Shafee gesa Azalina semak kenyataan PM, dedah anak guam ada banyak video


Berita
Shafee gesa Azalina semak kenyataan PM, dedah anak guam ada banyak video


Peguam senior, Muhammad Shafee Abdullah menggesa Azalina Othman Said meneliti semula kenyataan-kenyataan Anwar Ibrahim sebelum ini mengenai agensi penguatkuasaan, dengan menegaskan kepercayaan terhadap perdana menteri itu kian terhakis.

“Khususnya, periksa kenyataan beliau dan pemimpin Pakatan Harapan yang lain mengenai pendirian SPRM sekarang.

“Tidak perlu tengok terlalu jauh ke belakang—rujuk saja komen yang dibuat oleh SPRM sebelum pilihan raya umum yang lepas.

“Kemudian, anda akan lebih memahami mengapa anak guam saya memilih untuk pergi kepada media dan bukan kepada agensi penguatkuasaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Shafee, yang mewakili pemberi maklumat secara pro bono dalam isu dakwaan skandal rasuah di Sabah, mengulas kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) itu bahawa pemberi maklumat perlu melaporkan kepada agensi penguatkuasaan dan bukan kepada media.

Ketika menjadi pembangkang, Anwar dan pemimpin PH sering menuduh agensi penguatkuasaan sebagai alat politik kerajaan dan digunakan untuk menyasarkan pengkritik dan musuh politik, selain melindungi salah laku ahli politik kerajaan.

Dalam satu ceramah politik pada tahun 2022, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli juga menyatakan sekiranya PH memenangi pilihan raya umum, mereka akan mengambil tindakan terhadap individu tertentu dalam SPRM.

Shafee juga mendedahkan bahawa anak guamnya, yang sebelum ini mendakwa telah memberi rasuah kepada beberapa Adun Sabah untuk mendapatkan lesen cari gali mineral, memiliki banyak video yang belum didedahkan.

Setakat ini, ahli perniagaan tersebut telah mendedahkan lapan video melalui Malaysiakini, yang kini disiasat SPRM.

Dia juga mendedahkan tangkap layar perbualan WhatsApp dengan Adun terbabit.

“Selain video-video yang menggemparkan, anak guam saya ada banyak lagi tangkap layar WhatsApp,” kata Shafee.

“Jadi, kerajaan perlu memutuskan apa yang lebih penting: menggesa pemberi maklumat untuk mempercayai agensi yang mereka sendiri anggap tidak boleh dipercayai sebelum ini atau mengambil tindakan nyata untuk membanteras rasuah,” tambahnya.

Pada Isnin lalu, pemberi maklumat itu mendakwa dia ditawarkan penyelesaian di mana lesen-lesen tersebut akan dikembalikan sekiranya dia menarik balik tuduhannya.

Terdahulu hari ini, PSM turut menyelar Azalina berhubung kenyataannya, dengan mengatakan pemberi maklumat melaporkan kepada media kerana bimbang pendedahan mereka akan didiamkan apabila mencari perlindungan menerusi cara lain.

“Kenapa perlu pergi ke media atau platform sosial untuk mendedahkan kebenaran dipandang negatif? Bukankah media sepatutnya menjadi tonggak keempat demokrasi?

“Azalina mendakwa pemberi maklumat tidak akan dilindungi jika mereka pergi ke media terlebih dahulu. Tetapi pada hakikatnya, ramai pemberi maklumat beralih kepada media dengan tepat kerana mereka takut didiamkan semasa mencari perlindungan.

"Di manakah percanggahan jika matlamat utama adalah untuk mendedahkan kebenaran dan menangani dakwaan??” kata timbalan pengerusi PSM Arutchelva

Ulasan