepercayaan saya, Malaysia sebuah negara bertuah dan banyak potensi, untuk memajukan negara, ia memerlukan kecekapan pemimpin, mendengar nasihat yang baik daripada pakar. Saya sedih sebab saya tidak nampak sikap pemimpin sekarang ini yang macam itu. Yang sekarang ini hanyalah tekan seseorang untuk membalas dendam sehingga menyebabkan negara tidak dapat dibangunkan. – Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan