
Video yang menghantui Natrah
NATRAH menahan sebak melihat rakaman video Mansor dan isterinya.
Oleh FATINI YAAKOB
9 Februari 2025, 4:30 pm
Akhir November 1988. Saya masih di Den Haag, menguruskan satu bahan yang agak asing ini. Bahan ini dalam bentuk video. Video ini penting untuk menjejak perjalanan kehidupan Natrah selepas dibawa balik ke Belanda.
Saya mengesan keperluan untuk melihat video ini apabila Alex Brotherton penterjemah akhbar Belanda itu memberitahu saya, daripada akhbar yang dibacanya, Natrah telah berubah sejak melihat rakaman video Mansor bercakap secara live dalam rancangan TV, The Time Just Stood Still.
Rakaman video menunjukkan Mansor sedang diwawancara oleh Van Hillo di rumah Mansor Adabi di Fidelio Street Singapura.
Rakaman video menunjukkan Mansor sedang diwawancara oleh Van Hillo di rumah Mansor Adabi di Fidelio Street Singapura.Anja Van Vliet berjaya mendapatkan salinan video tersebut daripada syarikat NRVC Belanda. Oleh kerana semuanya dalam bahasa Belanda, saya meminta bantuannya untuk membuat transkripsi bahasa Belanda ke Inggeris.
Anja membuat kerjanya dengan tekun, setiap hari selama lima enam hari, setelah kami balik daripada wawancara atau mendapatkan bahan.
Video ini adalah rakaman di studio TV, Natrah dan keluarganya diundang ke studio Syarikat TV NRVC pada tahun 1975. Video ini berdurasi 45 minit. Saat awal video itu menunjukkan Natrah masuk ke studio dengan Wolkenfelt dan 10 anaknya. Van Hillo menyambut mereka dengan gembira. Kemudian Van Hillo bertanya khabar Natrah.
Minit seterusnya Van Hillo meminta Natrah memakai speaker telinga untuk mendengar terjemahan serentak ke bahasa Belanda daripada ayat Mansor dalam bahasa Inggeris. Inilah kali pertama Natrah melihat wajah Mansor, setelah 25 tahun mereka terpisah.
Rakaman video menunjukkan Mansor sedang diwawancara oleh Van Hillo di rumah Mansor Adabi di Fidelio Street Singapura. Di sofa panjang kelihatan Mansor sedang memegang bayi dengan isterinya Zaiton di sebelahnya dan anak sulung mereka di hujung sofa. Ketika kamera fokus ke wajah Natrah – nampak wajahnya macam menahan sebak.
Mansor mengucapkan salam kepada Natrah dan mendoakan kebahagiaan hidupnya. Setelah rakaman itu habis, Van Hillo bertanyakan rasa hati Natrah. Natrah nampak tergamam dan terharu, tidak segera menjawab soalannya. Wolkenfelt mencuitnya.
Van Hillo “ Puan Bertha, daripada filem tadi, adakah anda lihat Mansor banyak berubah?” Natrah dalam tunduk terharu menjawab pendek “Tidak…”Bagaimana kalau dapat berjumpanya lagi?” “Bagus…” pendek juga jawapan Natrah, macam menahan rasa yang berat.
Van Hillo sedar hal ini dan segera menukar skrip. “…bagi pihak TV NRVC kami ingin memberikan tiket penerbangan pergi balik ke Indonesia dan Singapura, mahukah Puan?”
NATRAH ditemu bual secara live dalam rancangan TV, The Time Just Stood Still.
NATRAH ditemu bual secara live dalam rancangan TV, The Time Just Stood Still.Natrah memandang Wolkenfelt “ Ya. Tetapi tidak sekarang anak-anak kami masih kecil.” Van Hillo “Ya bagaimana kalau mereka sudah besar?” Natrah menjawab “Ya…mungkin boleh.”
Rancangan TV The Time Just Stood Still ini mungkin mendapat rating paling tinggi untuk stesyen TV Belanda bagi 1975. Tapi bagi Natrah 1975 adalah tahun kehancuran hatinya buat kali ketiga. Setelah 25 tahun terpisah daripada Mansor dan setelah mempunyai keluarganya sendiri, rupanya kenangan tentang Mansor tidak pernah luput di ingatannya.
Frans Akui ibunya Trauma Selepas Melihat Video Mansor
Ketika saya bertanya Frans tentang hal video ini, Frans yang berumur 18 tahun ketika ke studio bersama ibu, bapa dan sembilan adik beradiknya yang lain, menjawab “Mama memang berubah bila kembali daripada program itu. Berhari-hari murung, duduk dalam bilik dan menangis. Akhirnya dia membuka mulut bila saya bertanya baik-baik kepadanya- dia mengenangkan masa lalu bersama Mansor – dia membayangkan dialah wanita yang kaya dan bahagia yang patut berada di sebelah Mansor itu bukan perempuan itu.”
“Ayah saya tidak dapat berbuat apa-apa. Boleh kata setiap hari mereka bergaduh. Dan akhirnya mereka terpaksa berpisah. Saya dan Marlies adik saya terpaksa menjaga adik-adik yang masih kecil.”
Trauma ini dibawa oleh Natrah hampir sepanjang hayatnya. Sejak peristiwa ini, kehidupan berkeluarganya berubah. Dia terpaksa bercerai dengan Wolkenfelt kerana trauma ini dan terjebak dengan dua lelaki lain. Seorang anak tempatan Belanda, yang membawa Natrah keluar daripada rumahnya dan seorang lagi bekas kelasi kapal berasal dari Indonesia yang akhirnya membawa mereka berdua bekerja ke Amerika Syarikat.
#Minggu Hadapan: Berjumpa Dr Tom Eames Hughes penulis buku Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh.
Puan Sri Fatini Yaacob ialah bekas Wartawan majalah DBP yang mewancara Natrah di Nevada, Amerika Syarikat dan membuat penyelidikan sejarah ini (1988-1989). Beliau kini Pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid yang diasaskan sebagai pemegang amanah Sejarah Natrah.
Ulasan
Catat Ulasan